Polis kenal pasti seorang bekas juruterbang warga Filipina yang mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah serta seorang wanita warga negara itu yang dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa, susulan rampasan lebih setengah tan methamphetamine dari sebuah jet persendirian di Laos.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil siasatan mendapati bekas juruterbang berusia 54 tahun itu menyewa pesawat berkenaan menerusi seorang broker dari Malaysia, manakala wanita berusia 51 tahun pula dipercayai bertindak sebagai penyelaras sindiket.
Menurutnya, perkembangan terbaharu itu diperoleh hasil siasatan terhadap rampasan dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, Laos yang turut menyaksikan penahanan seorang pembantu juruterbang warga Malaysia.
"Siasatan mengenal pasti sindiket berkenaan serta individu di Malaysia yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes itu.
"Setakat ini, JSJN sudah merakam keterangan beberapa saksi termasuk seorang warga Malaysia yang bertindak sebagai broker bagi menguruskan penyewaan pesawat berkenaan.
"Individu itu mendedahkan bahawa pesawat terbabit disewa oleh seorang lelaki warga Filipina yang dikenal pasti sebagai bekas juruterbang dan mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah di Filipina," katanya dalam kenyataannya hari ini.
Hussein berkata, pihaknya turut mengenal pasti seorang wanita warga Filipina yang dipercayai memainkan peranan sebagai penyelaras dalam operasi sindiket berkenaan.
Beliau berkata, Unit Siasatan Khas JSJN mengetuai siasatan kes itu mengikut Seksyen 34 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Siasatan Seksyen 34 adalah berkaitan pakatan sulit atau perbuatan persediaan di Malaysia bagi kesalahan pengedaran dadah yang dilakukan di luar negara.
Beliau berkata, polis Malaysia bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar Negeri dan Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) bagi mendapatkan maklumat lanjut serta membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Kerjasama itu bertujuan mengenal pasti pembabitan individu yang mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan, selain mengesan pihak lain yang mungkin membantu melancarkan operasi pengedaran dadah itu.
Pada 1 Oktober lalu, pihak berkuasa Laos merampas kira-kira 521 kilogram methamphetamine daripada sebuah jet persendirian di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang.
Seramai 13 individu ditahan pihak berkuasa Laos berhubung kes itu, termasuk seorang pembantu juruterbang warga Malaysia.
Siasatan polis Malaysia kemudian mendapati pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, menuju Luang Prabang tanpa membawa sebarang kargo.
Pesawat itu dipercayai disewa bagi membawa dadah dari Laos ke Manila, Filipina.
Pada sidang media 9 Oktober lalu, Hussein mendedahkan pesawat itu disewa dengan bayaran 49,500 dolar Amerika Syarikat (kira-kira RM209,000) untuk membawa penghantaran yang diisytiharkan sebagai barangan dari Laos ke Filipina.
Beliau dilaporkan berkata, penyiasat percaya individu yang menguruskan penyewaan pesawat itu adalah warga Filipina dan maklumat mengenainya sudah dikongsi dengan pihak berkuasa negara berkenaan bagi membantu usaha mengesan serta menahan pihak yang bertanggungjawab.
Di Malaysia, polis turut menahan seorang juruterbang warga Malaysia berusia 49 tahun yang memiliki sebuah syarikat penerbangan berkaitan dengan jet persendirian terbabit.
Hussein berkata, JSJN kekal komited membanteras sindiket pengedaran dadah serta memperkukuh kerjasama dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa 521 kilogram methamphetamine yang dirampas daripada jet persendirian itu diisytiharkan sebagai produk vape dalam manifes kargo pesawat bagi menyembunyikan penghantaran dadah yang dipercayai menuju ke Manila.
Pesawat yang dimiliki syarikat penerbangan kendalian Malaysia itu dipintas pihak berkuasa Laos di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang pada 1 Oktober lalu sebelum dadah berkenaan sempat dibawa ke Filipina.

EmoticonEmoticon