Khamis, 9 Mac 2023

Pelancaran roket H3 gagal lagi, Jepun terpaksa meletupkan roket baharunya


Roket baharu milik jepun, roket H3 dilaporkan gagal pada percubaan kali kedua pelancarannya pada hari Selasa lepas, lapor akhbar BBC News pada 7 Mac 2023.


Sehubungan itu, Agensi Angkasa Jepun (JAXA) mengeluarkan arahan untuk musnahkan roket berkenaan selepas memutuskan misi itu tidak berjaya ketika pelepasan.


Kegagalan itu merupakan tamparan hebat kepada JAXA selepas roket tersebut gagal dilancarkan pada percubaan pertama bulan lalu disebabkan dua enjinnya tidak dapat berfungsi.


Pelancaran kali kedua dari Pusat Angkasa Tanegashima di barat daya Jepun pada mulanya nampak berjaya, dengan roket itu berlepas pada pukul 10:37 pagi (waktu tempatan).


Walaupun roket itu berjaya melepasi fasa pemisahan peringkat pertama, namun tidak lama kemudian beberapa tanda masalah muncul.


"Nampaknya halaju semakin menurun," kata juruhebah JAXA yang bersiaran langsung ketika misi tersebut.


Bagaimanapun, pusat arahan kemudian mengesahkan misi itu gagal dan menghantar mesej untuk musnahkan roket itu.


"Arahan pemusnahan sudah dihantar ke H3 kerana tiada peluang misi itu akan berjaya," jelas pusat arahan itu.


Setakat ini, tiada penjelasan diberikan mengenai punca pelancaran itu gagal.


Roket H3 dibangunkan untuk pelancaran komersial lebih kerap dan yang pertama direka oleh Jepun dalam tiga dekad.


Ia telah dibentangkan sebagai alternatif yang lebih murah dan dikatakan sebagai pesaing yang mungkin untuk Falcon 9 Space X milik Elon Musk.


Pada hari Selasa, jurutera telah menyasarkan untuk menghantar roket setinggi 57 meter itu ke angkasa dengan satelit pemantauan di atas kapal. Sistem ALOS-3 mampu mengesan pelancaran peluru berpandu Korea Utara.


H3 yang dibangunkan oleh Mitsubishi Heavy Industries, merupakan pengganti kepada model H-IIA, yang mula diperkenalkan pada tahun 2001. - Sumber BBC News.


Orang ramai menyaksikan pelancaran roket H3 di Pusat Angkasa Tanegashima di Kagoshima, barat daya Jepun. - Foto AFP.


EmoticonEmoticon