Isnin, 13 Mac 2023

China tingkat bajet ketenteraan kepada RM1.01 trilion tahun ini tangani ancaman luar

China tingkat bajet ketenteraan kepada RM1.01 trilion tahun ini tangani ancaman luar


China memperuntukkan perbelanjaan ketenteraan lebih tinggi pada tahun ini dengan kenaikan 7.2 peratus, di tengah-tengah amaran peningkatan ancaman luar terhadap negara itu.


Beijing akan membelanjakan sebanyak AS$225 bilion (RM1.01 trilion) untuk sektor pertahanan, demikian menurut laporan dikeluarkan Kementerian Kewangan pada hari pembukaan Mesyuarat Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) yang bakal mengiktiraf Xi Jinping sebagai Presiden negara itu buat penggal ketiga.


Peruntukan itu sedikit tinggi berbanding tahun lepas sejajar dengan pertumbuhan ekonomi tahunan namun, melebihi sasaran keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun ini iaitu lima peratus.


Perdana Menteri, Li Keqiang memberitahu perwakilan NPC bahawa percubaan negara-negara luar untuk menindas dan menyaingi China semakin meningkat.


"Angkatan tentera harus memperhebat latihan ketenteraan dan kesiagaan secara menyeluruh," katanya.


Perbelanjaan pertahanan China masih lemah jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat (AS) yang telah memperuntukkan lebih AS$800 bilion (RM3.58 trilion) untuk pasukan tenteranya pada tahun ini dengan penganalisis berkata, lebih banyak wang dibelanjakan daripada jumlah yang diumumkan secara rasmi itu.


Sedekad lalu, bajet pertahanan China meningkat kira-kira 10 peratus setiap tahun, dengan menyaksikan peningkatan tertinggi pada 2014 iaitu sebanyak 12.2 peratus. Pada tahun 2022, bajet pertahanan China adalah sebanyak AS$210 bilion (RM941 juta).


Beijing telah menyalurkan berbilion-bilion dolar untuk memodenkan pertahanannya dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan sasaran untuk mentransformasikan pasukan tenteraanya yang besar untuk menjadi askar bertaraf dunia.


Ia telah mencetuskan persaingan yang kuat antara Beijing, Washington dengan kuasa-kuasa Barat yang lain.


Keadaan itu diperkuatkan lagi dengan ketegangan meningkat sejak beberapa tahun lepas antara China dan AS mengenai status Taiwan.


Keqiang dalam pada itu membuat rujukan standard dalam menentang kumpulan ‘pemisah’ di Taiwan selain mengulangi kedudukan Beijing terhadap pulau itu.


"Kita perlu mempromosikan pembangunan yang aman untuk hubungan rentas selat dan memajukan proses penyatuan semula (tanah besar China dan Taiwan) secara aman," ujarnya.


Pada tahun lalu, China mencatatkan pertumbuhan hanya tiga peratus sekali gus meleset daripada sasaran ditetapkan iaitu sekitar 5.5 peratus, ekoran kesukaran yang dialami di bawah kesan dasar pembendungan ketat Covid-19 dan krisis hartanah.


"Mengatasi kesukaran dan cabaran yang besar, kami berjaya mengekalkan prestasi ekonomi yang stabil secara keseluruhan," kata Keqiang.


Tentera China diingatkan agar memperhebat latihan ketenteraan dan kesiagaan secara menyeluruh. - Foto AFP.

Ahad, 12 Mac 2023

Pelancong hantar aduan tak tahan ayam berkokok terlalu kuat siang dan malam

Pelancong hantar aduan tak tahan ayam berkokok terlalu kuat siang dan malam


Pelancong asing di sebuah kawasan percutian di Bali mengemukakan aduan kepada masyarakat setempat mengenai gangguan bunyi yang mereka alami. Aduan bunyi bising itu adalah mengenai ayam jantan berkokok terlalu kuat setiap pagi.


Walaupun pegawai tempatan telah mengesahkan bahawa mereka akan membuat susulan terhadap aduan itu, beberapa laporan tempatan menyifatkan petisyen itu sebagai tingkah laku 'pelik' daripada warga asing.


Bagi kebanyakan orang, bunyi ayam jantan berkokok di sebuah kampung di Bali adalah keadaan semulajadi yang sepatutnya 'dinikmati' pelancong yang lari di kesibukan kota. Ini nampaknya tidak berlaku untuk sekumpulan warga asing di kawasan Jimbaran di Kuta Selatan.


Jimbaran ialah kawasan peranginan popular di Bali, rumah kepada komuniti warga asing yang telah bersara yang telah memilih untuk berpindah ke Indonesia untuk menikmati rentak kehidupan pulau pada usia senja mereka.



"Memang benar ada laporan aduan. Kami baru datang dari lokasi untuk menyemak kebenaran laporan itu. Aduan awal adalah daripada tetamu di Hotel Anumana Bay View di Kampung Jimbraran.


"Bukan itu sahaja, pelancong yang menginap di sana juga membuat petisyen kepada kami," kata Ketua Seksyen Keselamatan dan Ketenteraman Daerah Kuta Selatan, I Kadek Agus Alit Juwita, mengesahkan aduan mengenai ayam jantan itu sedang ditangani.


Seorang warga Britain dikenali sebagai William yang menghantar petisyen itu kepada salah seorang pemilik ayam turut menuduh lelaki berkenaan sebagai pelaku judi sabung ayam yang dilarang di Indonesia.


"Dia bela ayam dan melakukan aktiviti sabung yang haram di Indonesia. Lelaki ini memiliki banyak ayam dan berkokok bermula pukul 3 pagi menyebabkan orang lain tidak boleh tidur.


"Saya tawarkan 500,000 rupiah (RM146) kepadanya untuk memindahkan ayam-ayam itu tetapi dia tetap berdegil tidak mahu menerima wang itu," kata William.


Lapor Detik.com, pemilik ayam berkenaan, Wayan Agus Juli, 26, bersikap acuh tak acuh menjawab petisyen sebilangan warga asing yang menetap di Homestay Anumana Bay View di Jimbaran itu.


Wayan mengakui keberatan memindahkan ayam jantannya yang dikurung di dalam sangkar buluh itu kerana haiwan berkenaan dilahirkan dan dibesarkan di kawasan tersebut.


"Saya tidak kisah dengan apa yang mereka katakan. Saya tahu datuk dan nenek saya sudah berada di sini sejak zaman Belanda.


"Mereka jumpa saya di rumah. Tetapi apabila mereka bercakap, hanya masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Saya tidak faham bahasa Inggeris, jadi saya hanya menjawab yes, no yes no sahaja," tambah Wayan sambil tertawa.


Wayan berkata, ayam-ayam tersebut untuk dijual dan bapanya sebenarnya sanggup mengalihkan ayam peliharaan itu dari kawasan kejiranan tersebut dengan syarat dia diambil bekerja di homestay itu dengan bayaran gaji minimum. - Sumber The Bali Sun.


Fenomena aneh hujan cacing melanda China

Fenomena aneh hujan cacing melanda China


Penduduk di wilayah Liaoning, China, yang bersempadan dengan Korea Utara digesa mencari tempat perlindungan selepas kawasan itu dilanda fenomena 'hujan cacing', lapor akhbar Mirror UK pada 11 Mac 2023.


Rakaman kejadian yang tular di media sosial memaparkan situasi selepas hujan cacing itu berlaku dengan haiwan itu berselerak di atas jalan dan turut memenuhi bumbung kereta.


Beberapa penduduk kelihatan melindungi diri mereka menggunakan payung ketika berjalan di kawasan tersebut.


Punca bencana itu belum diketahui, namun jurnal saintifik Mother Nature Network mencadangkan bahawa haiwan itu telah dihanyutkan oleh kejadian angin kencang.


Kertas penyelidikan itu juga mendakwa kejadian tersebut boleh berlaku selepas ribut apabila serangga terperangkap dalam pusaran angin.


Teori lain mencadangkan bahawa cacing-cacing itu sebenarnya pokok tulip dengan bunganya menyerupai haiwan tersebut.


Kejadian itu mendapat perhatian orang ramai di ruangan komen.


"Ini bukan cacing atau haiwan tetapi tangkai bunga yang gugur dari pokok," komen seorang netizen.


"Fenomena yang pelik," komen netizen lain. - Sumber Mirror UK.


Penduduk terpaksa menggunakan payung untuk melindungi diri daripada cacing. - Foto New York Post.

Jumaat, 10 Mac 2023

Polis buru lelaki merompak dan meraba kemaluan pemilik kedai ketum

Polis buru lelaki merompak dan meraba kemaluan pemilik kedai ketum


Polis di daerah Tung Song di wilayah selatan Nakhon Thammarat memburu seorang lelaki yang merompak sebuah kedai ketum pada Sabtu lalu, lapor portal berita Thaiger pada 9 Mac 2023.


Menurut polis, lelaki itu bukan sahaja mengancam seorang gadis yang merupakan pemilik kedai dengan sepucuk pistol tetapi juga meraba kemaluan mangsa sebelum dia bertindak melarikan diri.


Rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial menunjukkan suspek memakai jaket dan topi keledar meletakkan motosikalnya sebelum memasuki kedai berkenaan lalu mengancam mangsa.


Suspek yang tidak dinamakan itu mencuri semua wang tunai sebelum melakukan serangan seksual terhadap gadis itu.


Mangsa dikenali sebagai Ta berusia 19 tahun memberitahu media bahawa dia dan ibunya menyewa sebuah rumah di Tung Song-Kapong Road lima bulan lalu supaya mereka boleh mengusahakan kedai menjual ketum.


Insiden itu mencetuskan gelombang kemarahan netizen Thailand, dengan ramai yang menyatakan kebimbangan terhadap kesejahteraan mangsa dan menyeru keadilan.


Walau bagaimanapun, sesetengah individu menyiarkan komen negatif dan mempersendakan serangan seksual itu. Ramai yang menggesa netizen tersebut untuk memadam komen mereka dengan mengatakan insiden ini boleh berkembang menjadi tindakan yang lebih ganas seperti rogol, pembunuhan atau tindakan sadis yang lain.


Kes itu juga menimbulkan persoalan mengenai identiti suspek, kerana ada yang menyatakan bahawa dia memakai jaket yang mempunyai persamaan yang ketara dengan yang dipakai oleh Tentera Diraja Thai.


Pegawai dari Balai Polis Kapong kini sedang menyiasat kes itu dan berikrar untuk membawa pelaku ke muka pengadilan. - Sumber The Thaiger.


Gambar tangkap layar menunjukkan seorang lelaki mengancam seorang wanita dalam rompakan sebuah kedai ketum di daerah Tung Song pada Sabtu lalu. - Foto TikTok@anantarak27/Thai Special Forces.

Khamis, 9 Mac 2023

Presiden Indonesia dedah lebih sejuta rakyatnya pilih Malaysia untuk berubat

Presiden Indonesia dedah lebih sejuta rakyatnya pilih Malaysia untuk berubat


Presiden Indonesia, Joko Widodo mendedahkan hampir dua juta rakyatnya memilih untuk berubat di luar negara republik itu terutamanya ke Malaysia.


Joko Widodo atau turut dikenali sebagai Jokowi melalui Twitternya berkata, lebih sejuta rakyat Indonesia telah berubat ke hospital di Malaysia, 750,000 ke Singapura manakala lebihannya mendapatkan rawatan ke Jepun, Amerika Syarikat (AS), Jerman dan lain-lain negara.


Oleh kerana itu katanya, Indonesia telah mengalami kerugian sebanyak Rp165 triliun (RM 48.31 juta) kerana modal khidmat perubatan keluar.


"Karana itulah, pemerintah mendukung penuh pembangunan hospital bertaraf antarabangsa. Seperti hari ini, saya merasmikan Hospital Mayapada Bandung yang menggunakan tema hijau.


