Sabtu, 8 Ogos 2026

Suami orang, janda dicekup khalwat di hotel, penguat kuasa jumpa kondom dan dua botol 'ubat kuat'

Suami orang, janda dicekup khalwat di hotel, penguat kuasa jumpa kondom dan dua botol 'ubat kuat'

(Foto dijana AI)

Seorang lelaki berstatus suami bukan saja disyaki berkhalwat dengan seorang janda, malah pasukan Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) turut menjumpai kondom dan dua botol 'ubat kuat' dalam bilik penginapan mereka di sebuah hotel, di Batu Pahat lewat malam tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 malam, lelaki berusia 30-an bersama pasangannya berumur 20-an mengaku sudah lama berkenalan.


Menurut JAINJ dalam satu kenyataan, hari ini, kedua-dua mereka didapati bekerja di daerah ini dengan lelaki itu mendakwa bahawa wanita berkenaan bantu membantu tugasannya.


Menurut JAINJ, sebelum tangkapan dibuat, penguat kuasanya mengetuk pintu bilik hotel itu selama kira-kira 10 minit sebelum dibuka seorang lelaki yang hanya memakai tuala dan tidak berbaju.


Selepas memperkenalkan diri, katanya, penguat kuasa memasuki bilik hotel itu untuk membuat pemeriksaan.


"Penguat kuasa kemudian mendapati ada seseorang sedang bersembunyi dalam selimut di atas katil. Apabila dipanggil, seorang wanita berpakaian baju tidur bangun menunjukkan diri.


"Wajah pasangan terbabit seperti ketakutan apabila melihat kehadiran penguat kuasa, manakala keadaan katil didapati berkecamuk," katanya.


Menurut JAINJ, hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan sekeping kondom belum digunakan di bawah selimut dan lelaki itu mengaku membelinya di sebuah kedai runcit.


"Kondom itu kemudian dirampas untuk dijadikan barang kes di Mahkamah Syariah kelak. Selain itu, penguat kuasa turut menjumpai dua botol 'ubat kuat' berlainan jenis di atas meja yang dikatakan dibeli melalui dalam talian.


"Hasil soal siasat mendapati lelaki itu sudah berkahwin, manakala pasangannya adalah seorang janda.


"Mereka berdua datang ke hotel dengan menaiki kereta dipandu lelaki terbabit dan mendaftar masuk kira-kira jam 10 malam.


"Ketika ditanya mengenai masa depan hubungan mereka pula, wanita itu memberitahu bahawa dia tidak mahu bernikah dengan lelaki berstatus suami orang," katanya.


Menurut kenyataan itu lagi, pasangan itu kemudian diambil keterangan dan akan didakwa bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana berkhalwat," katanya.

Pelajar mangsa buli bunuh datuk, nenek sebelum serang sekolah ragut enam nyawa

Pelajar mangsa buli bunuh datuk, nenek sebelum serang sekolah ragut enam nyawa


Seorang budak lelaki berusia 14 tahun di Thailand, yang disifatkan sebagai 'bermasalah' dan 'dibuli' oleh rakan sekelas bertindak membunuh datuk dan neneknya sebelum menembak mati lima lagi mangsa di sebuah sekolah semalam, kata polis.


"Mula-mula dia menembak mati kedua-dua datuk dan neneknya, menggunakan pistol datuknya, kemudian dia pergi ke sebuah sekolah menengah di wilayah Nonthaburi, bersempadan dengan Bangkok dan membunuh lima kakitangan sekolah," kata polis Thai dalam satu kenyataan.


Suspek berumur 14 tahun itu juga maut, kata kenyataan itu, dengan seorang pegawai polis memberitahu AFP bahawa suspek mengambil nyawanya sendiri.


Berpuluh-puluh anggota polis dan penyelamat berkumpul di luar Sekolah Debsirin Nonthaburi yang dikepung, lapor wartawan AFP, manakala ibu bapa menunggu untuk menjemput anak-anak mereka serta kakitangan yang menangis sambil menenangkan antara satu sama lain.


