Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam atas lapan pertuduhan iaitu merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan bawah umur yang juga anak saudaranya, antara Januari 2018 sehingga Disember 2022.
Tertuduh yang berusia 26 tahun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah dan Hakim Nik Habri Muhamad.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak seorang perempuan ketika mangsa berusia enam tahun 10 bulan dan lapan tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Kuala Krai, jam 12 tengah hari pada 10 Januari 2018 dan 12.30 tengah hari pada 3 Ogos 2019.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum sebat.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa merogol mangsa yang sama ketika berusia 10 tahun yang mana perhubungan dengannya adalah tidak dibenarkan dibawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengannya, jam 3 petang, pada 25 Mei 2020.
Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa merogol seorang lagi kanak-kanak perempuan ketika mangsa berusia 10 tahun, antara jam 2.30 petang hingga 4 petang, pada 30 Ogos 2020 sehingga 11 Disember 2022.
Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan boleh dikenakan 10 sebatan.
Bagi pertuduhan ketujuh dan kelapan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang sama ketika berusia 10 tahun, jam 2.30 petang, pada 11 Disember 2022.
Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah seksyen 14 akta sama yang boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan juga sebat.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Asma'a Che Omar dan Syazalia Che Suhaimin, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nik Mohamad Naqib Mohamad Nor.
Terdahulu, Siti Asma'a dan Syazalia tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh. Bagaimanapun, Nik Mohamad Naqib memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 bagi pertuduhan ketujuh dan kelapan, manakala bagi pertuduhan pertama dan keenam mahkamah meminta peguam memasukkan permohonan jamin bertulis.
Mahkamah juga menetapkan 7 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

EmoticonEmoticon