Khamis, 7 Ogos 2025

Lesen operasi syarikat akan dibatal jika benar warga asing pandu lori


Bukan setakat lori disita malah syarikat yang menggajikan pemandu lori warga asing (PEWA) boleh dibatalkan permit untuk beroperasi sekiranya ingkar.


Pengarah Kanan Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sebanyak 2,733 tindakan dikenakan ke atas PEWA yang membawa kenderaan perdagangan sejak Januari hingga Julai.


"JPJ melihat perkara ini semakin serius jadi kami sudah mendapat arahan dari kementerian untuk mulakan tindakan pelucutan hak ke atas kenderaan dipandu warga asing.


"Yang kedua, kita akan hantar laporan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan pembatalan (lesen operasi) ," katanya pada sidang media Operasi Khas Kenderaan Perdagangan Warga Asing di Stesen Penguatkuasa JPJ Gombak, hari ini.


Menurutnya, hasil soal siasat ke atas beberapa PEWA ditahan mengakui menerima gaji bulanan RM2,500.


Katanya, syarikat terbabit tidak boleh hanya mementingkan keuntungan sebaliknya perlu lebih bertanggungjawab dan tidak menggajikan PEWA yang memang tidak dibenarkan memegang lesen vokasional (GDL/PSV).


Muhammad Kifli, berkata tindakan akan diambil mengikut Seksyen 22, 41, 57 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana melanggar syarat permit dan Seksyen 80 APAD 2010.


Untuk rekod Muhammad Kifli berkata, sebanyak 17,347 tindakan sudah dikenakan ke atas PEWA yang memandu kenderaan perdagangan sejak tahun 2021 hingga Julai lalu.


"Daripada jumlah itu kesalahan tiada GDL dicatatkan sebanyak 16,238 kes, tiada PSV (443 kes) dan lebih muatan (666 kes).


"Dari Januari hingga Julai tahun ini sahaja mencatatkan 2,551 kes memandu tanpa GDL membabitkan warga asing, tiada PSV (93 kes) dan lebih muatan (89 kes)," katanya.


Muhammad Kifli bersama pemandu warga asing yang di tahan dalam Ops Khas Pemandu Kenderaan Perdagangan Warga Asing pada sidang media di SPK Gombak. - Foto Harian Metro/ Fathil Asri.


EmoticonEmoticon