"Saya takut saya akan mati dan saya takut saya tidak akan dapat mengejar impian saya," kata, pelajar tingkatan 5 (gred 12) yang berharap untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah perubatan, Pawarisa Maylissa.


"Saya mendengar bunyi tembakan dengan sangat kuat kerana nampaknya suspek berada di tingkat tepat di atas tingkat kami," tambahnya kepada AFP.


Perdana Menteri Anutin Charnvirakul memberitahu pemberita di tempat kejadian bahawa "polis menyoal siasat sahabat karibnya yang mengatakan bahawa suspek berada di bawah tekanan berkaitan persekolahannya.


"Tindakannya juga menunjukkan bahawa dia telah merancang dengan teliti serangan ini," kata Anutin.


Menurutnya, lebih 30 orang cedera, dengan kira-kira sembilan dalam keadaan kritikal.


Timbalan Ketua Polis Negara Thailand merangkap jurucakap Polis Diraja Thailand Leftenan Jeneral Trairong Piwpan berkata siasatan awal polis menemukan sepucuk pistol 9 milimeter dan 34 butir peluru tambahan di luar magazin.


Suspek yang dikenal pasti sebagai pelajar Sekolah Debsirin Nonthaburi melepaskan tembakan di sekolah itu kira-kira jam 10 pagi mengorbankan enam individu, tiga guru dan tiga pelajar.


Polis mengesahkan bahawa suspek turut ditemukan maut di sekolah berkenaan.


Orang ramai menenangkan isteri kepada seorang cikgu yang mati ditembak dalam insiden berdarah di sebuah sekolah di Thailand pada Jumaat. - Foto AFP.
30 tahun ketagihan dadah, suami isteri warga emas ditahan AADK

30 tahun ketagihan dadah, suami isteri warga emas ditahan AADK


Tindakan sepasang suami isteri warga emas menyembunyikan ketagihan dadah kira-kira 30 tahun lalu akhirnya terbongkar selepas ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di kediaman mereka di Jalan Gambang.


Pasangan yang berusia 67 dan 59 tahun antara 1,209 individu didapati positif dadah ditahan di dalam operasi yang diadakan serentak di seluruh negara sepanjang tempoh tiga hari yang berakhir pada Khamis.


Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Mahadzir Elias berkata, pasangan warga emas itu tidak bekerja dan perbelanjaan harian mereka ditanggung lima anak berusia antara 24 hingga 31 tahun.


Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, pasangan itu dikategorikan sebagai penagih baharu kerana mereka pertama kali dikesan pihak AADK .


"Alhamdulillah, kali ini kita dapat tahan dan insya-ALLAH, AADK akan membantu mereka melalui program rawatan serta pemulihan supaya dapat kembali berfungsi dalam komuniti," katanya pada sidang akhbar di pejabat AADK Pahang di Indera Mahkota, Kuantan semalam. 


Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah (Operasi) Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Hamizan Haidzir dan Pengarah AADK Pahang, Aman Mustapha.


Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 1,606 individu ditahan dengan 1,209 orang didapati positif dadah atau bahan membabitkan 1,153 lelaki dan 56 wanita.


Jelasnya, di Pahang, seramai 254 individu ditahan dengan 191 orang didapati positif dadah atau bahan.


"Seramai 131 orang daripadanya merupakan penagih baharu yang dikesan. Daripada jumlah positif itu, seramai 183 ialah lelaki manakala lapan lagi wanita," jelasnya.


Menurut Mahadzir, metamphetamine atau syabu kekal menjadi dadah paling dominan digunakan di Pahang apabila 145 individu didapati positif, diikuti opiat seramai 36 orang.


Ujarnya, di Kuantan merekodkan jumlah tangkapan tertinggi di negeri itu iaitu 67 orang, diikuti Rompin dengan 28 tangkapan.


