Ahad, 30 April 2023

Rancak kutip duit parkir haram, enam lelaki ditahan di Kuala Lumpur

Rancak kutip duit parkir haram, enam lelaki ditahan di Kuala Lumpur


Padah mengutip bayaran secara haram, enam lelaki diberkas menerusi Op Parkir Haram yang dijalankan di empat lokasi berasingan, sekitar ibu negara pada Khamis, 27 April 2023.


Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menerusi kenyataan memaklumkan operasi tersebut membabitkan Jalan Beremi, Jalan Tengah, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Panggong.


Kata kenyataan itu, operasi tersebut diketuai dua pegawai JSPT KL dan 13 anggota yang bermula pukul 4 petang dan berakhir sekitar pukul 11.00 malam.


"Hasil operasi, enam suspek lelaki warga tempatan ditahan susulan pemantauan serta operasi yang telah dijalankan. Kesemua suspek yang ditahan berusia sekitar 22 hingga 51 tahun," katanya.


Menurutnya, operasi dijalankan berikutan aduan orang awam tentang berlakunya aktiviti kutipan duit parkir haram.


"Pihak kami menerima aduan berkaitan aktiviti kutipan parkir secara haram yang semakin rancak dilakukan oleh beberapa kumpulan atau individu di sekitar Kuala Lumpur.


"Tangkapan ke atas semua suspek terlibat dijalankan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.


Tambah beliau, kesemua suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.


Antara individu diberkas dalam Op Parkir Haram yang dijalankan di Jalan Beremi,Jalan Tengah, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Panggong pada Khamis.

Sabtu, 29 April 2023

Suntikan 'ajaib' turunkan berat badan sehingga 45 kilogram

Suntikan 'ajaib' turunkan berat badan sehingga 45 kilogram


Sejenis suntikan yang mampu membantu orang ramai menurunkan berat akan ditawarkan di Britain dan Amerika Syarikat (AS), lapor akhbar Daily Mail pada 27 April 2023.


Menurut data percubaan klinikal, suntikan Tirzepatide mampu membantu orang ramai menurunkan purata berat badan sebanyak 15.6 kilogram (kg).


Walaupun keputusan ujian sangat menjanjikan, pengawal selia masih perlu meluluskan suntikan yang perlu diambil sekali seminggu itu sebelum dilancarkan secara meluas.


Lilly and Co, firma farmaseutikal kini akan berusaha untuk mendapatkannya diluluskan sebagai pilihan penurunan berat badan di AS. Permohonan serupa akan dibuat di Britain akhir tahun ini.


Keputusan percubaan tirzepatide juga menunjukkan bahawa ia sedikit lebih berkuasa daripada saingan utamanya Wegovy, yang dihasilkan oleh firma Denmark Novo Nordisk.



Ketika ini, suntikan Tirzepatide hanya diluluskan untuk merawat diabetes tahap 2. Bagaimanapun, sesetengah penduduk AS sudah menunjukkan perubahan selepas meminta doktor memberikan suntikan Tirzepatide yang belum diluluskan.


Seorang lelaki yang mempunyai berat badan berlebihan mendakwa ubat yang dijenamakan semula sebagai Mounjuro itu membantunya menurunkan berat sehingga 45.4 kg.


Gambar sebelum dan selepas memaparkan transformasi luar biasa seorang eksekutif teknologi kesihatan, Matthew Barlow, 48, yang tinggal di California.


Dia mula menggunakan ubat itu pada November tahun lalu. Pada masa sama, dia juga mengubah diet dan gaya hidup seperti yang disyorkan oleh pakar. - Sumber Daily Mail.


Walaupun belum diluluskan untuk penurunan berat badan, sesetengah rakyat AS sudah menggunakannya. Salah seorang daripada mereka ialah Matthew Barlow, seorang eksekutif teknologi kesihatan berusia 48 tahun yang tinggal di California, berkata dia berjaya mengurangkan berat badan sehingga 45.4 kg sejak November dengan menggunakan Mounjaro dan mengubah dietnya. - Foto MailOnline.
Nelayan jumpa muntah ikan paus di tepi pantai bernilai RM392,428

Nelayan jumpa muntah ikan paus di tepi pantai bernilai RM392,428


Seorang nelayan bertuah secara tidak sengaja menemui muntah ikan paus seberat 3 kilogram di sebuah pantai di Rayong, timur Thailand, lapor portal berita Thaiger pada 27 April 2023.


Chuwit Senanoi, seorang nelayan berusia 36 tahun dari Rayong, ketika itu sedang mencari udang dan ketam di pantai di mukim Pak Nam Prasae, daerah Klaeng.


"Saya sedang berjalan di pantai sebelum menemui lima ketul ambergris bertaburan di atas pasir. Saya mengenalinya kerana saya pernah melihatnya dalam berita sebelum ini," kata Chuwit.


Jika terbukti tulen, dia boleh menjual muntah paus yang juga diberi jolokan 'emas terapung' itu pada harga tiga juta baht (RM392,428).


Muntah paus atau ambergris ialah bahan berharga yang dihasilkan dalam sistem pencernaan beberapa spesies paus termasuk paus sperma.


Sebaik sahaja menerima sijil yang membuktikannya muntah ikan paus, dia akan segera menjualnya, kata Chuwit.


Jika diklasifikasikan sebagai Gred A, harganya boleh mencecah satu juta baht (RM130,809) untuk satu kilogram. - Sumber The Thaiger.


Seorang nelayan, Chuwit Senanoi menemui muntah ikan paus di pantai mukim Pak Nam Prasae, daerah Klaeng pada Ahad lalu. - Foto Sanook.

Jumaat, 28 April 2023

Bakal pengantin berbogel di tengah jalan raya selepas mendapati tunangnya curang

Bakal pengantin berbogel di tengah jalan raya selepas mendapati tunangnya curang


Seorang bakal pengantin di China berbogel di tengah jalan raya yang sibuk selepas mendapati tunangnya berlaku curang, lapor portal berita Thaiger pada 25 April 2023.


Insiden yang menarik perhatian dan tular di media sosial China itu berlaku pada 17 April lalu di wilayah Jiangsu.


Orang ramai yang lalu lalang terkejut, cemas dan bingung melihat wanita muda itu berdiri di tengah jalan raya tanpa seurat benang. Dia kelihatan sangat tertekan, bingung dan tidak dapat mengawal tindakan serta kata-katanya.


Kisah di sebalik tindakan melampau wanita itu sangat menyayat hati. Dia menjalin hubungan cinta dengan tunangnya selama bertahun-tahun tanpa menyedari kecurangan lelaki itu. Mereka merancang untuk berkahwin pada 1 Mei ini.


Sebelum acara besar itu berlaku, wanita muda itu secara tidak sengaja mendapati tunangnya telah menjalinkan hubungan sulit dengan wanita lain sejak sekian lama.


Lelaki itu juga menggunakan wang mangsa untuk menyokong kehidupan perempuan simpanannya dan juga memandu kereta yang dibelinya baru-baru ini.


Wanita yang kecewa itu mendakwa bahawa dia telah bekerja keras selama bertahun-tahun untuk menyara tunangnya, mengharapkan kehidupan bahagia bersama.


Setelah mengetahui kebenaran, wanita itu bersemuka dengan tunangnya untuk berbincang. Bagaimanapun, pertengkaran antara pasangan itu dengan cepat memuncak, didorong oleh kemarahan dan kekecewaan.


Dalam keadaan marah, wanita muda itu mengoyakkan pakaiannya dan mendedahkan dirinya di khalayak ramai, dengan harapan dapat mengaibkan pasangannya dan menyebabkan dia sakit emosi.


Penampilannya yang mengejutkan itu menarik perhatian ramai, ada yang terlalu malu untuk menonton dan mengalihkan pandangan mereka, manakala yang lain mengambil gambar dan merakam video.


Malah, ada yang membuat spekulasi bahawa wanita itu pasti mempunyai masalah mental. Pun begitu, orang awam yang baik hati memujuk wanita itu pulang ke rumah dan memberikan pakaian.


Akhirnya, dengan bantuan polis tempatan, wanita muda itu bersetuju untuk beredar dan pulang ke rumahnya. Namun begitu, imej dan video kejadian itu tersebar dengan pantas di media sosial.


"Dengan melakukan ini, dia tidak memalukan lelaki itu, tetapi dirinya sendiri," tulis seorang metizen.


"Balas dendam terbaik adalah meninggalkan lelaki yang memalukan itu dan menjalani kehidupan yang lebih baik. Kuatlah wahai perempuan," komen netizen lain. - Sumber The Thaiger.


Seorang wanita berbogel selepas mendapati kekasihnya menipu dirinya di Jiangsu pada 17 April lalu. - Foto Sanook.

Rabu, 26 April 2023

Pesawat membawa 167 penumpang teruskan penerbangan selepas enjin terbakar

Pesawat membawa 167 penumpang teruskan penerbangan selepas enjin terbakar


Enjin sebuah pesawat membawa 167 penumpang terbakar sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Kathmandu di Nepal kerana pelanggaran dengan seekor burung, lapor akhbar Daily Mail pada 24 April 2023.


Jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal, Jagannath Niroula berkata, enjin pesawat syarikat penerbangan Flydubai yang dalam perjalanan ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) itu terbakar ketika baru berlepas, namun api berjaya dikawal.


Beberapa rakaman insiden yang dikongsikan di media sosial menunjukkan percikan api muncul sebanyak dua kali pada bahagian enjin pesawat Boeing 737-800 tersebut.


Pada awalnya, juruterbang difahamkan cuba berpatah balik ke Lapangan Terbang Kathmandu di mana jentera bomba sedang bersiap sedia.



Namun, Flydubai mengesahkan bahawa penerbangan FZ576 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai sejurus selepas tengah malam (waktu tempatan) meskipun enjinnya terbakar pada awalnya.


"Penerbangan Flydubai FZ576 pada 24 April 2023 dari Lapangan Terbang Kathmandu telah mendarat dengan selamat di Lapangan Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai pada pukul 12.11 tengah malam (waktu tempatan) selepas dilanggar oleh burung ketika berlepas.


"Juruterbang kami yang berpengalaman mengikuti prosedur operasi standard dan meneruskan perjalanan ke Dubai selepas mendapati enjin pesawat berada pada parameter operasi normal," kata jurucakap Flydubai. - Sumber Daily Mail UK.


BACA: Penumpang cemas, enjin pesawat terbakar di udara.


Beberapa rakaman insiden yang dikongsikan di media sosial menunjukkan percikan api muncul sebanyak dua kali pada bahagian enjin pesawat Boeing 737-800. - Foto Daily Mail.
Objek 'misteri' tiba-tiba muncul di pantai Florida

Objek 'misteri' tiba-tiba muncul di pantai Florida


Satu objek misteri dipercayai serpihan daripada bangkai sebuah kapal yang sudah lama karam, ditemukan terdampar tepi pantai di Florida, Amerika Syarikat, baru-baru ini.


Menerusi lapor portal UPI pada 21 April 2023, pihak berkuasa memaklumkan objek itu ditemukan akibat hakisan teruk daripada taufan yang melanda kawasan itu.


Menurut Agensi Pemantauan Pantai Volusia, objek disyaki serpihan bangkai kapal karam itu berukuran kira-kira 25 hingga 30 kaki panjang.


Jelas agensi itu, objek misteri itu ditemukan pada minggu lalu berhampiran bandar Daytona Beach Shores.     


"Objek yang kelihatan seperti serpihan bahagian badan kapal dipercayai dihanyutkan ombak dan terdampar di tepi pantai.


"Ia mungkin disebabkan oleh hakisan terik selepas Taufan Ian dan Fiona melanda kawasan itu tahun lalu," jelas agensi itu.


Pasukan keselamatan pantai memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menghampiri objek berkenaan.


Katanya, pasukan penyelidik akan mengunjungi lokasi tersebut untuk memeriksa objek yang ditemukan itu.


