Suspek yang ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di Jalan Bukit Tunku, Kuala Lumpur awal pagi tadi disyaki menyasarkan rumah atau pusat perniagaan yang mempunyai peti besi, wang tunai dan 'gold bar' (emas).
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek juga dipercayai menyamar sebagai polis untuk melakukan aktiviti jenayah.
"Kita percaya suspek yang merupakan dalang kumpulan ini turut terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dan disyaki mempunyai belasan anggota.
"Polis akan meneruskan usaha mengesan saki baki ahli kumpulan ini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Mengulas lanjut, Fadil berkata, lelaki berusia 36 tahun itu mempunyai 44 rekod jenayah dan aktif dalam kegiatan jenayah pecah rumah serta samun sejak tahun lalu di Kuala Lumpur, Selangor dan Perak melibatkan kerugian lebih RM1 juta.
Terdahulu, suspek dikesan menaiki kereta jenis BMW oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Kontinjen Kuala Lumpur menerusi Op Api KL 3/2025.
Dalam kejadian pukul 4.10 pagi, polis berjaya memintas kenderaan suspek sebelum berlaku aksi berbalas tembakan yang menyebabkan lelaki itu maut di lokasi akibat kecederaan pada kepala dan badan.
Kejadian tembakan berlaku ketika suspek sedang melakukan pemantauan di kawasan berkenaan dipercayai untuk mencari sasaran kediaman untuk di samun.
Mengulas lanjut, Fadil berkata, semakan mendapati kenderaan tersebut dipercayai diseludup masuk dari negara luar dan menggunakan nombor pendaftaran palsu.
"Pemeriksaan dalam kenderaan menemukan sepucuk pistol jenis revolver, beberapa peralatan samun dan vest polis," ujarnya.
EmoticonEmoticon