Mahadzir memberitahu, AADK turut memberi tumpuan terhadap kawasan Felda apabila seramai 66 individu didapati positif dadah di enam daerah sepanjang operasi berkenaan.


Selain itu, katanya, pihaknya turut menerima aduan berkaitan penyalahgunaan dadah dan bahan dalam komuniti Orang Asli apabila operasi di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Runchang berjaya menahan 12 individu.


"RPS Runchang sebelum ini telah dimasuki sebanyak dua kali dan dalam operasi pertama kita menahan 30 individu.


"Gejala penagihan dalam kalangan Orang Asli agak membimbangkan dan selepas ini kita akan memberi tumpuan kepada pendidikan pencegahan secara berkomuniti bagi membantu mereka," katanya.


Sehubungan itu, beliau menyeru individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah atau bahan supaya tampil secara sukarela mendapatkan bantuan rawatan dan pemulihan sebelum dikenakan tindakan perundangan.


"Sebenarnya perkhidmatan rawatan dan pemulihan secara sukarela ini lebih selamat dari segi masa depan serta pekerjaan mereka.


"Kita memang menyeru rakan-rakan kita yang masih berada di luar dan terjebak dengan masalah ini supaya tampil mendapatkan bantuan sebelum ditangkap secara perundangan.


"Dengan cara itu, mereka boleh menerima rawatan yang lebih baik untuk kembali berfungsi dalam masyarakat," katanya.

Jumaat, 7 Ogos 2026

Lelaki dipenjara 69 bulan mengaku curi duit masjid, surau di sekitar Melaka

Lelaki dipenjara 69 bulan mengaku curi duit masjid, surau di sekitar Melaka


Seorang lelaki yang menjadikan tabung masjid dan surau sebagai sasaran jenayah sejak lima tahun lalu mendapat padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 69 bulan oleh Mahkamah Majistret Melaka pada Rabu.


Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mu'ammar Raid Abdul Malik, 37, selepas tertuduh mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.


Empat pertuduhan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan mencuri wang tunai dan wang tabung di beberapa rumah ibadat, termasuk RM3,000 milik Madrasah Al Jariah Kampungku Sayang pada jam 2.30 pagi, 25 November 2025.


Tertuduh turut didakwa mencuri wang tabung di Surau Kampung Pengkalan Lanjut, Tanjung Kling pada jam 4.45 pagi, 30 Mac 2026 serta Surau Al Karim, Kampung Gedong Lalang pada jam 6.38 petang, 31 Mac lalu.


Selain itu, dia turut mengaku bersalah atas pertuduhan cuba mencuri wang tabung Masjid As-Syakirin, Pasir Puteh, Bachang pada jam 11.10 malam, 16 Ogos 2021 mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama.


Mu'ammar Raid turut didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan Masjid As-Syakirin, Pasir Puteh tanpa kebenaran pada tarikh sama serta memasuki Surau Al Mustaqim, Batu Berendam pada jam 3.22 pagi, 29 November 2025.


Bagi pertuduhan ketujuh, dia didakwa memecah masuk Surau An-Naim, Klebang Besar bagi tujuan mencuri pada jam 4.30 pagi, 28 November 2025 mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.


Tertuduh juga mengaku bersalah atas dua pertuduhan mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 kerana gagal mengemukakan kad pengenalan apabila diminta polis pada 16 Ogos 2021 dan 18 Julai 2026.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Alia Safri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara keseluruhan 69 bulan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 18 Julai lalu.

PM bakal umum berita gembira untuk warga ATM, PDRM pada 30 Ogos ini

PM bakal umum berita gembira untuk warga ATM, PDRM pada 30 Ogos ini


Proses kenaikan pangkat warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dipermudah dan dipercepatkan supaya lebih hampir setara dengan skim perkhidmatan awam lain.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, kini sedang giat meneliti mekanisme pelaksanaan perkara itu.


