Memaparkan catatan dengan label Dadah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dadah. Papar semua catatan

Ahad, 22 November 2026

Risikan sejak Januari, polis bongkar penyeludupan dadah guna aset TUDM

Risikan sejak Januari, polis bongkar penyeludupan dadah guna aset TUDM


Kegiatan penyeludupan dadah rentas sempadan yang dipercayai menggunakan kemudahan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah dikesan menerusi risikan polis sejak Januari lalu sebelum berjaya dibongkar dengan penahanan 11 suspek, termasuk lima pegawai tentera.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, risikan berterusan itu berjaya mengesahkan wujud kegiatan membawa dadah menggunakan aset TUDM, sekali gus membolehkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menjalankan tindakan lanjut sejak Julai lalu.


Menurutnya, kumpulan terbabit dipercayai menggunakan kemudahan TUDM untuk membawa dadah dari satu lokasi ke lokasi lain tanpa melalui pemeriksaan ketat seperti di pintu masuk rasmi.


Beliau berkata, langkah keselamatan di pintu keluar masuk negara, khususnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), turut dipertingkatkan susulan kes penahanan pembantu juruterbang di Jakarta, menyebabkan sindiket dipercayai beralih menggunakan laluan lain termasuk pelabuhan dan aset TUDM.


"Jumlah dadah yang kita kesan iaitu 96 kilogram adalah besar," katanya ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Kampung Paya Besar, Lunas, malam tadi.


Saifuddin Nasution berkata, kerjasama JSJN dan TUDM berjaya mengesan kegiatan membawa dadah dari Semenanjung ke Sabah apabila pemeriksaan bagasi di premis TUDM menemukan bahan terlarang berkenaan.


Katanya, polis masih menyiasat tempoh kegiatan itu beroperasi, sama ada dilakukan oleh sindiket tempatan atau antarabangsa, selain tidak menolak kemungkinan penahanan suspek baharu.


Terdahulu, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan 11 individu, termasuk lima pegawai TUDM dan enam orang awam, ditahan di sekitar Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit pengedaran 96.64 kilogram syabu bernilai RM4.83 juta.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menyifatkan kes berkenaan sebagai serius dan membimbangkan, serta menegaskan tindakan tegas perlu diambil terhadap semua pihak yang terlibat tanpa mengira pangkat.

Jumaat, 20 November 2026

Kes dadah guna aset TUDM: Dua anggota berpangkat koperal, pegawai waran direman 7 hari

Kes dadah guna aset TUDM: Dua anggota berpangkat koperal, pegawai waran direman 7 hari


TAWAU - Dua anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pengedaran dadah yang dipercayai menggunakan kemudahan aset ketenteraan.


Kedua-dua suspek masing-masing berpangkat Koperal dan Pegawai Waran 2, berusia 28 dan 48 tahun, ditahan dalam operasi polis awal pagi tadi.


Perintah reman dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum di Mahkamah Majistret di sini selepas membenarkan permohonan polis.


Penahanan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pengedaran 96.64 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM4.83 juta yang turut membabitkan beberapa pegawai TUDM dan orang awam.


Polis turut memohon kebenaran membawa kedua-dua suspek ke Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.


Sepanjang tempoh reman, mereka ditempatkan di lokap Balai Polis Tawau sebelum dibawa ke Pusat Tahanan Polis Mukim Batu, Kuala Lumpur untuk siasatan menyeluruh.


Sebelum ini, media melaporkan lima pegawai TUDM antara 11 individu yang ditahan dalam beberapa siri operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan pada 17 November lalu.


Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan kemudahan pengangkutan udara ketenteraan untuk menyeludup dadah dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, khususnya Filipina dan Indonesia.

Khamis, 19 November 2026

Lima pegawai TUDM antara 11 ditahan, sindiket dadah guna aset tentera terbongkar

Lima pegawai TUDM antara 11 ditahan, sindiket dadah guna aset tentera terbongkar


Seramai 11 individu termasuk lima pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah rentas sempadan yang dipercayai menggunakan kemudahan penerbangan ketenteraan.


Penahanan itu dilakukan dalam beberapa siri operasi di sekitar Lembah Klang dan Labuan pada 17 November lalu, hasil kerjasama risikan antara Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Cawangan Provos Marsyal TUDM.


Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket berkenaan dipercayai terbabit dalam pengedaran 96.64 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM4.83 juta.


Menurutnya, enam lagi individu yang ditahan merupakan orang awam, termasuk dua yang dipercayai berperanan sebagai penyelaras kegiatan sindiket.


Siasatan awal mendapati sindiket itu aktif sejak Julai lalu dengan menggunakan kemudahan pengangkutan udara ketenteraan untuk menyeludup dadah dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, khususnya Filipina dan Indonesia.


Polis kini giat memburu seorang lagi lelaki warga tempatan yang dipercayai ketua sindiket bagi mengenal pasti keseluruhan rangkaian serta individu lain yang terbabit.


Hussein berkata, lima pegawai TUDM direman selama tujuh hari bermula 18 hingga 24 November, manakala suspek awam direman antara dua hingga lima hari.


Ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek awam positif metamfetamina, manakala seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.


Dalam operasi sama, polis turut menyita dua kenderaan, masing-masing Honda CR-V dan Toyota Vios, dengan nilai keseluruhan RM126,062 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.


Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan sekurang-kurangnya 12 kali jika tidak dihukum mati.


Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan terdapat pegawai TUDM, termasuk juruterbang, disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan dadah berskala besar.


Beliau menegaskan tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat tanpa mengira pangkat, termasuk pegawai berpangkat leftenan dan kapten.

Selasa, 3 November 2026

2,097 warga PDRM ditahan pelbagai kesalahan sejak 2021

2,097 warga PDRM ditahan pelbagai kesalahan sejak 2021


KUALA LUMPUR - Seramai 2,097 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk dadah, samun dan rasuah dalam tempoh 2021 hingga Ogos 2026.


Jumlah itu didedahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen.


Daripada keseluruhan tangkapan, seramai 1,551 individu ditahan atas kesalahan berkaitan dadah, manakala 64 lagi membabitkan kes samun. Selain itu, 482 warga PDRM ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kesalahan berkaitan rasuah.


Bagi kesalahan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, sebanyak 357 tangkapan direkodkan pada 2021, diikuti 248 pada 2022, 245 pada 2023, 310 pada 2024 dan 256 pada 2025.


Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, seramai 135 pegawai dan anggota polis ditangkap atas kesalahan sama.


Kes samun pula merekodkan 10 tangkapan masing-masing pada 2021, 2022, 2025 serta lapan bulan pertama tahun ini. Jumlah itu meningkat kepada 11 orang pada 2023 dan 13 orang pada 2024.


Dalam perkembangan berkaitan, tangkapan oleh SPRM membabitkan warga PDRM menunjukkan 77 orang pada 2021, 86 pada 2022, 129 pada 2023, 53 pada 2024, 87 pada 2025 dan 50 orang bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.


KDN memberikan maklumat itu bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, mengenai jumlah anggota polis yang ditangkap atas kesalahan dadah, samun dan rasuah sejak 2021.


Beliau turut meminta penjelasan mengenai perkembangan siasatan terhadap 12 anggota polis yang disyaki merompak kira-kira RM200,000 dalam bentuk mata wang kripto milik sekumpulan warga China di Country Heights, Kajang, pada 5 Februari lalu.


Mengulas perkara itu, KDN memaklumkan PDRM sudah membuka kertas siasatan dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Sabtu, 31 Oktober 2026

Pasangan kekasih antara tiga ditahan, PGA rampas dadah bernilai RM434,400

Pasangan kekasih antara tiga ditahan, PGA rampas dadah bernilai RM434,400


BATU PAHAT - Pasangan kekasih antara tiga individu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah yang membawa kepada rampasan 5.2 kilogram methamphetamine bernilai RM434,400 di Batu Pahat dan Muar, pada Rabu.


Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan dalam operasi khas kira-kira jam 8.35 malam yang dijalankan anggota Cawangan Risik Batalion 6 PGA, Muar.


Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA, Superintendan Shohaiami Ismail berkata, operasi berkenaan membawa kepada rampasan lima bungkusan plastik mengandungi dadah disyaki methamphetamine seberat 5.2 kilogram.


Polis turut merampas dua kenderaan, masing-masing Toyota Vios dan Honda Civic FD yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.


Menurutnya, operasi dijalankan di kawasan tempat letak kenderaan bersebelahan sebuah pasar raya di Batu Pahat serta Kampung Sarang Buaya Laut, Muar.


Kesemua suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk siasatan lanjut.


Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.


Shohaiami berkata, PGA akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah serta menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis.

Sabtu, 24 Oktober 2026

Polis Indonesia rampas 1.16 tan ketamin, kapal tangki milik syarikat Malaysia ditahan

Polis Indonesia rampas 1.16 tan ketamin, kapal tangki milik syarikat Malaysia ditahan


Pihak berkuasa Indonesia merampas 1.16 tan ketamin daripada sebuah kapal tangki yang dipintas di luar perairan Wilayah Sumatera Utara dan menahan lapan anak kapal dalam satu operasi bersepadu, kata seorang pegawai kanan polis pada Jumaat, lapor Bernama memetik Xinhua.


Ketua Polis Negara Jeneral Suyudi Ario Seto berkata, pihak berkuasa memintas kapal tangki MT Global 168 di luar perairan Tanjung Balai Asahan selepas hampir seminggu menjalankan pemantauan yang membabitkan polis, Badan Narkotik Kebangsaan, kastam dan polis marin.


Ketika berucap di Pelabuhan Bandar Deli di Medan, Suyudi berkata, pihak berkuasa mula menjejaki kapal itu pada 14 Oktober ketika ia belayar melalui perairan berhampiran Malaysia sebelum menuju ke utara Aceh dan Thailand.


Pihak penyiasat mengesan kejanggalan dalam sistem pengenalan automatik kapal itu yang memaparkan dua nama berbeza, iaitu MT Global dan Gross Dolphin, katanya.


Menurut AFP, kapal itu mengibarkan bendera Mongolia tetapi dimiliki oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Johor Bahru, Malaysia, kata Suyudi.


Pegawai penguat kuasa menahan tujuh anak kapal warga Indonesia dan seorang warga asing, selain merampas 58 guni yang mengandungi keseluruhan 1.16 tan ketamin, bersama peralatan komunikasi dan kapal tangki berkenaan.


Dalam pada itu, Reuters melaporkan, Suyudi turut memaklumkan pihak berkuasa di wilayah Aceh menemukan 1.2 tan syabu bernilai kira-kira 2.16 trilion rupiah (RM487.29 juta) di sebuah makmal haram. Indonesia mempunyai undang-undang dadah yang ketat.


Pada 2015, negara itu melaksanakan hukuman mati terhadap dua warga Australia yang terbabit dalam sindiket dadah "Bali Nine" kerana cuba menyeludup heroin keluar dari pulau peranginan Bali.

