Isnin, 6 Mac 2023

Korea Utara tuntut PBB halang latihan ketenteraan Amerika Syarikat dan Korea Selatan


Kementerian Luar Korea Utara semalam menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuntut Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan menghentikan segera latihan ketenteraan yang keterlaluan.


Timbalan menterinya, Kim Son-gyong, berkata latihan bersama AS-Korea Selatan sejak kebelakangan ini dilihat sengaja mahu meningkatkan ketegangan yang mengancam sehingga tidak terkawal.


Korea Utara semalam mendakwa AS bertanggungjawab dalam keruntuhan sistem kawalan senjata antarabangsa dan berkata, senjata nuklear Pyongyang adalah tindak balas yang adil untuk memastikan keseimbangan kuasa di rantau itu.


Pihak sekutu dua negara juga dijangka akan melakukan latihan gabungan udara dengan pengebom jarak jauh AS dan pesawat pejuang Korea Selatan pada Jumaat ini, dan sudah mengadakan latihan selama berminggu-minggu untuk pasukan khas.


"PBB serta masyarakat antarabangsa perlu mendesak AS dan Korea Selatan untuk segera menghentikan kenyataan bersifat provokasi dan latihan ketenteraan bersama mereka," kata Son-gyong.


Tambah beliau, amat dikesali bahawa PBB secara konsisten berdiam diri mengenai latihan itu, yang mempunyai 'sifat agresif yang jelas'.


Bulan lalu Son-gyong mengeluarkan kenyataan mengatakan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres 'sangat tidak adil dan tidak seimbang' terhadap ujian peluru berpandu Korea Utara. - Sumber Reuters.


Ujian peluru berpandu strategik 'Hwasal-2' oleh Korea Utara di bandar Kim Chaek, wilayah Hamgyong Utara. - Foto EPA.


EmoticonEmoticon