"Perkara itu akan saya umumkan pada Malam Ambang Merdeka pada 30 Ogos ini di Stadium Merdeka," katanya pada majlis Semarak Kenegaraan di Dewan Serbaguna Kem Terendak, Sungai Udang, hari ini.


Turut hadir, Shamsul Azri; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.


Beliau berkata, perkara itu pernah dibangkitkan beliau ketika berkunjung ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas bulan lalu.



Katanya, isu penyelarasan skim perkhidmatan dan kenaikan pangkat ini sebelum ini menjadi perhatian warga keselamatan berikutan perbezaan struktur gred berbanding sektor perkhidmatan awam biasa.


Dalam pada itu, Anwar menegaskan Kerajaan MADANI tidak pernah mengabaikan kebajikan anggota tentera dan veteran, dengan merujuk kepada peningkatan peruntukan Kementerian Pertahanan sebanyak 35 peratus berbanding pentadbiran terdahulu.


Bagi membuktikan komitmen terbabit, beliau turut mengumumkan peruntukan khas RM1 juta bagi kerja menaik naik taraf masjid dan surau di empat kem tentera utama di Melaka iaitu Kem Terendak, Kem Sungai Udang, Kem Masjid Tanah dan Kem Bukit Beruang.


Selain itu, Perdana Menteri turut meluluskan RM147,000 sebagai sumbangan kebajikan kepada Badan Amal dan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) merangkumi pelbagai formasi dan pasukan di empat kem tentera berkenaan.


"Keselesaan perumahan anggota tentera pula kini berada pada tahap keutamaan tertinggi menerusi perbaikan infrastruktur oleh Kor Jurutera.


"Bagi memastikan kebajikan warga pertahanan terus terbela, perincian lanjut berhubung penambahan peruntukan perumahan dan kemudahan asas dijangka akan diumumkan menerusi Pembentangan Belanjawan 2027 pada Oktober ini," katanya.

Pasangan suami isteri antara 7 ditahan, dadah bernilai RM538,000 dirampas

Pasangan suami isteri antara 7 ditahan, dadah bernilai RM538,000 dirampas


Sepasang suami isteri antara tujuh individu ditahan manakala dadah jenis ketamin dan pil Erimin 5 bernilai lebih RM538,000 dirampas dalam empat serbuan berasingan di sekitar Ipoh dan Tapah dalam tempoh dua hari sehingga kelmarin.


Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata suspek berusia 22 hingga 44 tahun itu ditahan termasuk di pusat hiburan antara 12.30 tengahari pada Selasa lalu hingga 3.05 pagi keesokannya.


Katanya, dalam serbuan pertama dan kedua yang membabitkan enam individu termasuk pasangan suami isteri, pihaknya menemui 20 paket plastik lutsinar berisi dadah ketamin dianggarkan seberat 24.14 gram (g) serta 17 paket bungkusan termasuk memiliki gambar kartun kanak-kanak, berisi dadah jenis MDMA seberat 574.81g.


"Hasil soal siasat ke atas mereka itu kemudian membawa kepada serbuan ketiga di sebuah rumah di Tapah. Hasil pemeriksaan menjumpai 71 paket lutsinar berisi serbuk dadah MDMA seberat 2.502 kilogram (kg) dan sepaket plastik lutsinar berisi ketamin seberat 4.06g.


"Serbuan keempat kemudiannya dibuat ke atas sebuah lagi rumah di kawasan Bukit Pagar, Tapah. Seorang lelaki ditahan di situ selain penemuan pelbagai jenis dadah antaranya 151.62g serbuk dadah MDA dan 9.68g dadah ketamin," katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perak dan Ketua Polis Daerah (KPD) Taiping di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak, semalam.


Pada majlis berkenaan, Asisten Komisioner Mohd Ridzuan Nor Ihsan dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak yang baharu selepas memangku jawatan itu sebelum ini.


Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping Superintenden Mohd Ariffridzuan Ezahar pula menyerahkan tugas kepada Asisten Komisioner S Saravanan yang sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda.


Mohd Alwi berkata jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM538,451.


Katanya, dadah yang dirampas boleh merosakkan 23,332 penagih, dengan kegiatan suspek dipercayai sejak Jun lalu.


"Tindakan pelucuthakan harta turut diambil dengan menyita tiga unit kereta bernilai RM224,000 serta wang tunai RM32,376," katanya.


Mohd Alwi berkata, modus operandi yang digunakan suspek adalah menjadikan pusat hiburan sebagai tempat penjualan dadah, dengan ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripada suspek ditahan positif dadah amphetamin dan methamphetamin.


Katanya, hasil semakan mendapati enam daripada semua tujuh suspek mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Akta Dadah Berbahaya 1952, di mana suspek yang ditahan dalam serbuan pertama dan kedua direman empat hari hingga Sabtu ini, manakala seorang yang ditahan dalam serbuan keempat direman tiga hari sehingga Jumaat," katanya.

Buruh didakwa amang seksual, rogol dua anak saudara perempuan bawah umur

Buruh didakwa amang seksual, rogol dua anak saudara perempuan bawah umur


Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam atas lapan pertuduhan iaitu merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan bawah umur yang juga anak saudaranya, antara Januari 2018 sehingga Disember 2022.


Tertuduh yang berusia 26 tahun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah dan Hakim Nik Habri Muhamad.


Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak seorang perempuan ketika mangsa berusia enam tahun 10 bulan dan lapan tahun.


Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Kuala Krai, jam 12 tengah hari pada 10 Januari 2018 dan 12.30 tengah hari pada 3 Ogos 2019.


Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum sebat.


Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa merogol mangsa yang sama ketika berusia 10 tahun yang mana perhubungan dengannya adalah tidak dibenarkan dibawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengannya, jam 3 petang, pada 25 Mei 2020.


Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa merogol seorang lagi kanak-kanak perempuan ketika mangsa berusia 10 tahun, antara jam 2.30 petang hingga 4 petang, pada 30 Ogos 2020 sehingga 11 Disember 2022.


Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan boleh dikenakan 10 sebatan.


Bagi pertuduhan ketujuh dan kelapan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang sama ketika berusia 10 tahun, jam 2.30 petang, pada 11 Disember 2022.


Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah seksyen 14 akta sama yang boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan juga sebat.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Asma'a Che Omar dan Syazalia Che Suhaimin, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nik Mohamad Naqib Mohamad Nor.


Terdahulu, Siti Asma'a dan Syazalia tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh. Bagaimanapun, Nik Mohamad Naqib memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 bagi pertuduhan ketujuh dan kelapan, manakala bagi pertuduhan pertama dan keenam mahkamah meminta peguam memasukkan permohonan jamin bertulis.


Mahkamah juga menetapkan 7 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Ismail Sabri dimasukkan ke IJN, pendakwaan ditangguh 27 Ogos

Ismail Sabri dimasukkan ke IJN, pendakwaan ditangguh 27 Ogos

 

Pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini ditangguhkan selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) akibat masalah kesihatan.


Hakim, Suzana Hussin kemudian menetapkan prosiding pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan terhadap Ahli Parlimen Bera berusia 66 tahun itu pada tiga minggu akan datang.


"Memandangkan tertuduh kini berada di IJN kerana isu kesihatan, termasuk permohonan penangguhan oleh pembelaan serta pendakwaan, mahkamah membenarkan prosiding pembacaan pertuduhan termasuk pengambilan pengakuan akan dilakukan pada 27 Ogos," kata hakim.


Berdasarkan sistem kehakiman, pertuduhan terhadap Ismail Sabri sepatutnya dibacakan pada jam 9 pagi hari ini.


Semasa prosiding, peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ismail Sabri berkata, pihak pembelaan mengesahkan pertuduhan terhadap anak guamnya telah difailkan oleh pihak pendakwaan.


Menurutnya, ketika berada di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada Khamis untuk memberikan keterangan dengan ditemani seorang lagi peguam, Ragunath Kesavan, Ismail Sabri dilaporkan mengalami masalah kesihatan.


"Beliau terpaksa digegaskan ke IJN dan doktor yang merawat mengesahkan anak guam mempunyai masalah kesihatan.


"Mesin ‘Holter’ yang dipasang juga mengesan terdapat masalah pada jantung yang memerlukan siasatan serta rawatan lanjut," katanya.


Beliau berkata, pihak hospital turut mengesahkan Ismail Sabri perlu menjalani prosedur pemasangan perentak jantung pada jam 2 petang ini.


Sehubungan itu, katanya, pembelaan memohon prosiding pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan ditangguhkan ke satu tarikh lain.


"Atas belas ihsan mahkamah, kami memohon pembacaan pertuduhan, pengambilan pengakuan termasuk isu-isu berbangkit seperti ikat jamin ditetapkan pada tarikh lain.


"Ini kerana anak guam perlu dimasukkan ke wad dan dipantau oleh doctor jadi saya mencadangkan pertuduhan dijalankan apabila beliau benar-benar sihat untuk hadir ke mahkamah pada 27 Ogos ini," katanya.


Amer Hamzah berkata, Ismail Sabri masih berada di bawah jaminan SPRM, justeru tiada risiko beliau akan melarikan diri, lebih-lebih lagi ketika ini sedang menerima rawatan di hospital.


Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan berkata, pihak pendakwaan tidak membantah permohonan penangguhan atas faktor kesihatan tertuduh.


"Adalah adil atas sifat kemanusiaan, kami tidak akan membantah permohonan penangguhan berkenaan.


"Bagaimanapun, kami memohon prosiding diteruskan pada 27 Ogos ini, tertakluk kepada keadaan kesihatan tertuduh selepas dibenarkan keluar dari wad dan disahkan cukup sihat untuk hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan serta mengambil pengakuan," katanya.


Pada 1 Oktober 2025, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melucutkan hak wang tunai pelbagai mata wang asing berjumlah kira-kira RM169 juta yang didakwa milik Ismail Sabri kepada Kerajaan Malaysia.


Wang berkenaan melibatkan RM14,772,150; SG$6,132,350; AS$1,461,400; CHF3 juta (franc Swiss); EUR12,164,150; JPY363,000,000 (yen); £50,250 (pound sterling); NZ$44,600; AED34,750,000 (dirham Emiriah Arab Bersatu) dan AUD352,850.


Hakim sama membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan kerana tiada pihak ketiga yang berkepentingan tampil mencabar prosiding pelucuthakan harta terbabit.


Pada 8 September tahun sama, mahkamah diberitahu bahawa Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus, yang dinamakan sebagai responden, tidak berhasrat mencabar permohonan pendakwaan untuk melucutkan hak wang tunai yang disita SPRM.


Pada sidang media pada Mac 2025, SPRM mempamerkan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.


Wang dan jongkong emas itu dipamerkan selepas SPRM mendedahkan rampasan wang tunai ratusan juta ringgit serta pelbagai barangan berharga di tiga premis, termasuk sebuah 'safehouse', yang dikaitkan dengan siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram.


Sejak awal pagi, pengamal media dilaporkan mula berkumpul di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur serta di luar kawasan IJN bagi mengikuti perkembangan kes itu.

Khamis, 6 Ogos 2026

Kakitangan AADK dipenjara 10 tahun sebabkan kematian tanpa niat

Kakitangan AADK dipenjara 10 tahun sebabkan kematian tanpa niat


Mahkamah Tinggi Sungai Petani hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat terhadap seorang lelaki, lima tahun lalu.


Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk S Narkunavathy membuat keputusan itu ke atas tertuduh, Md Ilyas Syahmi Ibnu, 39, yang sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Selepas pembelaan, mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes tanpa sebarang keraguan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Bagaimanapun, hakim mensabitkan tertuduh mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian tanpa niat, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Dalam kes ini, mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara maksimum selama 10 tahun kepada tertuduh bermula tarikh ditangkap, 20 September 2021.


Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Naran Singh.


Dalam pada itu, Naran Singh berkata, pihaknya telah menerima arahan daripada anak guamnya untuk mengemukakan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan mahkamah.


Bagaimanapun, hukuman penjara terhadap tertuduh diteruskan sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Rayuan.


Sebelum ini, tertuduh didakwa menyebabkan kematian ke atas Zahari Ayub, 24, di hadapan Bangunan Pejabat Penguatkuasaan AADK Sungai Petani.


Perbuatan itu didakwa dilakukan antara jam 10.40 malam 18 Julai 2021 hingga jam 1.34 pagi 20 Julai 2021.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara selama 30 hingga 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

Serpihan lidi sate tersangkut di kerongkong, wanita fail saman terhadap Singapore Airlines

Serpihan lidi sate tersangkut di kerongkong, wanita fail saman terhadap Singapore Airlines


Seorang bekas bintang kanak-kanak yang kini menjadi jurulatih yoga mendakwa pita suaranya mengalami kecederaan selepas secara tidak sengaja tertelan serpihan kayu tajam dari lidi sate ayam yang dihidangkan dalam penerbangan Singapore Airlines ke Los Angeles, menurut satu saman yang difailkan di mahkamah persekutuan Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.


The Independent melaporkan, Briohny Smyth, 44, yang pernah menghasilkan album platinum di Thailand ketika berusia 13 tahun dan kini mengajar yoga di Los Angeles, mendakwa serpihan kayu yang tersangkut di kerongkongnya menyebabkannya mengalami kesakitan serta-merta, batuk yang teruk dan rasa seperti tercekik.


Beliau juga mendakwa mengalami kesakitan fizikal dan tekanan emosi yang teruk ketika cuba mengeluarkan objek asing itu sepanjang penerbangan.


Saman itu difailkan di Mahkamah Persekutuan Los Angeles pada 24 Julai lalu. Menurut dokumen yang difailkan itu, Smyth yang duduk di kelas perniagaan akhirnya berjaya mengeluarkan serpihan kayu tajam sepanjang kira-kira 1.5 inci (3.8 sentimeter) dari kerongkongnya.


Selepas kejadian pada 28 Julai 2024 itu, Smyth mendakwa mengalami ketidakselesaan berterusan pada tekak, keletihan suara, suara serak, rasa tegang serta sakit apabila bercakap atau menyanyi dalam tempoh yang lama.


Beliau kemudian mendapatkan rawatan daripada pakar telinga, hidung dan tekak (ENT), yang mendapati terdapat parut dan kecederaan pada pita suaranya, selaras dengan kecederaan akibat objek asing yang tajam.


Saman itu turut menyatakan, Smyth memakan hidangan itu mengikut cara yang sepatutnya dan tidak melakukan sebarang kecuaian.


Beliau digambarkan sebagai seorang penyanyi profesional, penghibur, pendidik kesihatan dan penceramah awam, yang sumber pendapatannya bergantung kepada keadaan dan prestasi suaranya.


Akibat kejadian itu, Smyth mendakwa mengalami kecederaan fizikal, kehilangan keupayaan menjana pendapatan, kerugian dalam kerjaya serta kebimbangan ketika makan dan menaiki pesawat.


Tahun lalu, seorang doktor perubatan dari New York, yang mempunyai alahan serius terhadap makanan laut, turut memfailkan saman terhadap Singapore Airlines selepas dihidangkan makanan yang mengandungi udang.