"Kehadirah hospital moden ini dilihat dapat mengurangkan jumlah rakyat kita untuk berubat ke luar negara," tulisnya hari ini.


Menjengah di ruangan komen ternyata, ramai rakyat Indonesia lebih mempercayai perubatan moden terutamanya hospitaliti di Malaysia berbanding negara lain kerana lebih murah dan berkesan.


"Di Malaysia terutamanya di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor, kemudahan dan teknologi hospital di sana cukup moden dan teratur. Saya sudah berubat di Indonesia beberapa kali namun penyakit saya tidak diketahui.


"Sekali sahaja saya ke Malaysia, dengan hanya upah RM100 saya sudah dapat tahu penyakit sebenar yang dihidapi saya iaitu masalah dalam kerongkong," ujar ArifGilang.


"Dari testimoni-testimoni di Twitter ini dapat disimpulkan ramai rakyat kita pergi terus ke Melaka, Penang dan Singapura karana memang lebih meyakinkan," kata Agil.


"Bapa mertua saya pada 2020 ada tumor hati dengan ukuran 9 CM, di Indonesia perlu diadakan pembedahan yang memakan modal jutaan ringgit.


"Terus ke Pulau Pinang, doktor di sana hanya bagi ubat dan sekarang telah sembuh," Kata Gamersujung. - Sumber Kosmo Online.

Pelancaran roket H3 gagal lagi, Jepun terpaksa meletupkan roket baharunya

Pelancaran roket H3 gagal lagi, Jepun terpaksa meletupkan roket baharunya


Roket baharu milik jepun, roket H3 dilaporkan gagal pada percubaan kali kedua pelancarannya pada hari Selasa lepas, lapor akhbar BBC News pada 7 Mac 2023.


Sehubungan itu, Agensi Angkasa Jepun (JAXA) mengeluarkan arahan untuk musnahkan roket berkenaan selepas memutuskan misi itu tidak berjaya ketika pelepasan.


Kegagalan itu merupakan tamparan hebat kepada JAXA selepas roket tersebut gagal dilancarkan pada percubaan pertama bulan lalu disebabkan dua enjinnya tidak dapat berfungsi.


Pelancaran kali kedua dari Pusat Angkasa Tanegashima di barat daya Jepun pada mulanya nampak berjaya, dengan roket itu berlepas pada pukul 10:37 pagi (waktu tempatan).


Walaupun roket itu berjaya melepasi fasa pemisahan peringkat pertama, namun tidak lama kemudian beberapa tanda masalah muncul.


"Nampaknya halaju semakin menurun," kata juruhebah JAXA yang bersiaran langsung ketika misi tersebut.


Bagaimanapun, pusat arahan kemudian mengesahkan misi itu gagal dan menghantar mesej untuk musnahkan roket itu.


"Arahan pemusnahan sudah dihantar ke H3 kerana tiada peluang misi itu akan berjaya," jelas pusat arahan itu.


Setakat ini, tiada penjelasan diberikan mengenai punca pelancaran itu gagal.


Roket H3 dibangunkan untuk pelancaran komersial lebih kerap dan yang pertama direka oleh Jepun dalam tiga dekad.


Ia telah dibentangkan sebagai alternatif yang lebih murah dan dikatakan sebagai pesaing yang mungkin untuk Falcon 9 Space X milik Elon Musk.


Pada hari Selasa, jurutera telah menyasarkan untuk menghantar roket setinggi 57 meter itu ke angkasa dengan satelit pemantauan di atas kapal. Sistem ALOS-3 mampu mengesan pelancaran peluru berpandu Korea Utara.


H3 yang dibangunkan oleh Mitsubishi Heavy Industries, merupakan pengganti kepada model H-IIA, yang mula diperkenalkan pada tahun 2001. - Sumber BBC News.


Orang ramai menyaksikan pelancaran roket H3 di Pusat Angkasa Tanegashima di Kagoshima, barat daya Jepun. - Foto AFP.

Selasa, 7 Mac 2023

Peniaga air buah maut terkena tayar treler terpelanting, rakannya patah tangan

Peniaga air buah maut terkena tayar treler terpelanting, rakannya patah tangan


Seorang remaja maut manakala rakannya cedera patah tangan kanan setelah terkena tayar lori treler yang terpelanting ke arah mereka dalam kejadian di Kampung Merang, Setiu, petang tadi.


Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.05 petang ketika mangsa, Muhamad Airiel Rizman Mohamad Nazeri, 18, dan rakannya berusia 22 tahun sedang menjual air buah di kaki lima jalan di kampung itu.


Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Husin, sebiji tayar belakang sebuah treler yang melalui lokasi tersebut tiba-tiba tercabut sebelum terpelanting dan terkena kedua-dua mangsa.


"Siasatan awal mendapati treler terbabit bergerak dari arah Kampung Merang menuju ke Kampung Telaga Papan.


"Sebaik tiba di Kilometer 43 dekat Kampung Merang itu tayar treler itu tercabut dan terpelanting terkena mereka," katanya ketika dihubungi.


Beliau memberitahu, Muhamad Airiel Rizman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dada, manakala rakannya itu pula mengalami kecederaan patah tangan kanan serta luka di muka.


Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut manakala rakannya juga menerima rawatan di hospital sama.


"Pemandu treler yang berumur 37 tahun itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan," ujarnya.


Tambah beliau, kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


Keadaan gerai air buah yang terkena sebiji tayar lori treler tercabut membawa kematian kepada Muhamad Airiel Rizman di Kampung Merang, Setiu, hari ini. - Foto Facebook.

Keadaan mayat Muhamad Airiel Rizman Mohamad Nazeri yang terkena tayar treler yang terpelanting di Kampung Merang, Setiu, petang tadi. - Foto Utusan Online.

Isnin, 6 Mac 2023

Duda tunjuk kemaluan kepada dua wanita dipenjara lima bulan

Duda tunjuk kemaluan kepada dua wanita dipenjara lima bulan


Mahkamah Majistret Yan memerintahkan hukuman penjara selama lima bulan ke atas seorang duda setelah didapati bersalah menunjukkan kemaluan kepada dua wanita pada bulan lalu.


Majistret, Anis Suraya Ahmad menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ahmad Zuhairi Ahmad Fadlah, 26, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.


Anis Suraya memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 5 Februari lalu.


Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menunjukkan kemaluannya kepada dua wanita berusia 20 dan 27 tahun di Batu 22 Jalan Teroi menghala Sungai Yan kira-kira pukul 11.45 pagi, 5 Februari lalu.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Masnini Mat Daud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Media tempatan pada 5 Februari lalu melaporkan seorang duda dikesan berkelakuan tidak senonoh terhadap dua wanita ketika menunggang motosikal dari arah yang sama.


Dalam kejadian itu, mangsa ketakutan apabila diekori seorang lelaki berkelakuan lucah dengan menunjukkan kemaluannya ketika menunggang motosikal di Batu 22 Jalan Teroi-Sungai Yan, dan suspek kemudian ditahan di rumahnya di Teroi, kira-kira pukul 5.45 petang hari sama.


Ahmad Zuhairi (tengah) diiringi anggota polis selepas dijatuhi hukuman penjara lima bulan kerana menunjukkan kemaluannya kepada dua wanita pada bulan lalu. - Foto Kosmo Online.
Korea Utara tuntut PBB halang latihan ketenteraan Amerika Syarikat dan Korea Selatan

Korea Utara tuntut PBB halang latihan ketenteraan Amerika Syarikat dan Korea Selatan


Kementerian Luar Korea Utara semalam menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan menghentikan segera latihan ketenteraan yang keterlaluan.


Timbalan menterinya, Kim Son-gyong, berkata latihan bersama AS-Korea Selatan sejak kebelakangan ini dilihat sengaja mahu meningkatkan ketegangan yang mengancam sehingga tidak terkawal.