Dua sahabat didakwa pelbagai kesalahan, termasuk halang tugas polis

Dua sahabat didakwa pelbagai kesalahan, termasuk halang tugas polis


KUALA LUMPUR - Dua lelaki yang tular selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka merempuh beberapa kenderaan awam ketika cuba melarikan diri daripada polis di Bukit Antarabangsa, di sini, didakwa di tiga mahkamah berasingan di Ampang, pada Khamis.


Kedua-dua tertuduh, pemandu peribadi Muhammad Putra Zulfaiz Zaidi, 32, dan mekanik Mohamad Danial Haiqal Kamal Arifin, 21, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan.


Mereka berdepan beberapa pertuduhan bersama, termasuk memiliki senjata berbahaya iaitu parang dan sabit di tempat awam, menghalang tugas polis serta memandu secara berbahaya menggunakan sebuah Isuzu D-Max.


Selain itu, kedua-duanya turut didakwa gagal memberikan penjelasan munasabah berhubung pemilikan pelbagai peralatan mencurigakan, antaranya pemotong wayar, tukul besi, tuil besi dan sepana boleh laras.


Muhammad Putra Zulfaiz turut berdepan pertuduhan menggunakan nombor pendaftaran palsu pada kenderaan berkenaan serta memasukkan dadah jenis amfetamina dan metamfetamina ke dalam badan. Mohamad Danial Haiqal pula didakwa secara berasingan atas kesalahan memasukkan dadah sama ke dalam badannya.


Bagi pertuduhan menghalang tugas polis, mereka didakwa melarikan diri ketika anggota polis cuba menjalankan pemeriksaan pada 10 dan 11 Oktober lalu.


Mahkamah membenarkan Muhammad Putra Zulfaiz diikat jamin keseluruhan RM13,000, manakala Mohamad Danial Haiqal RM8,000 bagi pertuduhan di hadapan Majistret Siti Nur Ain Ariffin.


Bagaimanapun, jaminan bagi pertuduhan lain tidak dibenarkan oleh Hakim Norshila Kamarudin dan Majistret Tiong Wen Wen berikutan ketiadaan penjamin pada prosiding berkenaan.


Kesemua mahkamah menetapkan 26 November ini untuk sebutan semula.


Pada 11 Oktober lalu, polis menahan kedua-dua lelaki itu selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh beberapa kenderaan awam sebelum berjaya dipintas di persimpangan Jalan Jelatek–Jalan Taman Setiawangsa.

Jumaat, 23 Oktober 2026

Rumah ibadat tidak berdaftar jadi stor, polis rampas dadah RM16.2 juta, 8 ditahan

Rumah ibadat tidak berdaftar jadi stor, polis rampas dadah RM16.2 juta, 8 ditahan


Pelbagai dadah bernilai RM16.2 juta dirampas di sebuah rumah ibadat tidak berdaftar di Klang yang dipercayai dijadikan sebagai stor. Kegiatan terbongkar susulan penahanan seorang lelaki yang bekerja secara sambilan di rumah ibadat itu.


"Setakat ini, kita percaya kes membabitkan sindiket dadah. Bagaimanapun, kami sedang mengesahkan sama ada aktiviti gangsterisme ataupun kongsi gelap turut terbabit dalam kes ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.


Menurutnya, pihaknya menahan lapan individu membabitkan enam lelaki dan dua wanita termasuk empat warga asing berusia antara 19 hingga 48 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.


"Tiga lelaki serta seorang wanita warga asing ini dipercayai terbabit rangkaian sindiket dadah tempatan serta antarabangsa. Mereka menggunakan pas lawatan sosial untuk masuk ke negara ini dan semakan sedang dijalankan dengan Jabatan Imigresen.


"Ada kalangan suspek warga asing ini baru masuk sehari sebelum ditangkap, ada yang beberapa hari sebelum ditangkap. Mereka dipercayai transit di KLIA sebelum keluar ke destinasi seterusnya, namun kami dapat mengesan dadah dalam bagasi mereka," katanya.


Mengulas sumber dadah, Shazeli berkata ia dipercayai dari negara jiran dan untuk edaran tempatan serta luar negara.


Katanya, semakan mendapati, hanya seorang suspek memiliki rekod membabitkan tujuh kesalahan dadah dan jenayah.


Keseluruhan, polis merampas 129 bungkusan plastik disyaki ketulan mampat bunga ganja seberat 81.3 kilogram (kg), 327 paket ketulan mampat ganja (37kg), katrij cecair ketamin (3,510 unit), ketamin (40kg), cecair ekstasi (84 botol), heroin (20.6kg) dan ketamin (25.4kg).


"Polis turut menyita harta bernilai keseluruhan RM54,835 daripada empat suspek tempatan termasuk antaranya kereta Honda Accord dan Proton Saga," katanya.

Khamis, 22 Oktober 2026

Warga Malaysia antara dua individu ditahan disyaki menjual ‘vape zombie’ di Hat Yai

Warga Malaysia antara dua individu ditahan disyaki menjual ‘vape zombie’ di Hat Yai


Polis Thailand menahan dua lelaki termasuk seorang warga Malaysia kerana disyaki menghasilkan dan menjual pod rokok elektronik (pod vape) yang dicampur etomidat, sejenis ubat bius yang dikaitkan dengan fenomena 'vape zombie'.


