Kegiatan penyeludupan dadah rentas sempadan yang dipercayai menggunakan kemudahan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah dikesan menerusi risikan polis sejak Januari lalu sebelum berjaya dibongkar dengan penahanan 11 suspek, termasuk lima pegawai tentera.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, risikan berterusan itu berjaya mengesahkan wujud kegiatan membawa dadah menggunakan aset TUDM, sekali gus membolehkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menjalankan tindakan lanjut sejak Julai lalu.
Menurutnya, kumpulan terbabit dipercayai menggunakan kemudahan TUDM untuk membawa dadah dari satu lokasi ke lokasi lain tanpa melalui pemeriksaan ketat seperti di pintu masuk rasmi.
Beliau berkata, langkah keselamatan di pintu keluar masuk negara, khususnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), turut dipertingkatkan susulan kes penahanan pembantu juruterbang di Jakarta, menyebabkan sindiket dipercayai beralih menggunakan laluan lain termasuk pelabuhan dan aset TUDM.
"Jumlah dadah yang kita kesan iaitu 96 kilogram adalah besar," katanya ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni di Kampung Paya Besar, Lunas, malam tadi.
Saifuddin Nasution berkata, kerjasama JSJN dan TUDM berjaya mengesan kegiatan membawa dadah dari Semenanjung ke Sabah apabila pemeriksaan bagasi di premis TUDM menemukan bahan terlarang berkenaan.
Katanya, polis masih menyiasat tempoh kegiatan itu beroperasi, sama ada dilakukan oleh sindiket tempatan atau antarabangsa, selain tidak menolak kemungkinan penahanan suspek baharu.
Terdahulu, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan 11 individu, termasuk lima pegawai TUDM dan enam orang awam, ditahan di sekitar Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit pengedaran 96.64 kilogram syabu bernilai RM4.83 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menyifatkan kes berkenaan sebagai serius dan membimbangkan, serta menegaskan tindakan tegas perlu diambil terhadap semua pihak yang terlibat tanpa mengira pangkat.

EmoticonEmoticon