Korea Utara semalam mendakwa AS bertanggungjawab dalam keruntuhan sistem kawalan senjata antarabangsa dan berkata, senjata nuklear Pyongyang adalah tindak balas yang adil untuk memastikan keseimbangan kuasa di rantau itu.


Pihak sekutu dua negara juga dijangka akan melakukan latihan gabungan udara dengan pengebom jarak jauh AS dan pesawat pejuang Korea Selatan pada Jumaat ini, dan sudah mengadakan latihan selama berminggu-minggu untuk pasukan khas.


"PBB serta masyarakat antarabangsa perlu mendesak AS dan Korea Selatan untuk segera menghentikan kenyataan bersifat provokasi dan latihan ketenteraan bersama mereka," kata Son-gyong.


Tambah beliau, amat dikesali bahawa PBB secara konsisten berdiam diri mengenai latihan itu, yang mempunyai 'sifat agresif yang jelas'.


Bulan lalu Son-gyong mengeluarkan kenyataan mengatakan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres 'sangat tidak adil dan tidak seimbang' terhadap ujian peluru berpandu Korea Utara. - Sumber Reuters.


Ujian peluru berpandu strategik 'Hwasal-2' oleh Korea Utara di bandar Kim Chaek, wilayah Hamgyong Utara. - Foto EPA.

Sabtu, 4 Mac 2023

Rompak RM101, lelaki nekad 'berkurung' 14 tahun dalam gua takut ditahan Polis

Rompak RM101, lelaki nekad 'berkurung' 14 tahun dalam gua takut ditahan Polis


Seorang lelaki di China sanggup berkurung di dalam sebuah gua selama lebih 14 tahun hanya kerana mahu mengelak daripada ditahan polis. Ini berikutan lelaki itu pernah melakukan jenayah rompakan di sebuah stesen minyak pada tahun 2009.


Lapor laman berita Oddity Central pada 1 Mac 2023, Liu Moufu dari sebuah kampung di Enshi City, wilayah Hubei, berusia pertengahan 30-an ketika melakukan rompakan stesen minyak bersama abang iparnya dan seorang rakan.


Kumpulan lelaki itu hanya sempat melarikan wang sebanyak 156 yuan (RM101.25) dengan 60 yuan (RM38.90) dibelanjakan untuk membeli makanan dan bunga api, manakala selebihnya 32 yuan (RM20.70) dibahagikan setiap seorang.



Ketiga-tiga individu itu kemudian membawa haluan masing-masing, namun polis berjaya menahan rakan Liu yang terbabit dalam rompakan itu.


"Liu menyedari dirinya diburu polis, jadi dia memutuskan untuk melarikan diri daripada ditangkap dan dipenjarakan. 


"Lelaki itu bersembunyi di dalam hutan ketika polis menggeledah rumah dan menyoal siasat ahli keluarganya.


"Akhirnya, Liu menjadikan sebuah gua sebagai tempat berteduh. Dia juga memburu binatang dan adakala mencuri makanan seperti kentang dan daging dari kampung asalnya," jelas laporan itu.


Menurut laporan itu, Liu sekali-sekala pergi berjumpa dengan ibu bapanya selama beberapa minit.


Meskipun, isteri dan ibu bapanya beberapa kali memintanya untuk menyerah diri, Liu sering menolak untuk melakukan demikian.



Bulan lalu, Liu akhirnya memutuskan untuk menyerah diri kepada polis.


"Saya sudah berusia lebih 50 tahun, isteri saya juga tidak sihat dan saya mempunyai cucu yang sangat cantik. Saya mahu hidup seperti biasa," katanya.


Lelaki itu kemudian membawa polis ke satu kawasan gua kecil yang dianggapnya sebagai rumah selama 14 tahun. Ia terletak jauh di kawasan pergunungan berhutan, kira-kira 10 kilometer dari penempatan manusia.


Walaupun rompakan itu sudah berlaku 14 tahun lalu, Moufu masih berdepan hukuman penjara tiga tahun untuk jenayah yang dilakukan. - Sumber Oddity Central.


Liu Moufu bersembunyi dalam gua selama lebih 14 tahun. - Foto Oddity Central.