Jumaat, 15 Oktober 2021

Angkara Tuan Lembu Buat Tak Peduli, Penguat Kuasa Menangkap Lembu Yang Merayau


KOTA BHARU - Operasi menangkap 12 lembu yang berkeliaran di sekitar Taman Hijrah, Padang Kala di sini selama dua hari berturut-turut bukan tugas mudah seperti disangka. Kaki terseliuh dan hampir ditanduk antara insiden yang dialami sekumpulan anggota penguat kuasa.


Dalam tempoh itu, penguat kuasa Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI), menempuh ujian berdepan lembu yang naik minyak dan mahu menanduk mereka, terpaksa mengharungi paya dan hampir jatuh ke dalam perigi buta dalam operasi menangkap dua lembu yang berkeliaran.


Setiausaha MDKPI, Ahmad Fadzli Abdullah berkata, sepanjang dua hari operasi, ada dalam kalangan penguat kuasa cedera dengan rata-rata mereka mengalami lebam-lebam seluruh badan dalam usaha menangkap lembu yang pada asalnya disasarkan sebanyak 12 ekor.


Operasi Bersepadu Haiwan Merayau yang dijalankan selama dua hari bermula kelmarin itu dilakukan di Taman Hijrah Padang Kala, Melor secara bersepadu bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan.


Ahmad Fadzli Abdullah berkata, usaha menangkap 12 lembu milik penternak berusia 68 tahun yang dibiarkan berkeliaran itu dibuat selepas penduduk mengadu haiwan itu menceroboh kebun, memakan anak pokok durian Musang King serta mengotorkan kawasan rumah mereka.


"Kita menerima aduan di kawasan ini sejak beberapa bulan lalu namun tidak dapat mengambil tindakan lanjut disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


"Penduduk di kawasan ini membuat aduan berkaitan lembu yang berkeliaran di taman, makan pokok hiasan termasuk pokok durian Musang King dan terdapat najis di merata-rata tempat.


"Ini adalah kali kedua operasi dilakukan tahun ini berkaitan tangkapan haiwan yang mana pada bulan lalu, sebanyak tiga lembu di kawasan sama manakala dua kambing di Kok Lanas berjaya ditangkap," katanya.


Ahmad Fadzli berkata, sebelum lembu itu ditangkap, pihaknya memberi notis amaran terlebih dulu kepada pemilik untuk menjaga ternakan dengan baik namun jika masih menerima aduan selepas dua minggu, baru tindakan lanjut diambil.


Untuk operasi dua hari yang membabitkan 16 anggotanya dan tiga kakitangan JPV, beliau berkata, pemilik sudah membayar denda iaitu sebanyak RM1,000 setiap ekor namun untuk 10 lagi baki lembu itu akan tetap ditangkap dalam masa terdekat.


"Tindakan kompaun itu adalah di bawah Undang-Undang Kecil Haiwan Merayau-Rayau MDKPi dan jika pemilik tidak datang menuntut, jumlah denda akan bertambah setiap hari bergantung kepada kos makanan dan upah penjagaan. Jika dalam tempoh enam hari haiwan itu tidak juga dituntut, kami akan buka untuk dilelong," katanya.


EmoticonEmoticon