Sebelum ini, satu lagi serpihan daripada bangkai kapal yang karam, ditemukan terdampar di Volusia County akibat hakisan taufan pada Disember tahun lalu. - Sumber UPI.


Objek dipercayai serpihan daripada bangkai kapal karam ditemukan pada minggu lalu di Florida. - Foto Volusia County Beach Safety.

Selasa, 25 April 2023

MPV tersekat palang tol kerana bawa muatan lebih

MPV tersekat palang tol kerana bawa muatan lebih


Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan situasi sebuah kereta gagal melepasi palang tol, semasa balik kampung menjelang Hari Raya Aidilfitri kerana barangan yang diletakkan di atas bumbung terlalu tinggi, lapor portal berita Liputan 6 pada 24 April 2023.


Video itu dimuat naik dalam akaun TikTok @firtianurhidayah pada Rabu (19/4/2023). "Kalau nak balik rumah, sila anggarkan bagasi, okey," tulisnya.


Kereta yang cuba melalui tol itu terpaksa dihentikan selepas barangan yang diletakkan di atas bumbung kenderaan pelbagai guna (MPV) itu mencecah had maksimum 2.1 meter.


Kelihatan kereta itu akhirnya diundur dengan bantuan seorang lelaki. Sementara itu, perakam video tersebut segera membelok ke kiri untuk memasuki gerbang tol lain di sebelahnya.


Video itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen. Ramai daripada mereka juga menulis komen yang lucu.


"Dapat pahala kerana buat pemandu kereta belakang ketawa ketika mengantuk," komen seorang netizen.


"Dia lupa, pokok depan rumahnya juga boleh dibawa balik kampung buat cenderahati," tulis seorang lagi netizen. - Sumber Liputan6.


Kereta MPV itu berhenti dan mengundur kerana gagal lepasi penghadang. - Foto TikTok.

Isnin, 24 April 2023

Penumpang cemas, enjin pesawat terbakar di udara

Penumpang cemas, enjin pesawat terbakar di udara


Sebuah pesawat American Airlines terpaksa melakukan pendaratan cemas selepas enjinnya terbakar akibat terlanggar kawanan angsa, lapor laman berita Wion News, semalam.


Insiden itu berlaku 25 minit selepas pesawat Boeing 737 itu berlepas dari Ohio awal pagi Ahad, 23 April 2023.


Video kejadian yang tular memaparkan pesawat itu kembali ke Lapangan Terbang Antarabangsa John Glenn di Columbus ketika api muncul dan asap keluar dari bahagian enjin.


Menurut syarikat penyedia data penerbangan, FlightAware, pesawat itu berlepas dari lapangan terbang tersebut sekitar pukul 7:45 pagi (waktu tempatan) menuju ke Phoenix, Arizona.


Bagaimanapun, sekitar pukul 8 pagi (waktu tempatan) iaitu ketika pesawat itu berlegar-legar di kawasan Upper Arlington, juruterbang mendapati sesuatu yang tidak kena pada enjin dan terpaksa berpatah balik.


Pada pukul 8:20 pagi (waktu tempatan), pesawat itu mendarat semula di landasan selatan lapangan terbang yang sama. Anggota bomba dan keselamatan lapangan terbang segera menghampiri pesawat dan berjaya memadamkan kebakaran pada enjin.


Pihak berkuasa mengesahkan bahawa tiada kecederaan di dalam pesawat dan penumpang dibawa ke penerbangan lain yang berlepas pada sebelah pagi.


Sementara itu, Pentadbiran Aviasi Persekutuan (FAA) telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu. - Sumber Wion News.


Anggota keselamatan bergegas ke lokasi pesawat itu mendarat untuk memadamkan kebakaran. - Foto JACDEC.

Sabtu, 22 April 2023

Roket terbesar SpaceX meletup selepas 4 minit dilancarkan

Roket terbesar SpaceX meletup selepas 4 minit dilancarkan


Sebuah roket paling besar yang pernah dilancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk meletup di atmosfera Bumi dan mencetuskan pemandangan luar biasa di langit, lapor akhbar Daily Star pada 20 April 2023.


Kapal angkasa Starship dan roket Super Heavy atau digelar Starship merupakan roket paling berkuasa pernah dibina, selain direka khas untuk menghantar kru dan kargo ke orbit Bumi, Bulan, Marikh dan lokasi lain di angkasa lepas.


Roket itu diuji tanpa anak kapal dalam ujian penerbangan tersebut. Ia merupakan ujian penerbangan pertama Starship yang dipasang atas roket baharu syarikat itu, Super Heavy.


Roket Super Heavy yang membawa kapal angkasa Starship dilancarkan dari tapak pelancaran Starbase di Boca Chica, berdekatan Brownsville, Texas, Amerika Syarikat.



SpaceX sebelum ini menyifatkan kapal angkasa Starship sebagai satu kejayaan dengan mempunyai ketinggian 120 meter, beserta 33 enjin dan 7.5 juta kilogram tujahan.


Siaran langsung menerusi laman sesawang SpaceX menunjukkan roket tersebut berjaya dilancarkan ke udara, dengan iringan sorakan para kakitangannya.


Namun, kira-kira empat minit selepas pelancaran, Starship dilihat gagal dipisahkan dari Super Heavy sebelum roket gabungan itu mula terpesong arah lalu meletup di ruang udara dan terhempas ke perairan Teluk Mexico.


Sementara itu, syarikat SpaceX memaklumkan kapal angkasa itu mencapai ketinggian kira-kira 39 kilometer sebelum meletup.


Jelasnya, roket itu juga mencapai titik pelancaran kritikal tekanan aerodinamik maksimum sebelum hilang kawalan.


Bagaimanapun, pegawai SpaceX mengisytiharkan misi pelancaran itu sebagai ujian penerbangan yang berjaya. - Sumber Daily Star.


Sebuah roket paling besar yang pernah dilancarkan oleh SpaceX meletup di atmosfera Bumi. - Foto AFP.

Khamis, 20 April 2023

Lelaki positif dadah ceroboh balai, gigit jari polis hingga putus

Lelaki positif dadah ceroboh balai, gigit jari polis hingga putus


Bukan sahaja mengugut ingin menyimbah asid, seorang lelaki malah bertindak luar kawalan apabila menggigit jari manis seorang anggota polis sehingga putus, dalam satu kejadian di hadapan Pos Pengawal Balai Polis Sungai Besi, kelmarin.


Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.15 malam apabila beberapa anggota polis didatangi seorang lelaki tempatan di hadapan pos berkenaan.


Menurutnya, suspek berusia 34 tahun itu kemudian menjerit sambil mendakwa mahu menyimbah asid sebelum menyimbah air mineral di muka dan badan anggota terbabit lalu meluru ke perkarangan balai polis terbabit.


"Suspek juga membaling satu tin Red Bull ke arah dinding kaca sebelah kiri dan mengakibatkannya pecah.


"Keadaan itu menyebabkan berlaku pergelutan antara suspek dengan anggota polis ketika mereka cuba membuat tangkapan ke atas lelaki berkenaan.


"Bagaimanapun, suspek bertindak agresif dengan menggigit jari manis tangan kanan salah seorang anggota polis berkenaan sehingga putus pada bahagian hujung jari," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya, suspek yang turut mengalami kecederaan ringan berjaya ditahan dan semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai rekod dikehendaki polis berhubung kes penipuan.


"Ujian saringan awal air kencing suspek juga didapati positif Amphetamine dan Methamphetamine serta suspek pernah mendapat rawatan psikiatri pada tahun 2020, tetapi tidak memiliki sebarang kad rawatan mental," ujarnya.


Kes disiasat di bawah Seksyen 325/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan reman ke atas suspek telah dibenarkan selama empat hari bermula semalam hingga 21 April. - Sumber Harian Metro.


Suspek menggigit jari manis seorang anggota polis sehingga putus, dalam satu kejadian di Balai Polis Sungai Besi, Cheras, kelmarin. - Foto Utusan Malaysia.