Tangkapan itu dilaporkan pada 20 Oktober lalu hasil siasatan bersama polis perlindungan pengguna dan Unit Polis Kawalan Sempadan 437.


Sebelum itu, pihak berkuasa menerima maklumat mengenai penjualan pod vape mengandungi etomidat kepada remaja di Hat Yai dengan penghantaran dilakukan menggunakan kereta. Siasatan turut mengenal pasti sebuah rumah yang disyaki digunakan untuk menyediakan dan membungkus pod berkenaan.


Polis kemudian mengesan sebuah kereta di Jalan Rattakan di Hat Yai sebelum menahannya untuk pemeriksaan. Pemandunya yang hanya dikenali sebagai Nut, 46, didapati membawa 400 pod vape disyaki mengandungi etomidate seperti yang dilaporkan The Thaiger.


Ketika disoal siasat, Nut memberitahu polis bahawa dia diarahkan menghantar pod berkenaan kepada pelanggan oleh seorang lelaki warga Malaysia yang dikenali sebagai Sam.



Nut kemudian membawa polis ke sebuah rumah sewa di Jalan Supasarnrangsan yang dipercayai digunakan untuk menyediakan dan mengisi pod vape. Sam, 52, ditahan di rumah berkenaan.


Antara barangan yang dirampas ialah 201 pod vape kosong, 725 penutup pod, dua beg penutup mulut plastic dan enam botol cecair pekat berlabel 'ESSENTAIL OIL'.


Selain 400 pod yang dirampas dari kereta, polis merampas lebih 1,000 barangan dengan nilai keseluruhan melebihi 1 juta baht (kira-kira RM122,000).


Polis berkata, kedua-dua lelaki itu mengaku terbabit dalam aktiviti berkenaan. Mereka turut memaklumkan bahawa seorang lagi warga Malaysia membawa bahan dan bahan kimia yang digunakan untuk menyediakan pod vape itu dari luar negara.


Tugas mereka adalah menyuntik cecair mengandungi etomidat ke dalam pod vape kosong, menutupnya sebelum menghantar produk siap kepada pelanggan di lokasi yang ditetapkan.


Pihak berkuasa kini sedang mengesan pembekal dan individu yang mengarahkan penghantaran itu selain mengenal pasti pihak lain yang mungkin terbabit dalam kegiatan berkenaan.


Kedua-dua lelaki itu didakwa atas kesalahan memiliki bahan psikotropik Kategori 2 tanpa kebenaran untuk tujuan penjualan selain kesalahan berkaitan penjualan rokok elektronik secara haram.


Polis memberi amaran bahawa etomidat yang disedut melalui vape boleh menjejaskan sistem saraf pusat dengan cepat menyebabkan pengguna menjadi kekejangan, berjalan terhuyung-hayang atau pengsan.


Sesetengah pengguna juga boleh menjadi kaku dengan mata terbuka tetapi tidak menyedari keadaan sekeliling, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko kesihatan serius.

Ahad, 18 Oktober 2026

Koperal polis parah ditetak parang ketika serbuan antidadah di Tanah Merah

Koperal polis parah ditetak parang ketika serbuan antidadah di Tanah Merah


TANAH MERAH - Seorang anggota polis berpangkat koperal cedera parah selepas ditetak menggunakan parang oleh seorang suspek ketika operasi antidadah di Kampung Lalang Pepuyu, di sini, semalam.


Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1.35 tengah hari ketika sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan menyerbu sebuah rumah di kampung berkenaan.


Menurutnya, operasi itu turut dibantu anggota dari Balai Polis Bukit Bunga dan Balai Polis Lalang Pepuyu.


"Suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an cuba melarikan diri sambil membawa sebilah parang.


"Anggota polis mengejar suspek, namun lelaki itu melibas parang sehingga mencederakan seorang anggota sebelum berjaya ditahan," katanya.


Beliau berkata, anggota berusia 37 tahun itu mengalami keretakan pada tangan kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Tanah Merah.


Dalam operasi berkenaan, polis merampas sebilah parang berukuran kira-kira 35 sentimeter, pil disyaki yaba seberat 0.1 gram serta sebotol cecair dipercayai air ketum.


Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.


Mohd Yusoff berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.


Suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan lanjut.

Sabtu, 17 Oktober 2026

Polis bongkar makmal dadah sintetik bernilai RM18.19 juta di Masai dan Permas Jaya

Polis bongkar makmal dadah sintetik bernilai RM18.19 juta di Masai dan Permas Jaya


JOHOR BAHRU - Polis membongkar sebuah makmal pemprosesan dadah sintetik dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM18.19 juta dalam serbuan di Masai dan Permas Jaya pada 1 Oktober lalu.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan itu membawa kepada penahanan dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 17 hingga 22 tahun.


Menurutnya, sindiket dipercayai menggunakan rumah kedai sebagai stor penyimpanan bahan kimia dan peralatan, manakala sebuah rumah teres dijadikan lokasi memproses dadah.


Berdasarkan peralatan yang ditemukan, polis percaya makmal itu masih dalam peringkat persediaan sebelum beroperasi sepenuhnya. Sindiket berkenaan juga disyaki mempunyai kaitan dengan rangkaian antarabangsa.


Antara rampasan ialah 106.84 kilogram serbuk MDMA, 14 liter cecair MDMA, 23 liter cecair ganja, 122.14 gram serbuk ekstasi dan 7.56 gram pil Eramin 5.


Hussein berkata, dua daripada tiga suspek didapati positif methamphetamine menerusi ujian saringan air kencing, manakala semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.


Polis turut mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Khamis, 15 Oktober 2026

28 anggota PGA dikesan terbabit kes dadah, langgar disiplin

28 anggota PGA dikesan terbabit kes dadah, langgar disiplin


Seramai 28 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dikesan terbabit dalam kesalahan berkaitan dadah dan pelanggaran disiplin, termasuk dalam kalangan anggota yang bertugas di bawah Op Taring Wawasan Kelantan di sempadan Malaysia-Thailand.


Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, kesalahan lain yang dilakukan anggota terbabit termasuk tidak hadir bertugas dan gagal melaporkan diri ketika digantung kerja.


Beliau berkata, jumlah itu direkodkan dari tahun lalu hingga awal bulan ini. Katanya, 10 anggota sudah dibuang kerja, manakala siasatan dan prosiding tatatertib terhadap baki 18 anggota masih berjalan.


Daripada 10 anggota yang dibuang kerja itu, katanya, empat bertugas di Batalion 8, manakala Batalion 7 dan Batalion 9 masing-masing merekodkan tiga anggota.


Radzi berkata, enam anggota dibuang kerja tahun lalu, manakala empat lagi pada tahun ini.


"Bagi 18 kes yang masih berbaki, kes terbaharu direkodkan pada 13 Oktober lalu apabila seorang anggota PGA ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 ketika bertugas di Kelantan.


"Siasatan mendapati anggota itu terbabit dalam penyalahgunaan dadah sejak lapan tahun lalu. Anggota berkenaan sudah berkahwin dan mempunyai empat anak," katanya kepada media, di Kota Bharu, hari ini.


Radzi menyifatkan keadaan itu sebagai membimbangkan dan meminta semua pihak memberikan perhatian serius terhadap perkara berkenaan.


Beliau berkata, penyalahgunaan dadah dan pelanggaran disiplin ialah kesalahan serius yang boleh menjejaskan kerjaya anggota, memberi kesan kepada keluarga serta mencemarkan imej pasukan.


Sehubungan itu, beliau menggesa semua pegawai dan anggota supaya mengambil serius perkara berkenaan serta sentiasa mematuhi disiplin ketika menjalankan tugas, khususnya dalam menjaga keselamatan sempadan negara.

Rabu, 14 Oktober 2026

Bekas pemain bola sepak berdepan hukuman mati, didakwa edar 72 kg kanabis

Bekas pemain bola sepak berdepan hukuman mati, didakwa edar 72 kg kanabis


Seorang bekas pemain bola sepak didakwa di Mahkamah Majistret Alor Setar, atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis atau ganja seberat 72 kilogram (kg) pada September lalu.


Tertuduh, Muhammad Faiz Nazri, 26, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Eliana Ismail pada Selasa.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 72 kg di tepi jalan selepas Plaza Tol Alor Setar Selatan, kira-kira jam 6.30 petang pada 24 September lalu.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.


Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Jika hukuman mati tidak dikenakan, tertuduh hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sharmila Md Asri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, yang pernah beraksi bersama pasukan Piala Presiden sebuah negeri, kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 2 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Tertuduh yang berasal dari Perlis kemudian diperintahkan menjalani tahanan di Penjara Alor Setar sehingga tarikh sebutan tersebut.

Kes kokain di Jepun: PDRM hantar pasukan siasatan, sahkan dua lelaki, tiga wanita ditahan

Kes kokain di Jepun: PDRM hantar pasukan siasatan, sahkan dua lelaki, tiga wanita ditahan


Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar pasukan siasatan ke Jepun susulan penahanan lima rakyat Malaysia bersama lima kilogram kokain di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Sabtu lalu.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pasukan itu akan menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai penahanan berkenaan, termasuk rangkaian sindiket dadah Malaysia dan antarabangsa.


Katanya, pihak berkuasa Jepun juga sedang menyiasat sumber bekalan kokain itu, selain mengenal pasti anggota sindiket dan rangkaian penyeludupan dadah antarabangsa.


"JSJN dimaklumkan oleh pihak berkuasa Jepun mengenai penahanan dua lelaki dan tiga wanita warga Malaysia di Lapangan Terbang Haneda pada 10 Oktober lalu.


"Pihak Kastam Jepun menemukan lima kilogram kokain yang disembunyikan di dalam pelapik kasut dipakai kelima-lima suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.


Pengesahan itu sekali gus memperbetulkan laporan beberapa media tempatan semalam yang menyatakan empat lelaki dan seorang wanita ditahan dalam kes berkenaan.


Mengulas lanjut, Hussein berkata, semakan rekod perjalanan mendapati enam rakyat Malaysia berlepas bersama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 ke Haneda pada 9 Oktober lalu untuk melancong.



Bagaimanapun, hanya lima daripada mereka ditahan pihak berkuasa Jepun, manakala seorang lagi tidak ditahan dan sudah pulang ke Malaysia.


Menurutnya, JSJN sudah mengenal pasti kesemua enam individu berusia antara 19 hingga 26 tahun, termasuk seorang yang pulang ke Malaysia.


"Lima daripada mereka berasal dari Sarawak dan semakan rekod mendapati kesemuanya tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.


Dalam pada itu, Hussein menasihati orang ramai supaya berwaspada terhadap pelawaan bercuti, khususnya jika diminta membawa beg atau barangan milik individu lain ke luar negara.


Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menerima atau membawa barangan yang tidak diketahui kandungannya bagi mengelakkan diri daripada dipergunakan sebagai keldai dadah.


Sebelum ini, media Jepun melaporkan lima rakyat Malaysia ditahan selepas pegawai kastam menemukan kokain yang disembunyikan di bawah pelapik kasut ketika mereka tiba di Lapangan Terbang Haneda.


Menurut laporan TBS News DIG, setiap individu dipercayai membawa kira-kira satu kilogram kokain, dengan dua bungkusan seberat 500 gram disembunyikan masing-masing di dalam kasut kiri dan kanan.


Laporan itu turut memetik seorang suspek yang mendakwa menerima tawaran membawa dadah ke luar negara menerusi aplikasi Telegram dengan upah RM8,000 seorang.


Media Jepun menganggarkan nilai keseluruhan kokain yang dirampas kira-kira 120 juta yen atau RM3.1 juta.


Sementara itu, Tokyo Reporter yang memetik laporan Nippon News Network (NNN) pada 12 Oktober lalu mendakwa seorang daripada lima rakyat Malaysia yang ditahan, Mohamad Danial Farhan Abdul Rahman, 24, turut ditahan bersama isterinya dan beberapa rakan mereka.


Bagaimanapun, hubungan suami isteri antara dua suspek berkenaan belum disahkan PDRM.

Selasa, 13 Oktober 2026

Rampasan dadah di Laos: Polis kenal pasti bekas juruterbang, seorang wanita antara dua warga Filipina terbabit

Rampasan dadah di Laos: Polis kenal pasti bekas juruterbang, seorang wanita antara dua warga Filipina terbabit


Polis kenal pasti seorang bekas juruterbang warga Filipina yang mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah serta seorang wanita warga negara itu yang dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa, susulan rampasan lebih setengah tan methamphetamine dari sebuah jet persendirian di Laos.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil siasatan mendapati bekas juruterbang berusia 54 tahun itu menyewa pesawat berkenaan menerusi seorang broker dari Malaysia, manakala wanita berusia 51 tahun pula dipercayai bertindak sebagai penyelaras sindiket.


Menurutnya, perkembangan terbaharu itu diperoleh hasil siasatan terhadap rampasan dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, Laos yang turut menyaksikan penahanan seorang pembantu juruterbang warga Malaysia.


"Siasatan mengenal pasti sindiket berkenaan serta individu di Malaysia yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu.


"Setakat ini, JSJN sudah merakam keterangan beberapa saksi termasuk seorang warga Malaysia yang bertindak sebagai broker bagi menguruskan penyewaan pesawat berkenaan.


"Individu itu mendedahkan bahawa pesawat terbabit disewa oleh seorang lelaki warga Filipina yang dikenal pasti sebagai bekas juruterbang dan mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah di Filipina," katanya dalam kenyataannya hari ini.


Hussein berkata, pihaknya turut mengenal pasti seorang wanita warga Filipina yang dipercayai memainkan peranan sebagai penyelaras dalam operasi sindiket berkenaan.


Beliau berkata, Unit Siasatan Khas JSJN mengetuai siasatan kes itu mengikut Seksyen 34 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Siasatan Seksyen 34 adalah berkaitan pakatan sulit atau perbuatan persediaan di Malaysia bagi kesalahan pengedaran dadah yang dilakukan di luar negara.


Beliau berkata, polis Malaysia bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar Negeri dan Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) bagi mendapatkan maklumat lanjut serta membantu siasatan yang sedang dijalankan.


Kerjasama itu bertujuan mengenal pasti pembabitan individu yang mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan, selain mengesan pihak lain yang mungkin membantu melancarkan operasi pengedaran dadah itu.


Pada 1 Oktober lalu, pihak berkuasa Laos merampas kira-kira 521 kilogram methamphetamine daripada sebuah jet persendirian di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang.


Seramai 13 individu ditahan pihak berkuasa Laos berhubung kes itu, termasuk seorang pembantu juruterbang warga Malaysia.


Siasatan polis Malaysia kemudian mendapati pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, menuju Luang Prabang tanpa membawa sebarang kargo.


Pesawat itu dipercayai disewa bagi membawa dadah dari Laos ke Manila, Filipina.


Pada sidang media 9 Oktober lalu, Hussein mendedahkan pesawat itu disewa dengan bayaran 49,500 dolar Amerika Syarikat (kira-kira RM209,000) untuk membawa penghantaran yang diisytiharkan sebagai barangan dari Laos ke Filipina.


Beliau dilaporkan berkata, penyiasat percaya individu yang menguruskan penyewaan pesawat itu adalah warga Filipina dan maklumat mengenainya sudah dikongsi dengan pihak berkuasa negara berkenaan bagi membantu usaha mengesan serta menahan pihak yang bertanggungjawab.


Di Malaysia, polis turut menahan seorang juruterbang warga Malaysia berusia 49 tahun yang memiliki sebuah syarikat penerbangan berkaitan dengan jet persendirian terbabit.


Hussein berkata, JSJN kekal komited membanteras sindiket pengedaran dadah serta memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa.


Sebelum ini, dilaporkan bahawa 521 kilogram methamphetamine yang dirampas daripada jet persendirian itu diisytiharkan sebagai produk vape dalam manifes kargo pesawat bagi menyembunyikan penghantaran dadah yang dipercayai menuju ke Manila.


Pesawat yang dimiliki syarikat penerbangan kendalian Malaysia itu dipintas pihak berkuasa Laos di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang pada 1 Oktober lalu sebelum dadah berkenaan sempat dibawa ke Filipina.

