Rabu, 6 Ogos 2025

Lelaki positif dadah pukul bapa dengan kerusi hingga maut bekas banduan


Lelaki yang disyaki memukul bapanya dengan kerusi hingga maut dalam kejadian di Kampung Kuala Gris, Dabong pagi tadi didapati positif dadah jenis methamphetamine.


Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, suspek yang berusia 39 tahun itu juga merupakan bekas banduan Penjara Satelit Batu Jong, Kuala Krai.


Menurut beliau, ketika penahanan lelaki itu di rumah mangsa, polis merampas serpihan kerusi yang dipercayai digunakan untuk menyerang bapanya.


"Apabila sampai di tempat kejadian didapati mangsa yang juga warga emas berusia 74 tahun terbaring di ruang dapur dengan berlumuran darah.


"Siasatan awal didapati mangsa dipukul di kepala dengan objek tumpul sehingga cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.


Jelas beliau, suspek dibebaskan pada awal Julai lalu atas kesalahan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tinggal bersama ibu bapanya.


Mazlan memberitahu, semakan awal juga mendapati suspek memiliki tujuh rekod lampau membabitkan lima kesalahan kes dadah dan dua ugutan jenayah.


"Mayat mangsa dibawa ke unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra untuk tujuan bedah siasat.


"Permohonan reman suspek akan dilakukan Mahkamah Majistret Kuala Krai pada Khamis dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.


Lelaki ditahan disyaki memukul bapa dengan kerusi hingga maut dalam kejadian di Kampung Kuala Gris, Dabong hari ini. - Foto Sinar Harian.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon