Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai termasuk pempengaruh tidak mengambil tindakan sendiri berhubung isu etnik Rohingya termasuk penempatan mereka, sebaliknya melaporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin, sebaliknya berkata, semua pihak sepatutnya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menangani isu berkenaan.
"Apa yang saya boleh katakan jangan ambil tindakan sendiri kerana kita ada pihak berkuasa seperti PDRM, Jabatan Imigresen dan sebagainya.
"Jika ada kekeliruan atau kejadian yang memerlukan tindakan daripada pihak berkuasa termasuk mengetahui penempatan Rohingya, laporkan kepada pihak polis.
"Biarkan pihak berkuasa yang menangani isu-isu ini. Kita lihat sekarang ini di media sosial banyak provokasi atau mesej negatif berkaitan Rohingya ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa/Siswi Universiti Awam ke-22 Tahun 2026 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dan Naib Canselor UMK, Datuk Prof Dr Arham Abdullah.
Mengulas lanjut Noor Hisam berkata, beliau tidak mahu tindakan yang diambil sendiri itu dikhuatiri melampaui batas selain memecah keamanan kerana dipengaruhi emosi.
"Jadi tanggungjawab kami pihak polis untuk memastikan keamanan. Tidak kira isu apa sama ada membabitkan kaum atau etnik atau pendatang asing, hubungilah pihak polis jika ada sebarang maklumat.
"Jangan fikir mahu tular sesuatu termasuk penempatan Rohingya kerana dikatakan tindakan lebih pantas akan diambil pihak berkuasa.
"Kita bimbang tindakan sendiri ini dipengaruhi emosi yang hasilnya akan negatif. Apapun serahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada," katanya.










