MELAKA - Sekumpulan individu disyaki cuba mencuri kabel bawah tanah melarikan diri menggunakan dua kenderaan selepas dikesan polis, sebelum dikejar dari Taman Malim Jaya hingga ke Rumbia, Alor Gajah, semalam.
Kejadian kira-kira jam 6.05 pagi itu turut tular menerusi video berdurasi 10 saat di Facebook yang dikongsikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Alex Seah Shoo Chin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, pihaknya mengesan video berkenaan dan menerima laporan sebelum siasatan dijalankan bagi mengenal pasti serta mengesan suspek.
Beliau berkata, kejadian bermula apabila anggota Rondaan Cegah Jenayah menerima maklumat daripada Pusat Kawalan Daerah Melaka Tengah mengenai sekumpulan individu yang disyaki membuka penutup lubang utiliti bawah tanah dan memotong kabel.
Pemeriksaan di lokasi mendapati beberapa individu sedang membuka penutup lubang utiliti, namun mereka bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis menggunakan dua kenderaan.
Polis kemudian melancarkan operasi mengejar dengan bantuan beberapa unit kereta peronda, meliputi laluan Taman Malim Jaya, Batu Berendam, Krubong dan Cheng sebelum berakhir di Rumbia, Alor Gajah.
Bagaimanapun, kedua-dua kenderaan suspek berjaya melepaskan diri dan usaha mengesan mereka masih diteruskan.
Siasatan awal turut mendapati penutup lubang utiliti di Jalan Malim Jaya 2/2 serta Bulatan Malim Jaya sudah dibuka. Polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti individu terbabit serta mengesan kedua-dua kenderaan yang digunakan dalam kejadian itu.

EmoticonEmoticon