Khamis, 6 Ogos 2026

Kakitangan AADK dipenjara 10 tahun sebabkan kematian tanpa niat


Mahkamah Tinggi Sungai Petani hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada kakitangan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat terhadap seorang lelaki, lima tahun lalu.


Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk S Narkunavathy membuat keputusan itu ke atas tertuduh, Md Ilyas Syahmi Ibnu, 39, yang sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Selepas pembelaan, mahkamah mendapati bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes tanpa sebarang keraguan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Bagaimanapun, hakim mensabitkan tertuduh mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian tanpa niat, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Dalam kes ini, mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara maksimum selama 10 tahun kepada tertuduh bermula tarikh ditangkap, 20 September 2021.


Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Kedah, Datuk Khairul Anuar Abdul Halim manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Naran Singh.


Dalam pada itu, Naran Singh berkata, pihaknya telah menerima arahan daripada anak guamnya untuk mengemukakan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan mahkamah.


Bagaimanapun, hukuman penjara terhadap tertuduh diteruskan sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Rayuan.


Sebelum ini, tertuduh didakwa menyebabkan kematian ke atas Zahari Ayub, 24, di hadapan Bangunan Pejabat Penguatkuasaan AADK Sungai Petani.


Perbuatan itu didakwa dilakukan antara jam 10.40 malam 18 Julai 2021 hingga jam 1.34 pagi 20 Julai 2021.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara selama 30 hingga 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dihukum mati.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon