Seorang bekas bintang kanak-kanak yang kini menjadi jurulatih yoga mendakwa pita suaranya mengalami kecederaan selepas secara tidak sengaja tertelan serpihan kayu tajam dari lidi sate ayam yang dihidangkan dalam penerbangan Singapore Airlines ke Los Angeles, menurut satu saman yang difailkan di mahkamah persekutuan Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.
The Independent melaporkan, Briohny Smyth, 44, yang pernah menghasilkan album platinum di Thailand ketika berusia 13 tahun dan kini mengajar yoga di Los Angeles, mendakwa serpihan kayu yang tersangkut di kerongkongnya menyebabkannya mengalami kesakitan serta-merta, batuk yang teruk dan rasa seperti tercekik.
Beliau juga mendakwa mengalami kesakitan fizikal dan tekanan emosi yang teruk ketika cuba mengeluarkan objek asing itu sepanjang penerbangan.
Saman itu difailkan di Mahkamah Persekutuan Los Angeles pada 24 Julai lalu. Menurut dokumen yang difailkan itu, Smyth yang duduk di kelas perniagaan akhirnya berjaya mengeluarkan serpihan kayu tajam sepanjang kira-kira 1.5 inci (3.8 sentimeter) dari kerongkongnya.
Selepas kejadian pada 28 Julai 2024 itu, Smyth mendakwa mengalami ketidakselesaan berterusan pada tekak, keletihan suara, suara serak, rasa tegang serta sakit apabila bercakap atau menyanyi dalam tempoh yang lama.
Beliau kemudian mendapatkan rawatan daripada pakar telinga, hidung dan tekak (ENT), yang mendapati terdapat parut dan kecederaan pada pita suaranya, selaras dengan kecederaan akibat objek asing yang tajam.
Saman itu turut menyatakan, Smyth memakan hidangan itu mengikut cara yang sepatutnya dan tidak melakukan sebarang kecuaian.
Beliau digambarkan sebagai seorang penyanyi profesional, penghibur, pendidik kesihatan dan penceramah awam, yang sumber pendapatannya bergantung kepada keadaan dan prestasi suaranya.
Akibat kejadian itu, Smyth mendakwa mengalami kecederaan fizikal, kehilangan keupayaan menjana pendapatan, kerugian dalam kerjaya serta kebimbangan ketika makan dan menaiki pesawat.
Tahun lalu, seorang doktor perubatan dari New York, yang mempunyai alahan serius terhadap makanan laut, turut memfailkan saman terhadap Singapore Airlines selepas dihidangkan makanan yang mengandungi udang.

EmoticonEmoticon