Selasa, 18 Ogos 2026

Kes Batu Puteh: Dr Mahathir diberi tempoh dua minggu fail permohonan kemuka laporan RCI


Mahkamah Rayuan, hari ini menangguhkan pendengaran rayuan Tun Dr Mahathir Mohamad selepas peguam bekas Perdana Menteri itu memaklumkan hasrat beliau untuk memfailkan permohonan bagi mengemukakan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Batu Puteh sebagai keterangan baharu.


Susulan itu, panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Azizul Azmi Adnan, Datuk Ong Chee Kwan dan Datuk Seri Mohd Radzi Harun memberikan tempoh dua minggu kepada peguam Zainur Zakaria untuk memfailkan permohonan terbabit.


Azizul kemudian menetapkan 10 September ini sebagai pengurusan kes untuk menentukan tarikh pendengaran rayuan itu disambung semula.


Pada prosiding hari ini, Zainur berhujah bahawa dapatan RCI telah mengaitkan Dr Mahathir sebagai individu yang bertanggungjawab atas kehilangan Batu Puteh dan mengesyorkan agar pendakwaan dimulakan terhadap anak guamnya itu.


Beliau berkata, ketika hakim Mahkamah Tinggi memutuskan semakan kehakiman yang difailkan Dr Mahathir, laporan RCI belum diperoleh.


Pada peringkat ini, Azizul menyoal sama ada peguam boleh merujuk kepada kandungan laporan RCI memandangkan dokumen itu tidak dikemukakan kepada mahkamah.


Hakim itu turut mempersoalkan sama ada mahkamah boleh mengambil maklum laporan itu di bawah Seksyen 57(2) Akta Keterangan atau sama ada Zainur berhasrat untuk mengemukakan laporan terbabit dalam prosiding rayuan dan peguam berkenaan menjawab beliau memilih untuk membuat permohonan rasmi.


Terdahulu, Zainur yang dibantu peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, mengakui bahawa usaha untuk mendapatkan perintah mandamus tidak lagi boleh dilakukan kerana prosiding RCI sudah berakhir.


Bagaimanapun, beliau berkata, Dr Mahathir memohon agar mahkamah memutuskan bahawa terdapat pelanggaran di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 berkaitan haknya untuk diwakili peguam.


Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, yang mewakili lapan responden termasuk Pengerusi RCI, Tun Md Raus Sharif, pula berkata mahkamah tidak boleh mengambil maklum laporan itu atau membenarkan peguam Dr Mahathir mengemukakan dokumen berkenaan sebagai keterangan baharu.


Beliau berkata, dapatan RCI itu sudah dibentang dan diserahkan kepada Yang-di-Pertuan Agong.


Dr Mahathir mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 13 Januari 2025 yang menolak permohonan semakan kehakimannya untuk mendapatkan perintah mandamus bagi memaksa RCI membenarkan beliau dan peguamnya menghadiri prosiding tersebut.


Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 2024, Dr Mahathir mendakwa beliau sudah memohon untuk menghadiri prosiding RCI bersama-sama peguamnya mengikut Seksyen 18 akta berkenaan, namun ditolak.


Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Batu Puteh, manakala Batuan Tengah, yang terletak pada jarak kira-kira lebih satu kilometer dari situ, adalah milik Malaysia.


Pemilikan Tubir Selatan pula, yang terletak kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan diputuskan berdasarkan sempadan maritim negara yang menguasainya.


Pada 14 Februari 2024, RCI berkenaan ditubuhkan Yang-di-Pertuan Agong bagi menyiasat keputusan Dr Mahathir untuk menarik balik permohonan menyemak semula keputusan ICJ dan pada 12 Jun 2024, beliau memberi keterangan dalam prosiding RCI yang dijalankan secara tertutup.


Laporan siasatan itu kemudian diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 12 Ogos 2024 dan dinyahklasifikasikan serta didedahkan kepada umum pada 5 Disember tahun yang sama.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon