Khamis, 8 Oktober 2026

Terputus hubungan sejak September, ibu terkejut mayat anak ditemui dalam semak

Terputus hubungan sejak September, ibu terkejut mayat anak ditemui dalam semak


Mayat remaja lelaki dipercayai mangsa bunuh dengan kesan cedera di muka dan kepala ditemui di semak berhampiran Jalan Harvard di Gurun, Sungai Petani, hari ini.


Mayat Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam, 18, ditemui lengkap berpakaian sukan hitam dan kuning oleh orang awam jam 8 pagi tadi.


Ibu mangsa, Azura Zor, 41, berkata, dia terkejut apabila anggota polis datang ke rumahnya di Guar Chempedak dan menunjukkan gambar mayat lelaki untuk pengecaman.


Pada mulanya dia menyangka polis datang ke rumah untuk menahan anak sulungnya itu.


"Saya tak tahu anak saya itu tinggal di mana. Saya pernah cuba menghubunginya atau menghantar kiriman WhatsApp namun tiada jawapan.


"Kami cuba mencarinya namun tidak jumpa sehinggalah polis datang memaklumkan perkara itu.


"Polis beritahu anak saya ditemui terbaring di tepi jalan di lokasi kejadian pagi tadi," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, hari ini.


Menurutnya, hubungan dia dengan anaknya itu tiada sebarang masalah dan arwah pernah berkerja di kedai roti canai di Guar Chempedak.


"Namun kami terputus hubungan selepas anak keluar dari rumah sejak bulan lalu," katanya.


Menurutnya, suami, Mohd Shahrilnizam Che Sharif, 41, pernah menerima mesej WhatsApp daripada seseorang yang meminta wang sebanyak RM200.


"Mesej itu berkemungkinan dihantar kenalan anak saya itu. Namun kami tidak mengetahui tujuan permintaan itu.


"Arwah memang tiada masalah dengan kami malah dia suka bergurau dengan adik-adiknya. Kalau betul anak saya dibunuh, saya harap tindakan setimpal dikenakan terhadap pelakunya," katanya.


Terdahulu, jenazah Muhammad Haikal dibawa keluar dari Jabatan Forensik HSB sejurus selesai urusan bedah siasat sekitar jam 5.45 petang.


Jenazah dijangka dikebumikan selepas solat Isyak malam ini di Tanah Perkuburan Islam di Guar Chempedak.


Sementara itu, adik lelaki kedua mangsa yang masih berpakaian sekolah tidak dapat menahan sebak hingga terpaksa ditenangkan ahli keluarga sebaik melihat jenazah abangnya di bilik mayat.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, satu sidang media akan diadakan Ahad ini oleh Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berhubung kejadian itu.

Guru dituduh lakukan jenayah seksual terhadap tiga pelajar lelaki

Guru dituduh lakukan jenayah seksual terhadap tiga pelajar lelaki


Guru lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap tiga pelajar lelaki berusia 17 tahun.


Tertuduh, Mohd Shafie Mohamad, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.


Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun lapan bulan.


Perbuatan itu dilakukan di sebuah hotel di Kota Bharu dan di dalam bilik tidur sebuah rumah di Kampung Tok Berlian, Bachok pada Jun tahun lalu, April dan 17 September lalu.


Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun enam bulan di sebuah rumah di Kampung Tok Berlian, Bachok pada pertengahan Ogos lalu.


Bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun lima bulan di rumah sama jam 6 petang pada 26 Ogos lalu.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Arina Razali, manakala Mohd Shafie diwakili peguam, Nurul Samhana Aidenan.


Terdahulu, Siti Arina tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan berkenaan disifatkan sangat serius.


Nurul Samhana bagaimanapun memohon jaminan dengan alasan tertuduh menghidap penyakit kencing manis kronik yang memerlukan suntikan insulin tiga kali sehari dan darah tinggi.


"Tertuduh seorang penjawat awam dan mempunyai seorang isteri yang juga seorang guru namun masih belum dikurniakan cahaya mata.


"Sebagai penjawat awam, saya percaya tertuduh akan memberi komitmen terhadap kes ini dan memohon ikat jamin yang minimum untuk kelima-lima pertuduhan itu," katanya.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM23,000 dengan seorang penjamin untuk kelima-lima pertuduhan termasuk syarat tambahan iaitu perlu mengemukakan alamat tempat tinggal tetap, tidak menganggu saksi pendakwaan dan mangsa selain melaporkan diri di balai polis berdekatan dua bulan sekali.


Mahkamah menetapkan 10 November depan untuk sebutan semula kes.

Kerajaan Indonesia disaman, didakwa cuai akibatkan jerebu

Kerajaan Indonesia disaman, didakwa cuai akibatkan jerebu


Kerajaan Indonesia dituduh melakukan ‘kecuaian besar’ berhubung jerebu beracun akibat kebakaran hutan yang menyelubungi sebahagian Pulau Borneo dalam kes mahkamah yang bermula di Pontianak, Kalimantan Barat, Rabu lalu.


Empat plaintif, termasuk cawangan tempatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Orang Asal AMAN, memfailkan saman tindakan kelas itu bulan lalu di sebuah mahkamah di Pontianak, dengan Presiden, Prabowo Subianto dan Gabenor Kalimantan Barat antara 10 defendan.


Wilayah itu terjejas teruk akibat kebakaran dan asap yang menyebabkan sekolah ditutup, selain memaksa ratusan orang mendapatkan rawatan perubatan akibat masalah berkaitan pernafasan.


Peguam plaintif, Glorio Sanen berkata, selepas pendengaran pertama, kes itu adalah satu langkah untuk menangani masalah kebakaran tahunan yang sebahagian besarnya dipersalahkan terhadap kemusnahan hutan dan didorong tahun ini oleh episod fenomena cuaca El Nino yang sangat kuat sehingga menyebabkan kemarau.


Indonesia selama beberapa minggu bergelut untuk mengawal kebakaran yang memusnahkan kawasan luas di Sumatera, Papua dan Borneo, menyebabkan jerebu tebal sehingga sampai ke Malaysia dan Singapura.


Menurut wartawan AFP yang berada di mahkamah, tiada seorang pun defendan hadir pada pendengaran itu.


Dalam pada itu, Glorio berkata, pihaknya sedih dan kesal dengan ketidakhadiran mereka, namun memahami keadaan jerebu itu mungkin menyebabkan mereka tidak dapat mendarat di Pontianak.


Ratusan penerbangan turut terjejas akibat asap berbau busuk berkenaan.


Sementara itu, menurut dokumen mahkamah yang dilihat AFP, plaintif menuduh kerajaan melakukan ‘kecuaian besar’ kerana gagal menangani masalah yang berulang setiap tahun itu.


Mereka mahu kerajaan mengisytiharkan keadaan itu sebagai bencana nasional bagi membolehkan langkah pemulihan dan rehabilitasi secara menyeluruh dilaksanakan, termasuk menanggung kos penjagaan kesihatan penduduk yang terjejas.


Difahamkan juga, saman serupa yang difailkan tahun lalu di sebuah mahkamah di Sumatera Selatan sebelum ini ditolak.

Pertandingan siapa mampu tidur paling nyenyak tawar hadiah lebih RM51,000

Pertandingan siapa mampu tidur paling nyenyak tawar hadiah lebih RM51,000


Ketika Jepun sering dikaitkan dengan masalah kurang tidur, puluhan peserta menyertai pertandingan unik yang menguji siapa mampu melelapkan mata paling cepat dan tidur paling nyenyak.


Pertandingan dikenali sebagai Matt Race itu dianjurkan syarikat tilam, Koala Sleep Japan di Tokyo pada Isnin dengan hadiah utama bernilai lebih dua juta yen (RM51,630).


