Jurulatih Mesir, Hossam Hassan dilaporkan pengsan selepas dua isterinya terbabit dalam pergaduhan tarik rambut di hadapan pelancong yang terkejut, menurut laporan sensasi media, Ahad lalu.
Jurulatih bola sepak itu sedang menikmati percutian di kawasan pantai utara Mesir sebelum suasana bertukar kecoh di sebuah kafe hotel mewah di Porto Marina.
Pertengkaran antara isteri pertamanya, Howaida Al-Gharbawi dan isteri keduanya, Dina "Dan Adam" Mustafa, berlaku di sebuah bar hotel sebelum tercetus pergaduhan fizikal di hadapan orang ramai.
Ahli keluarga kemudian campur tangan sebelum pihak keselamatan dipanggil. Kedua-dua wanita itu dilaporkan mengalami luka dan lebam.
Tekanan akibat pergaduhan terbuka itu dikatakan terlalu berat buat Hassan. Menurut Al Arabiya, dia pengsan ketika cuba menghentikan pertelingkahan berkenaan.
Bagaimanapun, menurut Sky News Arabia, peguam Hassan menafikan dakwaan bahawa anak guamnya mengalami masalah kesihatan, menyifatkannya sebagai khabar angin dan menegaskan Hassan berada dalam keadaan sihat.
Susulan kejadian itu, pengurus Mesir berkenaan dikatakan sudah menceraikan isteri pertamanya, Howaida selepas kejadian pertelingkahan itu.
Dia secara rasmi menandatangani dokumen perceraian di pejabat pendaftar undang-undang di Kaherah.
Hassan sudah bersama Howaida selama beberapa dekad sebelum mereka tiba-tiba berpisah dan pasangan itu mempunyai tiga anak.
Mohamed Shams, wakil undang-undang isteri kedua, Dan Adam memberitahu Sky News Arabia: "Kami berharap perkara ini tidak berakhir dengan perceraian, tetapi keadaan sudah menjadi sehingga ke tahap ini."
Shams turut mendakwa anak guamnya menjadi mangsa "serangan yang dirancang" ketika percutian di Porto Marina.
Berbeza dengan pertelingkahan yang berlaku secara terbuka itu, Ahmed Hamad, peguam keluarga Howaida, enggan mengulas mengenai butiran perpisahan berkenaan dan berkata keluarga itu memilih untuk tidak memberikan kenyataan kepada media buat masa ini.
Hassan berkahwin dengan Dan Adam pada 2015 ketika masih bergelar suami kepada Howaida. Mereka kemudian berpisah seketika pada 2022 sebelum kembali berdamai.


EmoticonEmoticon