Ahad, 11 Oktober 2026

Dua lelaki bawa senjata, dadah ditahan selepas dikejar dari Bukit Antarabangsa ke Setiawangsa

Dua lelaki bawa senjata, dadah ditahan selepas dikejar dari Bukit Antarabangsa ke Setiawangsa


Dua lelaki ditahan selepas dikejar anggota kereta peronda polis (MPV) dari Jalan Wangsa 5, Bukit Antarabangsa menghala ke Lebuhraya MRR2, Hulu Kelang berhampiran Ampang Jaya, Kuala Lumpur, hari ini.


Kedua-dua suspek ditahan ketika berada dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max berwarna oren, di persimpangan Jalan Jelatek dengan Jalan Taman Setiawangsa, berhampiran stesen minyak Caltex Setiawangsa.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika anggota bertugas di Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, menerima makluman daripada anggota MPV SL 321 yang sedang mengejar kenderaan terbabit.


"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemukan beberapa barangan, termasuk sebilah parang, sebilah sabit dan peralatan disyaki digunakan untuk mencuri kabel, antaranya alat pembuka penutup lurang pembetung (manhole).


"Polis turut merampas bahan disyaki dadah daripada kedua-dua suspek untuk siasatan lanjut.


Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya kepada media hari ini.


Beliau berkata, mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


"Sementara itu, kesalahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.


"Bagi Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya.


Manakala Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Terdahulu, tular beberapa video di aplikasi Threads, berhubung kejadian berkenaan yang memaparkan kenderaan suspek merempuh pembahagi jalan di persimpangan Jalan Jelatek-Setiawangsa, sebelum tersekat di laluan bertentangan.


Berdasarkan rakaman video orang awam, salah seorang suspek kemudian melarikan diri, namun berjaya diberkas oleh polis dengan dibantu pengguna jalan raya yang berada berhampiran.


Sabtu, 10 Oktober 2026

Pemandu lori langgar 11 kenderaan di Shah Alam positif syabu, amphetamine

Pemandu lori langgar 11 kenderaan di Shah Alam positif syabu, amphetamine


Pemandu lori yang merempuh 11 kereta dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam, semalam, didapati positif amphetamine dan methamphetamine atau syabu.


Lelaki berusia 51 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan selepas ujian air kencing yang dijalankan terhadapnya mendapati dia positif kedua-dua jenis dadah berkenaan.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah, berkata kemalangan kira-kira jam 4.20 petang itu membabitkan 12 kenderaan, termasuk lori dipandu lelaki terbabit.


"Berdasarkan siasatan awal, pemandu lori itu mendakwa kenderaannya mengalami masalah brek ketika menuruni bukit dari arah Puncak Perdana menghala ke Puncak Alam sebelum hilang kawalan.


"Lori itu kemudian terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar 11 kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat.


"Ujian pernafasan bagi mengesan kadar alkohol dan ujian air kencing dijalankan ke atas pemandu lori dan mendapati positif amphetamine dan methamphetamine," katanya dalam kenyataan hari ini.



Sarudin berkata, kemalangan itu menyebabkan seorang lelaki berusia 58 tahun yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Subaru XV cedera parah di kepala dan dirawat di Zon Merah Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam.


Katanya, isteri mangsa berusia 53 tahun dan cucu mereka, remaja lelaki berusia 17 tahun yang turut berada dalam kenderaan sama, juga menerima rawatan di hospital berkenaan, namun kedua-duanya dilaporkan stabil.


Seorang lagi mangsa, lelaki berusia 29 tahun yang memandu Perodua Myvi cedera pada badan dan turut dilaporkan stabil.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Terdahulu, Media melaporkan empat individu cedera, termasuk seorang lelaki parah dalam kemalangan berkenaan.

Penjenayah tular Damansara Damai cedera ditembak polis, ada 10 rekod jenayah

Penjenayah tular Damansara Damai cedera ditembak polis, ada 10 rekod jenayah


Seorang penjenayah yang tular dalam insiden mengejar semalam akhirnya tumpas selepas cedera ditembak polis ketika cuba meloloskan diri di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran Damansara Damai, semalam.


Dalam kejadian kira-kira pukul 6.42 petang itu, suspek berusia lingkungan 30-an yang memandu kereta jenis Proton Wira telah melanggar kenderaan awam sebelum meninggalkan keretanya dan cuba melarikan diri dengan berlari di lebuh raya.


Bagaimanapun, tindakan suspek itu berakhir apabila dia berjaya diberkas selepas mengalami kecederaan akibat terkena tembakan yang dilepaskan anggota polis ketika kejadian.


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden mengejar antara polis peronda dengan kereta suspek dari Persiaran Mahogani menghala ke Sungai Buloh.


"Siasatan awal mendapati suspek memiliki dadah dan senjata mainan menyerupai pistol. Suspek mempunyai 10 rekod lampau iaitu enam berkaitan dadah dan empat kes jenayah," katanya dalam kenyataan hari ini.


Shamsudin berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek belum dapat dijalankan kerana sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya.


Katanya, anggota peronda polis yang terlibat dalam kejadian itu turut mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di hospital.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu atau berbahaya.


"Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.


Beliau menambah, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini.


Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Jumaat, 9 Oktober 2026

pegawai, anggota polis dituduh semula, tidak mengaku ambil dadah

pegawai, anggota polis dituduh semula, tidak mengaku ambil dadah


Seorang pegawai dan 11 anggota polis dituduh semula di Mahkamah Majistret Sungai Petani, semalam atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan, dua tahun lalu.


Tertuduh ialah Muhammad Shabri Salamat, 32, Syamsul Ismail, 29, S. Sarvindran, 30, Mohammad Muizzuddin Mohamad Taib, 31;, Khairol Nizam Mohamad, 36, Mohd. Arami Aluwi, 36, dan Muhammad Azri Zakariya, 37.


Lima lagi ialah G. Selva Kumar, 38, Wan Muneer Abdullah, 38, Muhammad Hazri Ramle, 42, Mohd Fazly Long, 47, dan Mohd Khairi Zakaria, 57.


Mereka yang berpangkat inspektor, sarjan, koperal dan lans koperal bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di dua mahkamah berasingan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman dan Noor Fazlina Musa.


Mereka dituduh semula semalam setelah dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi pertuduhan tersebut di Mahkamah Majistret Sungai Petani pada April lalu.


Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan tanpa kebenaran memasukkan dadah jenis ketamin dan methylenedioxymethamphetamine (MDMA) ke dalam badan di sebuah premis di Aman Square, Sungai Petani antara pukul 4.20 pagi hingga 7.23 pagi, 2 Oktober 2024.


Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000, jika sabit kesalahan.


Sementara itu, ketika prosiding di hadapan Majistret Noor Fazlina, peguam, Datuk Suhaimi Ibrahim yang mewakili lapan tertuduh memaklumkan mahkamah bahawa anak guamnya dituduh semula selepas kes tersebut diputuskan sebagai DNAA pada peringkat setelah dua saksi memberi keterangan dengan perbicaraan dijalankan secara serentak.


Seterusnya, Timbalan Pendakwa Raya, Adlin Sufiya Kamaruzzaman menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.


Suhaimi kemudian memohon jaminan dikurangkan memandangkan semua anak guamnya kini digantung tugas sehingga kes selesai.


Peguam, Suhaimi dan Mohd Khairul Fairuz Rahman mewakili lapan tertuduh, manakala peguam, Burhanudeen Abdul Wahid mewakili empat tertuduh.


Majistret di kedua-dua mahkamah membenarkan jaminan antara RM1,800 hingga RM2,000 kepada setiap tertuduh dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 November sebagai tarikh pengurusan kes.


Media pada 3 Oktober 2024 melaporkan Polis Diraja Malaysia menggantung tugas 12 pegawai dan anggota polis yang positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sungai Petani pada 2 Oktober.


Ketua Polis Negara ketika itu iaitu Tan Sri Razarudin Hussein berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota yang terbabit kes jenayah dan masalah disiplin.

'Saya mohon maaf cemarkan nama baik Yusof Haslam' - Tisha Shamshir

'Saya mohon maaf cemarkan nama baik Yusof Haslam' - Tisha Shamshir


Pelakon Gerak Khas 2.0, Tisha Shamshir memohon maaf kepada penerbit, Datuk Yusof Haslam susulan kes dadah membabitkan dirinya yang menjejaskan kredibiliti pengarah terkenal itu.


Tisha atau nama sebenarnya, Shanorbiah Shamsir Alam, 40, berkata permohonan maaf serupa juga ditujukan kepada ahli keluarganya berikutan kes yang kini masih dibicarakan di mahkamah.


"Saya ingin memohon maaf kerana saya sedar perkara ini sedikit sebanyak telah mencemarkan nama baik majikan saya, Datuk Yusof Haslam. Saya juga ingin meminta maaf kepada keluarga saya. Saya doakan yang terbaik sahaja.


"Apa pun, ujian daripada Allah itu memang hebat, memang berat. Saya terima dengan hati terbuka dan harap saya kuatlah," kata Tisha selepas sebutan semula kesnya di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam.


Begitupun, pelakon juga penyanyi enggan mengulas lanjut mengenai prosiding berkenaan selain hanya meminta ruang untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.


"Saya tidak mahu memberikan apa-apa kenyataan. Maaf, saya minta maaf. Saya cuma nak menjalani kehidupan seperti biasa," ujarnya.


Pada masa sama, Tisha meminta netizen agar tidak terburu-buru menghukum seseorang tanpa mengetahui perkara sebenar.


"Apa yang boleh saya katakan di sini, kita semua manusia biasa. Kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan atau kekhilafan. Saya minta netizen di luar sana janganlah terlalu cepat untuk menghukum seseorang," katanya.


Ditanya mengenai kesan kontroversi tersebut terhadap kerjayanya, Tisha mengakui perkara itu sedikit sebanyak memberi impak terhadap perjalanan profesional sebagai pelakon.


"Sedikit sebanyak memang ada," katanya.


Semalam, pelakon itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 8.10 pagi berbaju kebaya moden serba biru, berkaca mata hitam dan diiringi pengawal peribadi. Hasil prosiding, mahkamah menetapkan 10 November depan untuk sebutan semula kes.


Pada 7 Julai lalu, pelakon drama bersiri Gerak Khas 2.0 itu ditahan bersama beberapa individu lain di sebuah bilik VIP di sebuah pusat hiburan di ibu negara dan didapati positif dadah jenis methamphetamine.


Serbuan menerusi Op Noda itu dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama IPD Dang Wangi pada pukul 3.15 pagi.


Susulan itu, tertuduh, Tisha mengaku tidak bersalah ketika perbicaraan kes di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pada 10 Julai lalu dan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ainna Maryam Norazman mencadangkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin warganegara.


Tisha yang diwakili peguam bela, Nik Azhar Nik Adib memohon jumlah jaminan rendah dengan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan semalam sebagai tarikh sebutan semula kes.