Sabtu, 9 Ogos 2025

Kelantan mohon kelulusan beberapa projek pembangunan utama daripada Kerajaan Persekutuan

Kelantan mohon kelulusan beberapa projek pembangunan utama daripada Kerajaan Persekutuan


Kerajaan Negeri Kelantan berharap Kerajaan Persekutuan memberikan pertimbangan sewajarnya untuk meluluskan 5 projek di negeri itu demi keperluan pembangunan dan keselamatan rakyat.


Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata antaranya pembinaan Empangan Sungai Lebir di Kuala Krai sebagai struktur mitigasi banjir, pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau di Tunjong, pembentukan Zon Ekonomi Khas Rantau Panjang.


Katanya, selain itu, pembangunan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) serta pembinaan CPPC di Lojing bagi menjadikan Kelantan sebagai hab pengeluaran makanan utama negara.


"Kerajaan Negeri amat berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap projek-projek ini dan memastikan peruntukan yang diperlukan dapat disalurkan dalam tempoh terdekat.


"Kita percaya bahawa hanya dengan kerjasama erat yang berterusan, disertai semangat saling memperkukuh antara pusat dan negeri, maka agenda pembangunan menyeluruh yang inklusif dan berimpak tinggi kepada rakyat dapat direalisasikan dengan jayanya.


"Kerajaan Kelantan dengan budaya kerja berteraskan Ubudiyyah, Mas'uliyyah dan Itqan, sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak, khususnya dalam meningkatkan agenda kesejahteraan rakyat dan memastikan negeri ini terus berada pada landasan yang tepat menuju Kelantan Sejahtera 2033 di bawah pelan strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perasmian Penutupan Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, hari ini.


Jelasnya, hasrat Kerajaan Persekutuan untuk memberikan tumpuan khusus kepada negeri-negeri yang dikategorikan sebagai kurang membangun agar mampu menangani ketidakseimbangan pembangunan, amatlah Kelantan hargai dan alu-alukan.


"Ini kerana agihan dan limpahan kemajuan untuk melonjakkan Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun 2030 hendaklah dilaksanakan secara adil dan inklusif.


"Saya mengharapkan hasrat ini diberikan perhatian sewajarnya oleh Perdana Menteri disamping inisiatif yang telah diumumkan, demi memastikan negeri ini tidak terus ketinggalan dalam arus pembangunan nasional.


"Sudah tiba masanya Kelantan turut duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri lain, khususnya dalam aspek infrastruktur, pelaburan dan kesejahteraan rakyat," katanya.


Tambahnya, dengan menjunjung semangat federalisme, saya percaya jurang pembangunan dapat dirapatkan, sekaligus meningkatkan taraf hidup rakyat Kelantan secara inklusif dan berdaya saing.


Anwar Ibrahim (kanan) berbual dengan Mohd Nassuruddin pada perasmian Program Rancakkan MADANI Negeri Kelantan dan Peluncuran Program Aku Kasih Malaysia di Kampus Kesihatan USM Kubang Kerian, hari ini. - Foto Bernama. 

Jumaat, 8 Ogos 2025

Permohonan diterima, Tengku Zafrul sah sertai PKR ahli Cabang Ampang

Permohonan diterima, Tengku Zafrul sah sertai PKR ahli Cabang Ampang


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengesahkan bahawa permohonan beliau untuk menyertai parti Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah diterima dua minggu lepas.


Tengku Zafrul berkata, beliau kini merupakan ahli PKR bagi Cabang Ampang.


"Saya tidak ingat tarikh (penerimaan permohonan) tapi ia adalah ketika perjumpaan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti, dua minggu lepas," katanya kepada media Malaysia hari ini ketika mengadakan lawatan ke Pavilion Malaysia bersempena Expo 2025 Osaka.


Pada 30 Mei lepas, beliau mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO dan menyatakan niat untuk menyertai PKR.


Tengku Zafrul, menerusi surat yang dihantar kepada pimpinan UMNO, memaklumkan hasrat untuk meletak jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.


Sebelum ini, setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata, semua permohonan keanggotaan PKR dilakukan melalui kaedah memohon secara dalam talian.


"Setiap permohonan akan melalui proses biasa, yang mana selepas permohonan dibuat secara dalam talian, ia akan diproses dan dibentang dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).


"Permohonan itu akan dipertimbang sewajarnya sebelum keputusan dibuat dengan mengambil kira pelbagai sudut pandang, termasuk pandangan rakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan serta pendapat akar umbi," katanya dalam satu kenyataan sebelum ini.


Tengku Zafrul menjawab soalan media Malaysia ketika melakukan lawatan di Pavilion Malaysia bersempena Expo 2025 Osaka pada Jumaat.

Khamis, 7 Ogos 2025

Lesen operasi syarikat akan dibatal jika benar warga asing pandu lori

Lesen operasi syarikat akan dibatal jika benar warga asing pandu lori


Bukan setakat lori disita malah syarikat yang menggajikan pemandu lori warga asing (PEWA) boleh dibatalkan permit untuk beroperasi sekiranya ingkar.


Pengarah Kanan Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sebanyak 2,733 tindakan dikenakan ke atas PEWA yang membawa kenderaan perdagangan sejak Januari hingga Julai.


"JPJ melihat perkara ini semakin serius jadi kami sudah mendapat arahan dari kementerian untuk mulakan tindakan pelucutan hak ke atas kenderaan dipandu warga asing.


"Yang kedua, kita akan hantar laporan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan pembatalan (lesen operasi) ," katanya pada sidang media Operasi Khas Kenderaan Perdagangan Warga Asing di Stesen Penguatkuasa JPJ Gombak, hari ini.


Menurutnya, hasil soal siasat ke atas beberapa PEWA ditahan mengakui menerima gaji bulanan RM2,500.


Katanya, syarikat terbabit tidak boleh hanya mementingkan keuntungan sebaliknya perlu lebih bertanggungjawab dan tidak menggajikan PEWA yang memang tidak dibenarkan memegang lesen vokasional (GDL/PSV).


Muhammad Kifli, berkata tindakan akan diambil mengikut Seksyen 22, 41, 57 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana melanggar syarat permit dan Seksyen 80 APAD 2010.


Untuk rekod Muhammad Kifli berkata, sebanyak 17,347 tindakan sudah dikenakan ke atas PEWA yang memandu kenderaan perdagangan sejak tahun 2021 hingga Julai lalu.


"Daripada jumlah itu kesalahan tiada GDL dicatatkan sebanyak 16,238 kes, tiada PSV (443 kes) dan lebih muatan (666 kes).


"Dari Januari hingga Julai tahun ini sahaja mencatatkan 2,551 kes memandu tanpa GDL membabitkan warga asing, tiada PSV (93 kes) dan lebih muatan (89 kes)," katanya.


Muhammad Kifli bersama pemandu warga asing yang di tahan dalam Ops Khas Pemandu Kenderaan Perdagangan Warga Asing pada sidang media di SPK Gombak. - Foto Harian Metro/ Fathil Asri.
Polis menahan jururawat palsu, sudah rawat lebih 4,400 pesakit

Polis menahan jururawat palsu, sudah rawat lebih 4,400 pesakit


Polis di Florida, baru-baru ini, menahan seorang wanita berusia 29 tahun yang menyamar sebagai jururawat berdaftar dan memberikan rawatan perubatan kepada lebih 4,400 pesakit di sebuah hospital di Flagler County, tanpa lesen sah, lapor Independent.


Jenayah yang didakwa dilakukan oleh Autumn Bardisa itu terbongkar pada Januari lalu apabila pegawai hospital yang menyemak kelayakannya untuk kenaikan pangkat sebagai ketua jururawat, menyedari wanita itu hanya memiliki lesen Pembantu Jururawat Bertauliah yang sudah tamat tempoh.


Penemuan itu mencetuskan siasatan dalaman dan akhirnya membawa kepada penamatan perkhidmatannya.


Bardisa pada asalnya diambil bekerja pada Julai 2023 di AdventHealth Palm Coast Parkway sebagai juruteknik jururawat lanjutan di bawah seliaan seorang jururawat berdaftar.


Dia mendakwa sebagai jururawat berdaftar 'mengutamakan pendidikan', yang bermaksud dia sudah melengkapkan kursus yang diperlukan tetapi belum lulus peperiksaan pelesenan.


Penyiasat menentukan bahawa dari Jun 2024 hingga Januari 2025, Bardisa merawat kira-kira 4,486 pesakit tanpa lesen dan menerima bayaran untuk perkhidmatan itu.


Bardisa yang ditahan di rumahnya di Palm Coast, Florida pada Rabu menghadapi tujuh pertuduhan jenayah berat kerana mengamalkan profesion penjagaan kesihatan tanpa lesen dan tujuh pertuduhan penipuan penggunaan pengenalan peribadi, sepadan dengan tempoh tujuh bulan penyamaran.


Bardisa kini ditahan dengan jaminan AS$70,000 (kira-kira RM295,925) di Penjara Flagler County.


"Ini adalah salah satu kes penipuan perubatan yang paling membimbangkan pernah kami siasat," kata Syerif Flagler County, Rick Staly, dalam satu kenyataan.


"Wanita ini berpotensi membahayakan ribuan nyawa dengan berpura-pura menjadi orang lain dan mengkhianati kepercayaan pesakit, keluarga mereka, AdventHealth dan seluruh komuniti perubatan."


Pihak berkuasa menggesa sesiapa sahaja yang merasakan mereka mungkin pernah dirawat oleh Bardisa untuk menghubungi pejabat syerif.


Autumn Bardisa ditangkap pada Rabu lalu. - Foto Courtesy Flagler County Sheriff's Office.

Rabu, 6 Ogos 2025

Lelaki positif dadah pukul bapa dengan kerusi hingga maut bekas banduan

Lelaki positif dadah pukul bapa dengan kerusi hingga maut bekas banduan


Lelaki yang disyaki memukul bapanya dengan kerusi hingga maut dalam kejadian di Kampung Kuala Gris, Dabong pagi tadi didapati positif dadah jenis methamphetamine.


Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, suspek yang berusia 39 tahun itu juga merupakan bekas banduan Penjara Satelit Batu Jong, Kuala Krai.


Menurut beliau, ketika penahanan lelaki itu di rumah mangsa, polis merampas serpihan kerusi yang dipercayai digunakan untuk menyerang bapanya.


"Apabila sampai di tempat kejadian didapati mangsa yang juga warga emas berusia 74 tahun terbaring di ruang dapur dengan berlumuran darah.


"Siasatan awal didapati mangsa dipukul di kepala dengan objek tumpul sehingga cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.


Jelas beliau, suspek dibebaskan pada awal Julai lalu atas kesalahan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tinggal bersama ibu bapanya.


Mazlan memberitahu, semakan awal juga mendapati suspek memiliki tujuh rekod lampau membabitkan lima kesalahan kes dadah dan dua ugutan jenayah.


"Mayat mangsa dibawa ke unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk tujuan bedah siasat.


"Permohonan reman suspek akan dilakukan Mahkamah Majistret Kuala Krai pada Khamis dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.


Lelaki ditahan disyaki memukul bapa dengan kerusi hingga maut dalam kejadian di Kampung Kuala Gris, Dabong hari ini. - Foto Sinar Harian.
Ketua geng samun menyamar polis ditembak mati di Bukit Tunku

Ketua geng samun menyamar polis ditembak mati di Bukit Tunku


Suspek yang ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di Jalan Bukit Tunku, Kuala Lumpur awal pagi tadi disyaki menyasarkan rumah atau pusat perniagaan yang mempunyai peti besi, wang tunai dan 'gold bar' (emas).


Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek juga dipercayai menyamar sebagai polis untuk melakukan aktiviti jenayah.


"Kita percaya suspek yang merupakan dalang kumpulan ini turut terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dan disyaki mempunyai belasan anggota.


"Polis akan meneruskan usaha mengesan saki baki ahli kumpulan ini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.


Mengulas lanjut, Fadil berkata, lelaki berusia 36 tahun itu mempunyai 44 rekod jenayah dan aktif dalam kegiatan jenayah pecah rumah serta samun sejak tahun lalu di Kuala Lumpur, Selangor dan Perak melibatkan kerugian lebih RM1 juta.


Terdahulu, suspek dikesan menaiki kereta jenis BMW oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Kontinjen Kuala Lumpur menerusi Op Api KL 3/2025.


Dalam kejadian pukul 4.10 pagi, polis berjaya memintas kenderaan suspek sebelum berlaku aksi berbalas tembakan yang menyebabkan lelaki itu maut di lokasi akibat kecederaan pada kepala dan badan.


Kejadian tembakan berlaku ketika suspek sedang melakukan pemantauan di kawasan berkenaan dipercayai untuk mencari sasaran kediaman untuk di samun.


