Ahad, 13 September 2026

Maut akibat renjatan elektrik: 'Dari jauh nampak orang terbaring... rupanya isteri saya dan majikannya'


"Dari jauh saya nampak ada dua orang terbaring atas tanah dalam keadaan bertindih. Apabila saya dekat, barulah nampak rupanya isteri saya serta majikannya," kata Wan Muhammad Naim Wan Hussin, 28.


Wan Muhammad Naim berkata, dia menemui isterinya, Rubayyi Razak, 27, bersama pemilik kolam ternakan ikan, Wan Adilah Wan Awang, 49, dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum kedua-duanya disahkan meninggal dunia, dipercayai akibat terkena renjatan elektrik.


Menurutnya, dia ke kolam ikan di Pantai Air Tawar itu kira-kira 1 tengah hari tadi untuk menjemput Rubayyi pulang ke rumah di Kampung Lahar, Gong Kepas untuk rehat tengah hari.


Katanya, arwah yang juga penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jengka dan sedang menjalani latihan praktikal di kolam ternakan itu biasanya akan memandu sendiri.


"Namun pada minggu ini saya hantar dan ambil dia dari tempat kerja. Kira-kira 7.30 pagi tadi saya hantar arwah dan selalunya dia akan tunggu saya di luar kawasan kolam ikan untuk pulang rehat tengah hari.


"Tadi (tengah hari) apabila saya sampai, tiada sesiapa pun di luar kolam berkenaan," katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Besut, hari ini.


Menurutnya lagi, Rubayyi mengambil jurusan Sarjana Muda Biodiversiti memulakan latihan industri pada 10 Ogos lalu dan dijangka tamat ada 2 Oktober.


"Arwah pernah beritahu dia agak penat bekerja di kolam itu, namun tetap meneruskannya kerana tempoh praktikal hanya dua bulan," katanya memaklumkan mereka dikurnia dua anak, Wan Muhammad Raees , 2, dan Wan Muhammad Nuh Haqeem yang berusia empat bulan.


Wan Muhammad Naim berkata, sebelum ini mereka tinggal berasingan disebabkan isteri menduduki pengajian di Pahang dan anak-anak dijaga ibunya di Kelantan.


"Sepanjang dia menjalani praktikal ini saya serta ibu saya bergilir-gilir menjaga kedua-dua anak," katanya.


Jenazah Rubayyi akan dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Khamis, Pasir Puteh, Kelantan.


EmoticonEmoticon