Sebuah objek misteri yang menyerupai serpihan angkasa ditemukan terdampar di sebuah pulau di Krabi, Thailand, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai asal usul dan identitinya.
Objek berkenaan ditemukan berhampiran sebuah stesen renjer di Pulau Mai Phai, dalam kawasan Taman Negara Hat Noppharat Thara-Mu Ko Phi Phi, pada 1 November lalu.
Bagaimanapun, sehingga kini, belum ada pihak yang dapat mengesahkan dari mana objek itu berasal atau bagaimana ia boleh sampai ke pulau berkenaan.
Menyedari penemuan luar biasa itu, Agensi Pembangunan Teknologi Geoinformatik dan Angkasa Lepas (GISTDA) mengerahkan pasukan daripada Pusat Penyelidikan Teknologi Angkasa (S-TREC) ke lokasi pada Khamis lalu bagi menjalankan pemeriksaan serta mengambil objek tersebut.
Operasi berkenaan turut mendapat kerjasama Pusat Pemerintahan Penguatkuasaan Maritim Thailand cawangan Krabi dan pegawai taman negara bagi mendapatkan maklumat berkaitan penemuan serta penyimpanan objek itu.
Selepas pemeriksaan awal, objek berkenaan dibawa ke Taman Inovasi Angkasa di Chon Buri untuk menjalani analisis kejuruteraan secara terperinci.
Pemeriksaan itu dijangka dapat membantu merungkai misteri asal usul objek berkenaan, termasuk mengenal pasti sama ada ia benar-benar serpihan daripada teknologi atau misi angkasa lepas.
GISTDA memaklumkan hasil analisis akan diumumkan kepada umum sebaik proses pemeriksaan selesai.
Dalam pada itu, orang ramai diingatkan supaya tidak menyentuh atau mengalihkan objek yang disyaki serpihan angkasa kerana berkemungkinan mengandungi bahan kimia berbahaya.
Mereka yang menemui objek seumpama itu dinasihatkan mengambil gambar, merekodkan lokasi penemuan dan segera melaporkannya kepada pihak berkuasa tempatan atau GISTDA.





































