Isnin, 13 Mac 2023

China tingkat bajet ketenteraan kepada RM1.01 trilion tahun ini tangani ancaman luar


China memperuntukkan perbelanjaan ketenteraan lebih tinggi pada tahun ini dengan kenaikan 7.2 peratus, di tengah-tengah amaran peningkatan ancaman luar terhadap negara itu.


Beijing akan membelanjakan sebanyak AS$225 bilion (RM1.01 trilion) untuk sektor pertahanan, demikian menurut laporan dikeluarkan Kementerian Kewangan pada hari pembukaan Mesyuarat Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) yang bakal mengiktiraf Xi Jinping sebagai Presiden negara itu buat penggal ketiga.


Peruntukan itu sedikit tinggi berbanding tahun lepas sejajar dengan pertumbuhan ekonomi tahunan namun, melebihi sasaran keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun ini iaitu lima peratus.


Perdana Menteri, Li Keqiang memberitahu perwakilan NPC bahawa percubaan negara-negara luar untuk menindas dan menyaingi China semakin meningkat.


"Angkatan tentera harus memperhebat latihan ketenteraan dan kesiagaan secara menyeluruh," katanya.


Perbelanjaan pertahanan China masih lemah jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat (AS) yang telah memperuntukkan lebih AS$800 bilion (RM3.58 trilion) untuk pasukan tenteranya pada tahun ini dengan penganalisis berkata, lebih banyak wang dibelanjakan daripada jumlah yang diumumkan secara rasmi itu.


Sedekad lalu, bajet pertahanan China meningkat kira-kira 10 peratus setiap tahun, dengan menyaksikan peningkatan tertinggi pada 2014 iaitu sebanyak 12.2 peratus. Pada tahun 2022, bajet pertahanan China adalah sebanyak AS$210 bilion (RM941 juta).


Beijing telah menyalurkan berbilion-bilion dolar untuk memodenkan pertahanannya dalam beberapa tahun kebelakangan ini dengan sasaran untuk mentransformasikan pasukan tenteraanya yang besar untuk menjadi askar bertaraf dunia.


Ia telah mencetuskan persaingan yang kuat antara Beijing, Washington dengan kuasa-kuasa Barat yang lain.


Keadaan itu diperkuatkan lagi dengan ketegangan meningkat sejak beberapa tahun lepas antara China dan AS mengenai status Taiwan.


Keqiang dalam pada itu membuat rujukan standard dalam menentang kumpulan ‘pemisah’ di Taiwan selain mengulangi kedudukan Beijing terhadap pulau itu.


"Kita perlu mempromosikan pembangunan yang aman untuk hubungan rentas selat dan memajukan proses penyatuan semula (tanah besar China dan Taiwan) secara aman," ujarnya.


Pada tahun lalu, China mencatatkan pertumbuhan hanya tiga peratus sekali gus meleset daripada sasaran ditetapkan iaitu sekitar 5.5 peratus, ekoran kesukaran yang dialami di bawah kesan dasar pembendungan ketat Covid-19 dan krisis hartanah.


"Mengatasi kesukaran dan cabaran yang besar, kami berjaya mengekalkan prestasi ekonomi yang stabil secara keseluruhan," kata Keqiang.


Tentera China diingatkan agar memperhebat latihan ketenteraan dan kesiagaan secara menyeluruh. - Foto AFP.


EmoticonEmoticon