Jumaat, 7 Ogos 2026

Pasangan suami isteri antara 7 ditahan, dadah bernilai RM538,000 dirampas


Sepasang suami isteri antara tujuh individu ditahan manakala dadah jenis ketamin dan pil Erimin 5 bernilai lebih RM538,000 dirampas dalam empat serbuan berasingan di sekitar Ipoh dan Tapah dalam tempoh dua hari sehingga kelmarin.


Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata suspek berusia 22 hingga 44 tahun itu ditahan termasuk di pusat hiburan antara 12.30 tengahari pada Selasa lalu hingga 3.05 pagi keesokannya.


Katanya, dalam serbuan pertama dan kedua yang membabitkan enam individu termasuk pasangan suami isteri, pihaknya menemui 20 paket plastik lutsinar berisi dadah ketamin dianggarkan seberat 24.14 gram (g) serta 17 paket bungkusan termasuk memiliki gambar kartun kanak-kanak, berisi dadah jenis MDMA seberat 574.81g.


"Hasil soal siasat ke atas mereka itu kemudian membawa kepada serbuan ketiga di sebuah rumah di Tapah. Hasil pemeriksaan menjumpai 71 paket lutsinar berisi serbuk dadah MDMA seberat 2.502 kilogram (kg) dan sepaket plastik lutsinar berisi ketamin seberat 4.06g.


"Serbuan keempat kemudiannya dibuat ke atas sebuah lagi rumah di kawasan Bukit Pagar, Tapah. Seorang lelaki ditahan di situ selain penemuan pelbagai jenis dadah antaranya 151.62g serbuk dadah MDA dan 9.68g dadah ketamin," katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Perak dan Ketua Polis Daerah (KPD) Taiping di Mes Pegawai Kanan PDRM Perak, semalam.


Pada majlis berkenaan, Asisten Komisioner Mohd Ridzuan Nor Ihsan dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak yang baharu selepas memangku jawatan itu sebelum ini.


Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping Superintenden Mohd Ariffridzuan Ezahar pula menyerahkan tugas kepada Asisten Komisioner S Saravanan yang sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda.


Mohd Alwi berkata jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM538,451.


Katanya, dadah yang dirampas boleh merosakkan 23,332 penagih, dengan kegiatan suspek dipercayai sejak Jun lalu.


"Tindakan pelucuthakan harta turut diambil dengan menyita tiga unit kereta bernilai RM224,000 serta wang tunai RM32,376," katanya.


Mohd Alwi berkata, modus operandi yang digunakan suspek adalah menjadikan pusat hiburan sebagai tempat penjualan dadah, dengan ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripada suspek ditahan positif dadah amphetamin dan methamphetamin.


Katanya, hasil semakan mendapati enam daripada semua tujuh suspek mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Akta Dadah Berbahaya 1952, di mana suspek yang ditahan dalam serbuan pertama dan kedua direman empat hari hingga Sabtu ini, manakala seorang yang ditahan dalam serbuan keempat direman tiga hari sehingga Jumaat," katanya.


EmoticonEmoticon