Selasa, 25 April 2023

MPV tersekat palang tol kerana bawa muatan lebih


Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan situasi sebuah kereta gagal melepasi palang tol, semasa balik kampung menjelang Hari Raya Aidilfitri kerana barangan yang diletakkan di atas bumbung terlalu tinggi, lapor portal berita Liputan 6 pada 24 April 2023.


Video itu dimuat naik dalam akaun TikTok @firtianurhidayah pada Rabu (19/4/2023). "Kalau nak balik rumah, sila anggarkan bagasi, okey," tulisnya.


Kereta yang cuba melalui tol itu terpaksa dihentikan selepas barangan yang diletakkan di atas bumbung kenderaan pelbagai guna (MPV) itu mencecah had maksimum 2.1 meter.


Kelihatan kereta itu akhirnya diundur dengan bantuan seorang lelaki. Sementara itu, perakam video tersebut segera membelok ke kiri untuk memasuki gerbang tol lain di sebelahnya.


Video itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen. Ramai daripada mereka juga menulis komen yang lucu.


"Dapat pahala kerana buat pemandu kereta belakang ketawa ketika mengantuk," komen seorang netizen.


"Dia lupa, pokok depan rumahnya juga boleh dibawa balik kampung buat cenderahati," tulis seorang lagi netizen. - Sumber Liputan6.


Kereta MPV itu berhenti dan mengundur kerana gagal lepasi penghadang. - Foto TikTok.


EmoticonEmoticon