Khamis, 7 Ogos 2025

Polis menahan jururawat palsu, sudah rawat lebih 4,400 pesakit


Polis di Florida, baru-baru ini, menahan seorang wanita berusia 29 tahun yang menyamar sebagai jururawat berdaftar dan memberikan rawatan perubatan kepada lebih 4,400 pesakit di sebuah hospital di Flagler County, tanpa lesen sah, lapor Independent.


Jenayah yang didakwa dilakukan oleh Autumn Bardisa itu terbongkar pada Januari lalu apabila pegawai hospital yang menyemak kelayakannya untuk kenaikan pangkat sebagai ketua jururawat, menyedari wanita itu hanya memiliki lesen Pembantu Jururawat Bertauliah yang sudah tamat tempoh.


Penemuan itu mencetuskan siasatan dalaman dan akhirnya membawa kepada penamatan perkhidmatannya.


Bardisa pada asalnya diambil bekerja pada Julai 2023 di AdventHealth Palm Coast Parkway sebagai juruteknik jururawat lanjutan di bawah seliaan seorang jururawat berdaftar.


Dia mendakwa sebagai jururawat berdaftar 'mengutamakan pendidikan', yang bermaksud dia sudah melengkapkan kursus yang diperlukan tetapi belum lulus peperiksaan pelesenan.


Penyiasat menentukan bahawa dari Jun 2024 hingga Januari 2025, Bardisa merawat kira-kira 4,486 pesakit tanpa lesen dan menerima bayaran untuk perkhidmatan itu.


Bardisa yang ditahan di rumahnya di Palm Coast, Florida pada Rabu menghadapi tujuh pertuduhan jenayah berat kerana mengamalkan profesion penjagaan kesihatan tanpa lesen dan tujuh pertuduhan penipuan penggunaan pengenalan peribadi, sepadan dengan tempoh tujuh bulan penyamaran.


Bardisa kini ditahan dengan jaminan AS$70,000 (kira-kira RM295,925) di Penjara Flagler County.


"Ini adalah salah satu kes penipuan perubatan yang paling membimbangkan pernah kami siasat," kata Syerif Flagler County, Rick Staly, dalam satu kenyataan.


"Wanita ini berpotensi membahayakan ribuan nyawa dengan berpura-pura menjadi orang lain dan mengkhianati kepercayaan pesakit, keluarga mereka, AdventHealth dan seluruh komuniti perubatan."


Pihak berkuasa menggesa sesiapa sahaja yang merasakan mereka mungkin pernah dirawat oleh Bardisa untuk menghubungi pejabat syerif.


Autumn Bardisa ditangkap pada Rabu lalu. - Foto Courtesy Flagler County Sheriff's Office.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon