Sabtu, 4 Mac 2023

Rompak RM101, lelaki nekad 'berkurung' 14 tahun dalam gua takut ditahan Polis


Seorang lelaki di China sanggup berkurung di dalam sebuah gua selama lebih 14 tahun hanya kerana mahu mengelak daripada ditahan polis. Ini berikutan lelaki itu pernah melakukan jenayah rompakan di sebuah stesen minyak pada tahun 2009.


Lapor laman berita Oddity Central pada 1 Mac 2023, Liu Moufu dari sebuah kampung di Enshi City, wilayah Hubei, berusia pertengahan 30-an ketika melakukan rompakan stesen minyak bersama abang iparnya dan seorang rakan.


Kumpulan lelaki itu hanya sempat melarikan wang sebanyak 156 yuan (RM101.25) dengan 60 yuan (RM38.90) dibelanjakan untuk membeli makanan dan bunga api, manakala selebihnya 32 yuan (RM20.70) dibahagikan setiap seorang.



Ketiga-tiga individu itu kemudian membawa haluan masing-masing, namun polis berjaya menahan rakan Liu yang terbabit dalam rompakan itu.


"Liu menyedari dirinya diburu polis, jadi dia memutuskan untuk melarikan diri daripada ditangkap dan dipenjarakan. 


"Lelaki itu bersembunyi di dalam hutan ketika polis menggeledah rumah dan menyoal siasat ahli keluarganya.


"Akhirnya, Liu menjadikan sebuah gua sebagai tempat berteduh. Dia juga memburu binatang dan adakala mencuri makanan seperti kentang dan daging dari kampung asalnya," jelas laporan itu.


Menurut laporan itu, Liu sekali-sekala pergi berjumpa dengan ibu bapanya selama beberapa minit.


Meskipun, isteri dan ibu bapanya beberapa kali memintanya untuk menyerah diri, Liu sering menolak untuk melakukan demikian.



Bulan lalu, Liu akhirnya memutuskan untuk menyerah diri kepada polis.


"Saya sudah berusia lebih 50 tahun, isteri saya juga tidak sihat dan saya mempunyai cucu yang sangat cantik. Saya mahu hidup seperti biasa," katanya.


Lelaki itu kemudian membawa polis ke satu kawasan gua kecil yang dianggapnya sebagai rumah selama 14 tahun. Ia terletak jauh di kawasan pergunungan berhutan, kira-kira 10 kilometer dari penempatan manusia.


Walaupun rompakan itu sudah berlaku 14 tahun lalu, Moufu masih berdepan hukuman penjara tiga tahun untuk jenayah yang dilakukan. - Sumber Oddity Central.


Liu Moufu bersembunyi dalam gua selama lebih 14 tahun. - Foto Oddity Central.


EmoticonEmoticon