Kononnya mahu menghantar ubat kepada seorang wanita yang kurang sihat, seorang lelaki berstatus suami orang ditahan selepas disyaki berkhalwat bersama wanita itu dalam sebuah bilik hotel di Kluang, baru-baru ini.
Lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemui bersama wanita berstatus janda berusia lingkungan 30-an dalam operasi pemeriksaan rambang dan berkala Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kira-kira jam 11.50 malam.
Menurut kenyataan, penguat kuasa mengetuk pintu bilik berkenaan sambil memberi salam sebelum pintu dibuka kira-kira lima minit kemudian oleh lelaki terbabit.
"Pemeriksaan lanjut mendapati seorang wanita berada di atas katil dalam bilik berkenaan dan hasil soal siasat mendapati mereka bukan pasangan suami isteri.
"Lelaki itu memberi alasan datang ke hotel berkenaan selepas wanita terbabit memaklumkan dirinya kurang sihat dan meminta bantuan membelikan ubat," katanya.
Menurutnya, pasangan berkenaan turut menunjukkan ubat yang dikeluarkan daripada beg tangan wanita terbabit kepada penguatkuasa.
"Bagaimanapun, kedua-duanya tetap ditahan untuk siasatan kerana ditemui berdua-duaan dalam bilik hotel yang berkunci tanpa hubungan perkahwinan yang sah," katanya.
JAINJ berkata, pemeriksaan turut menemukan bekas makanan dan minuman di dalam bakul sampah bilik berkenaan.
"Bilik itu didaftarkan atas nama wanita terbabit yang mendaftar masuk pada sebelah petang sebelum lelaki berkenaan datang pada waktu malam. Lelaki itu mendakwa hubungannya dengan isteri masih baik," katanya.
Tambahnya wanita terbabit memberi alasan memilih untuk menginap di hotel kerana kediamannya tidak mempunyai penghawa dingin selain keadaan cuaca panas dan dirinya kurang sihat.
Pasangan berkenaan ditahan untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor sebelum tindakan pendakwaan di Mahkamah Syariah.