Mengulas lanjut, Fadil berkata, semakan mendapati kenderaan tersebut dipercayai diseludup masuk dari negara luar dan menggunakan nombor pendaftaran palsu.


"Pemeriksaan dalam kenderaan menemukan sepucuk pistol jenis revolver, beberapa peralatan samun dan vest polis," ujarnya.


Lokasi kejadian suspek yang maut ditembak selepas berbalas tembakan dengan polis di Jalan Bukit Tunku, awal pagi tadi. - Foto Harian Metro.

Selasa, 5 Ogos 2025

Kanak-kanak 2 Tahun Maut, Jatuh Dalam Lubang Pembentung

Kanak-kanak 2 Tahun Maut, Jatuh Dalam Lubang Pembentung


Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam lubang pembentung di Jalan Pedada, Sibu petang semalam.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.29 petang.


"Sebaik tiba, anggota dimaklumkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai terjatuh ke dalam lubang pembentung berhampiran laluan terbabit," katanya dalam satu kenyataan.


Kata kenyataan itu, pasukan bomba memulakan operasi pencarian pada pukul 6.55 petang dan berjaya menemukan mayat mangsa terapung di dalam pembentung kira-kira pukul 7 malam.


"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayat kemudian diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.


Anggota bomba ketika melakukan aktiviti menyelamat seorang kanak-kanak terjatuh ke lubang pembentung. - Foto bomba.

Isnin, 4 Ogos 2025

'Tolong jangan beritahu bapa saya' pasangan kekasih dicekup dalam bilik hotel

'Tolong jangan beritahu bapa saya' pasangan kekasih dicekup dalam bilik hotel


Sepasang kekasih dicekup khalwat oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah bilik hotel di Kota Tinggi semalam selepas dipercayai tidak pulang ke rumah kerana bimbang dimarahi keluarga.


Dalam serbuan pada pukul 9 pagi itu, pihak JAINJ mendapati lelaki berusia 26 tahun itu berasal dari Muar dan masih bujang, manakala wanita berusia 21 tahun dari Pekan Nanas.


Menurut sumber JAINJ, pasangan itu menyewa bilik hotel berkenaan sejak pukul 3 pagi selepas dikatakan pulang lewat daripada menziarahi saudara pada musim durian dan rambutan.


"Pasangan itu memaklumkan mereka tidak balik ke rumah kerana bimbang dimarahi bapa wanita tersebut sekiranya pulang lewat malam," katanya.


Difahamkan, pasangan itu pada mulanya bercadang untuk menyewa dua bilik, namun memutuskan untuk berkongsi satu bilik kerana mahu berjimat.


"Siasatan awal mendapati lelaki itu membuka pintu bilik dengan hanya memakai seluar panjang tanpa baju, manakala wanita pula mengunci diri dalam tandas. Dia kemudian keluar dengan memakai baju lengan panjang dan bertuala," katanya.


Pasangan itu mengaku mereka merancang untuk berkahwin, namun mendakwa masih belum berkemampuan dari segi kewangan.


Sepasang kekasih dicekup berkhalwat oleh penguat kuasa JAINJ dalam sebuah bilik hotel, semalam.
Bomba sahkan ikan jatuh dari langit cetus kebakaran, elektrik terputus 1,500 penduduk 'bergelap'

Bomba sahkan ikan jatuh dari langit cetus kebakaran, elektrik terputus 1,500 penduduk 'bergelap'


Kejadian seperti ini jarang berlaku apabila kebakaran hutan dan gangguan bekalan elektrik berlaku disebabkan ikan yang jatuh dari langit.


Api yang dicetuskan haiwan akuatik itu bagaimanapun berjaya dikawal pasukan bomba yang turut dibantu pemilik ladang dan pekerja Agensi Tenaga Hidro dan Elektrik British Columbia di Kanada.


Punca kebakaran itu dikenal pasti selepas siasatan dilakukan bomba yang pada mulanya menyangka ia mungkin angkara kecuaian pengunjung perkhemahan.


"Pihak berkuasa percaya dengan satu teori yang agak logik.


"Seekor helang mungkin 'tercicir' ikan tersebut hingga mengakibatkan ia terhempas di atas talian elektrik sebelum jatuh di kawasan rumput kering dan mencetuskan kebakaran yang merebak seluas kira-kira 4,000 meter persegi," menurut laporan media tempatan.


Difahamkan, sungai terdekat di mana ikan itu ditangkap helang tersebut terletak kira-kira 3.2 kilometer dari lokasi kejadian.


Ikan jatuh dari langit itu turut menyebabkan lebih 1,500 penduduk di sebuah perkampungan di Ashcroft yang terletak kira-kira 338 kilometer di timur laut Vancouver terputus bekalan elektrik seketika.


"Pelaku sebenar tidak alami sebarang kecederaan dan masih terbang bebas," kata jurucakap jabatan bomba itu lagi.


Siasatan bomba akhirnya berjaya mengenal pasti punca kebakaran dan gangguan bekalan elektrik tersebut. - Foto Greg Hiltz/Ashcroft Fire Rescue.

Ahad, 3 Ogos 2025

YouTuber mengaku b*nuh, kerat mayat teman lelaki dipenjara seumur hidup

YouTuber mengaku b*nuh, kerat mayat teman lelaki dipenjara seumur hidup


Seorang cef YouTube warga Sepanyol mengaku membunuh dan mengerat mayat teman lelakinya sebelum membuang bahagian tubuh mangsa ke laut dan tapak pelupusan sampah dalam satu kejadian menggemparkan di Thailand, lapor Mirror UK, semalam.


Suspek, Daniel Sancho Bronchalo, 31, mengaku membunuh kekasihnya, seorang pakar bedah plastik dari Colombia, Dr Edwin Arrieta Arteaga, 44, ketika mereka bercuti di Koh Phangan, sebuah pulau terkenal dengan Pesta Bulan Mengambang.


Kejadian berlaku pada Ogos 2024, selepas pertengkaran berkaitan isu seks dan wang antara kedua-dua lelaki itu bertukar ganas.


Bronchalo mendakwa mereka bergaduh selepas mangsa didakwa cuba melakukan serangan seksual terhadapnya.


Polis berkata, mangsa mati selepas kepalanya terhantuk pada tab mandi dalam bilik hotel yang ditempah oleh suspek. Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati terdapat unsur pembunuhan terancang berdasarkan bukti yang diperoleh.


Selepas kejadian, cef berkenaan mengaku mengerat mayat kekasihnya kepada 14 bahagian, memasukkan sebahagiannya ke dalam beg pakaian dan beg plastik, sebelum membuangnya ke laut dengan menaiki kayak serta di sekitar kawasan pulau itu.


Beberapa bahagian tubuh mangsa termasuk pinggul dan paha ditemui penduduk tempatan di tapak pelupusan sampah Koh Phangan sekali gus mencetuskan siasatan besar-besaran oleh pihak berkuasa Thailand.


Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan suspek membeli pisau, sarung tangan, beg sampah dan bahan kimia dari sebuah kedai serbaneka sehari sebelum kejadian, sekali gus mengukuhkan dakwaan bahawa pembunuhan itu dirancang lebih awal.


Pada mulanya, Bronchalo membuat laporan polis kononnya Dr Arrieta hilang. Namun selepas siasatan terperinci, dia ditahan dan kemudian mengaku merancang pembunuhan kerana mangsa mengugut mahu mendedahkan hubungan sejenis mereka kepada keluarganya.


Mahkamah Wilayah Koh Samui menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Bronchalo selepas dia memberi kerjasama penuh semasa perbicaraan. Hukuman asal ialah hukuman mati namun diringankan atas faktor pengakuan dan kerjasama.


Selain itu, dia turut dijatuhkan hukuman penjara empat bulan kerana menyembunyikan mayat yang kemudian dikurangkan kepada dua bulan selepas pengakuan bersalah. Mahkamah juga memerintahkan dia membayar ganti rugi 4 juta baht (kira-kira RM524,256) kepada keluarga mangsa.


Kes itu menggemparkan negara asal suspek, Sepanyol dan menarik perhatian media antarabangsa. Malah, platform penstriman HBO turut menghasilkan dokumentari berbahasa Sepanyol berdasarkan kes berprofil tinggi itu.


Daniel ialah anak kepada dua pelakon terkenal Sepanyol, Rodolfo Sancho Aguirre dan Silvia Bronchalo, yang kedua-duanya hadir di mahkamah semasa keputusan dijatuhkan pada musim panas lalu.


Daniel Sancho Bronchalo dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas kesalahannya. - Foto AP.