Selasa, 13 Oktober 2026

Warga Myanmar ada rekod jenayah wajib jalani proses undang-undang sebelum dihantar pulang


Warga Myanmar yang mempunyai rekod jenayah di Malaysia perlu menjalani proses undang-undang negara ini terlebih dahulu sebelum dihantar pulang ke negara asalnya.


Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu antara ketetapan dipersetujui kerajaan Myanmar dalam pertemuan dua hala baru-baru ini bagi memperjelaskan mekanisme penghantaran pulang rakyat negara berkenaan.


Beliau berkata, kerajaan Myanmar bersetuju menerima semula rakyatnya yang berada di Malaysia selepas proses pemeriksaan dan pengesahan identiti dilakukan pihak berkuasa negara ini.


"Kerajaan Myanmar bersetuju menerima kembali rakyat mereka yang berada di tempat kita selepas melakukan proses yang ditetapkan melainkan ada garis merah iaitu mereka ada rekod jenayah.


"Kalau rekod kita dapati dia ada terbabit pelanggaran undang-undang, kita akan uruskan secara undang-undang terlebih dahulu, tidak segera menghantar pulang," katanya.


Beliau berkata demikian selepas Program Townhall MADANI bersama Menteri Dalam Negeri di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Merbok, Sungai Petani, hari ini.


Saifuddin berkata, dalam pertemuan itu, Presiden Myanmar Min Aung Hlaing turut memberikan jaminan keselamatan terhadap rakyat negara berkenaan termasuk etnik Rohingya yang dihantar pulang.


"Kementerian Dalam Negeri turut menyertai pertemuan baru-baru ini dan jaminan keselamatan itu diberikan sendiri oleh Presiden Myanmar.


"Jadi, kita ambil setakat itu dulu bahawa jaminan diberikan adalah jaminan keselamatan," katanya.


Beliau berkata, kerajaan Myanmar turut bersetuju supaya proses pemeriksaan dan pengesahan identiti dilakukan Malaysia sebelum senarai nama individu terbabit diserahkan kepada kerajaan negara itu untuk tindakan penghantaran pulang.


"Persetujuan itu menjadi panduan bagi memastikan proses penghantaran pulang dilaksanakan mengikut prosedur yang dipersetujui kedua-dua negara.


"Malaysia sebelum ini mengenal pasti 5,000 warga Myanmar untuk dihantar pulang hasil rundingan Perdana Menteri, Menteri Luar dan Kementerian Dalam Negeri dengan pihak Myanmar sepanjang tahun lalu.


"Daripada jumlah 5,000 yang dikenal pasti itu, kita sudah memproses dan menghantar pulang 1,400 orang menggunakan kapal laut milik tentera laut Myanmar.


"Baki 3,600 lagi akan menyusul selepas ini secara berperingkat," katanya.


Pada 8 Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Myanmar bersedia menerima penghantaran pulang antara 3,000 hingga 4,000 lagi rakyatnya yang kini berada di depot tahanan imigresen.


Perkara itu dimaklumkan Min Aung Hlaing dalam pertemuan dua hala bersama Anwar di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.


EmoticonEmoticon