Khamis, 6 Ogos 2026

Penganggur tidak mengaku amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan di hotel


Seorang lelaki penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, Sabtu lalu.


Tertuduh, Mohd Asroy Razali, 38, Bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.


Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa di sebuah hotel di Jalan Parameswara, Kampung Bandar Hilir dalam daerah Melaka Tengah, kira-kira jam 8 pagi pada 1 Ogos lalu.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.


Mangsa yang dipercayai mengenali tertuduh sebelum kejadian tampil membuat laporan polis selepas insiden berkenaan.


Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan memohon mahkamah menetapkan jaminan RM18,000 terhadap tertuduh berserta beberapa syarat tambahan termasuk tidak mengganggu saksi pendakwaan serta wajib melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.


Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon pertimbangan mahkamah supaya jumlah jaminan dikurangkan.


Tertuduh memaklumkan perlu menjaga ibu bapanya, selain bapanya menghidap penyakit jantung.


Dia turut memberitahu mahkamah dirinya baru menjalani pembedahan jantung dan mempunyai masalah angin pasang.


Mahkamah bagaimanapun memutuskan tertuduh tidak ditawarkan jaminan dan menetapkan 8 September depan untuk sebutan semula kes.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon