Ahad, 30 April 2023

Rancak kutip duit parkir haram, enam lelaki ditahan di Kuala Lumpur


Padah mengutip bayaran secara haram, enam lelaki diberkas menerusi Op Parkir Haram yang dijalankan di empat lokasi berasingan, sekitar ibu negara pada Khamis, 27 April 2023.


Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menerusi kenyataan memaklumkan operasi tersebut membabitkan Jalan Beremi, Jalan Tengah, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Panggong.


Kata kenyataan itu, operasi tersebut diketuai dua pegawai JSPT KL dan 13 anggota yang bermula pukul 4 petang dan berakhir sekitar pukul 11.00 malam.


"Hasil operasi, enam suspek lelaki warga tempatan ditahan susulan pemantauan serta operasi yang telah dijalankan. Kesemua suspek yang ditahan berusia sekitar 22 hingga 51 tahun," katanya.


Menurutnya, operasi dijalankan berikutan aduan orang awam tentang berlakunya aktiviti kutipan duit parkir haram.


"Pihak kami menerima aduan berkaitan aktiviti kutipan parkir secara haram yang semakin rancak dilakukan oleh beberapa kumpulan atau individu di sekitar Kuala Lumpur.


"Tangkapan ke atas semua suspek terlibat dijalankan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.


Tambah beliau, kesemua suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.


Antara individu diberkas dalam Op Parkir Haram yang dijalankan di Jalan Beremi,Jalan Tengah, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Panggong pada Khamis.


EmoticonEmoticon