Dalam acara berkenaan, peserta dilengkapi alat pengesan tidur sebelum berbaring di atas tilam untuk tidur sehingga maksimum 90 minit.


Pemenang ditentukan berdasarkan dua kriteria utama, iaitu seberapa cepat peserta berjaya tertidur dan sejauh mana mereka dapat mencapai tidur yang nyenyak.


Suasana pertandingan turut direka bagi membantu peserta berehat dengan pencahayaan malap, manakala alat pemantauan dipasang pada kepala mereka bagi merekod corak tidur.


Sebahagian peserta turut membawa patung permainan ke atas tilam bagi membantu mereka lebih selesa ketika cuba melelapkan mata.


Pengarah Kreatif Koala Sleep Japan, Riichiro Nakama berkata, acara itu dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mendapatkan tidur mencukupi.


"Jepun sering digambarkan sebagai negara yang mengalami kekurangan tidur dan masyarakat di sini memang sangat rajin.


"Dengan menjadikannya satu acara seperti ini, kami berharap orang ramai dapat tidur bersama-sama dan pada masa sama meningkatkan minat terhadap isu tidur," katanya.

Rabu, 7 Oktober 2026

Pegawai kanan agensi kerajaan antara direman kes rasuah RM155,000

Pegawai kanan agensi kerajaan antara direman kes rasuah RM155,000


Tiga individu termasuk seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah kira-kira RM155,000 antara tahun 2024 hingga tahun lalu.


Pegawai kanan terbabit dan dua lagi iaitu penjawat awam dan pemilik syarikat berusia lingkungan 40-an dan 50-an ditahan kira-kira pukul 5 petang dan 9 malam pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.


Mereka yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita itu kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar untuk proses reman pada pagi Selasa.


Majistret Eliana Ismail kemudian membenarkan ketiga-ketiga mereka direman selama lima hari sehingga 10 Oktober ini.


Menurut sumber, penahanan mereka adalah bagi membantu siasatan kes memberi dan menerima rasuah kira-kira RM155,000 sebagai balasan meluluskan sebut harga pembekalan baju sukan.


"Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2024 hingga 2025.


"Bagi dua suspek yang merupakan penjawat awam, mereka disyaki telah menerima wang rasuah secara tunai dan juga melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi milik masing-masing," katanya.


Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes itu disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

'Kantoi' dalam 'live' TikTok, rumah simpan stok air ketum diserbu polis

'Kantoi' dalam 'live' TikTok, rumah simpan stok air ketum diserbu polis


Sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Langkas Tambahan, Puchong diserbu sebelum menemui puluhan botol disyaki berisi air ketum pada Selasa.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 8.45 malam yang memaklumkan menjumpai beberapa botol disyaki berisi air ketum ketika sedang membuat siaran langsung di TikTok.


Menurutnya, bertindak atas maklumat, kira-kira jam 9 malam, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Subang Jaya bersama Balai Bukit Puchong telah memeriksa rumah terbabit. Semasa polis tiba, tiada orang dalam rumah tersebut.


"Pemeriksaan menemui satu bekas yang di dalamnya mengandungi 21 botol plastik berisi disyaki cecair ketum dengan anggaran 10,500 mililiter," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, kes masih dalam siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.



Jelasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras aktiviti pengedaran bahan terlarang.


"Orang ramai diminta terus salurkan maklumat bagi membantu usaha membanteras jenayah," ujarnya.


Tangkap layar rakaman video tular memaparkan pemeriksaan polis di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Langkas Tambahan, Puchong, semalam.
Penuntut maut dicekik teman lelaki: Rakan sebak, sukar terima pemergian tragis

Penuntut maut dicekik teman lelaki: Rakan sebak, sukar terima pemergian tragis


Seorang penuntut politeknik masih terkejut dan sukar menerima pemergian tragis rakan baiknya, yang ditemukan meninggal dunia dipercayai dicekik selepas bertengkar dengan teman lelakinya.


Penuntut diploma yang enggan dikenali berkata, dia pasti akan merindui kenangan mereka bersama sejak menuntut di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) tahun lalu.


Katanya, antara kenangan yang paling diingati ialah makan bersama-sama yang menjadi sebahagian daripada rutin persahabatan mereka.


"Kami biasanya akan berjumpa dan makan bersama. Dia seorang yang lemah lembut dan periang.


"Macam mana perkara ini boleh berlaku kepadanya? Banyak kenangan bersamanya dan saya tidak tahu macam mana kehidupan saya selepas ini," katanya sebak ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, semalam.


Terdahulu, media melaporkan seorang penuntut berusia 19 tahun ditemui mati, dipercayai akibat dicekik selepas berlaku pertengkaran dengan teman lelakinya, di bilik sebuah rumah di Air Putih, Kuantan, semalam.


Suspek lelaki berusia 19 tahun, yang berada di premis berkenaan, ditahan polis bagi membantu siasatan.


Sementara itu, bapa seorang rakan mangsa berkata, dia bergegas ke hospital sebaik dimaklumkan oleh anaknya mengenai kejadian yang berlaku di rumah yang disewa bersama mangsa.


"Saya sangat terkejut dengan kejadian ini. Macam mana dia (suspek) tergamak melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan seperti ini?


"Memandangkan polis sudah menahan suspek, biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan," katanya sebelum menolak untuk mengulas lanjut.


Difahamkan, mangsa dan tiga lagi rakan dari politeknik sama yang semuanya penuntut diploma menyewa dua bilik di rumah tiga tingkat berkenaan.


Semakan turut mendapati suspek berusia 19 tahun itu adalah bekas penuntut politeknik berkenaan yang sudah dibuang akibat masalah disiplin.

Ibu tunggal didakwa 7 pertuduhan buat hantaran jelik ganggu wanita

Ibu tunggal didakwa 7 pertuduhan buat hantaran jelik ganggu wanita


Ibu tunggal yang juga peniaga dalam talian didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, semalam atas tujuh pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik menggunakan aplikasi TikTok pada Jun lalu.


Tertuduh, V T Pavithra, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 yang dibacakan terhadapnya dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim, Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin dan Rohatul Akmar Abdullah.


Mengikut empat pertuduhan di hadapan Raja Noor Adillah, tertuduh didapati menggunakan perkhidmatan aplikasi TikTok, secara sedar membuat penghantaran komunikasi yang jelik dengan niat untuk menyakitkan hati dan mengganggu seorang wanita berusia 37 tahun.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah bernombor di Jalan Melaka Raya 13, Taman Melaka Raya pada 17 Jun lalu jam 5.55 petang; 22 Jun kira-kira 9.30 malam, 24 Jun 10.58 malam dan 27 Jun pada jam 10.18 malam.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) AKMM 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.


Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya, dan denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.


Di hadapan Rohatul Akmar, tertuduh berdepan tiga pertuduhan seksyen sama iaitu membuat penghantaran komunikasi yang jelik dengan niat untuk menyakitkan hati dan mengganggu penama sama pada 27 Jun lalu jam 6.53 petang, 7.58 malam dan 10.03 malam.


Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan sementara tertuduh diwakili peguam JM Mark.


Mahkamah membenarkan jaminan keseluruhan RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan lain.

521 kg dadah dalam pesawat jet persendirian bukan dari Malaysia - PDRM

521 kg dadah dalam pesawat jet persendirian bukan dari Malaysia - PDRM


Pesawat jet persendirian yang dikaitkan dengan cubaan menyeludup 521 kilogram (kg) methamphetamine ke Filipina dipercayai berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, Subang tanpa membawa sebarang muatan dadah sebelum mengambil bekalan itu di Laos.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan maklumat pihak berkuasa Laos, pesawat sewaan khas itu berlepas dari Subang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, Laos pada 1 Okt lepas.


Beliau berkata, penerbangan berkenaan hanya dinaiki tiga individu, terdiri daripada seorang juruterbang warga Singapura, pembantu juruterbang rakyat Malaysia dan seorang penumpang warga Filipina.


"Dadah yang dirampas adalah untuk pasaran Manila, Filipina dan bukannya pasaran Malaysia. Pesawat berkenaan dipercayai digunakan untuk membawa muatan dadah tersebut dari Laos ke Manila," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur malam tadi.


Mengulas kronologi kejadian berdasarkan maklumat dikongsi pihak berkuasa Laos, Hussein berkata, pesawat itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang kira-kira 11.30 pagi waktu tempatan.


Beliau berkata, kira-kira 1.30 tengah hari, dua kenderaan tiba di kawasan lapangan terbang sebelum beberapa kakitangan di situ membantu memindahkan 23 beg dari kenderaan berkenaan untuk dibawa ke pesawat.


"Pemeriksaan ke atas kesemua 23 beg berkenaan menemukan 500 bungkusan dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 521 kg," katanya.


Susulan operasi pihak berkuasa Laos itu, seramai 13 individu ditahan termasuk tiga individu yang menaiki pesawat berkenaan dari Subang.


Turut ditahan ialah 10 warga Laos terdiri daripada tiga kakitangan syarikat perkhidmatan darat lapangan terbang dan tujuh kakitangan yang mengendalikan mesin pengimbas sinar-X.


Kesemua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut pihak berkuasa negara berkenaan.


Hussein berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memulakan siasatan menyeluruh dan akan menghantar pegawai JSJN ke Laos dalam masa terdekat bagi merakam percakapan suspek.


"Langkah ini bertujuan mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan sindiket dadah yang terlibat, terutama (kemungkinan pembabitan anggota sindiket) di Malaysia," katanya.


Kenyataan terbaharu itu sekali gus memperjelas bahawa pesawat berkenaan dipercayai tidak membawa dadah ketika berlepas dari Subang, susulan laporan awal yang mengaitkan penerbangan dari Malaysia itu dengan penemuan dadah bernilai jutaan ringgit di Laos.

Selasa, 6 Oktober 2026

'Skodeng’ isteri jiran tengah mandi, lelaki didenda RM5,000

'Skodeng’ isteri jiran tengah mandi, lelaki didenda RM5,000


Tindakan seorang penjual ikan menghendap isteri jiran mandi mengundang padah apabila didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Krai, hari ini.


Tertuduh, Tuan Ahmad Farid Tuan Mat, 36, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengintai wanita berusia 26 tahun itu melalui celahan lantai kayu di bahagian bawah sebuah rumah di Jalan Halimah Guchil, Kuala Krai pada jam 11.30 pagi, 28 September lalu.


Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 507A(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.


Berdasarkan fakta kes, mangsa yang bersiap untuk mandi ternampak kelibat tertuduh berada di bawah lantai bahagian dapur rumahnya sambil mengintai dari arah tersebut.


Mangsa mengenali tertuduh kerana mereka tinggal bersebelahan sebelum memaklumkan kejadian itu kepada suaminya.


Kejadian sama turut berlaku pada 24 September lalu apabila mangsa yang sedang mandi di dalam tandas ternampak tertuduh mengintai melalui celahan ruang udara di dalam bilik air.


Suami mangsa kemudian turut ternampak tertuduh berada di bawah rumah ketika pulang ke kediaman mereka sebelum tertuduh melarikan diri selepas menyedari kehadirannya.


Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd Noor memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam supaya hukuman dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak mengulangi kesalahan sama.


Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farazalila Fauzi bagaimanapun merayu supaya mahkamah mengenakan denda minimum.


"Tertuduh pendapatan kira-kira RM50 sehari, hanya berpendidikan sehingga Tingkatan Lima dan masih bujang serta menanggung ibunya berusia 66 tahun yang menghidap kanser," katanya.


Mahkamah kemudian mengenakan denda itu atau sembilan bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan. Tertuduh kemudian menjelaskan denda berkenaan.