Sabtu, 11 Julai 2026

Nahas RXZ ragut 4 nyawa: Polis siasat video tular, penunggang motosikal dipercayai berlumba

Nahas RXZ ragut 4 nyawa: Polis siasat video tular, penunggang motosikal dipercayai berlumba


Polis sedang menyiasat rakaman video kamera papan pemuka tular di media sosial membabitkan aksi berbahaya membabitkan sekumpulan penunggang motosikal sebelum nahas meragut empat nyawa dan 20 cedera di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Satu, dekat susur keluar Plaza Tol Jabor, Kuantan awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, berkata berdasarkan siasatan lanjut kumpulan penunggang motosikal terbabit dipercayai berlumba.


"Lebih 30 motosikal terbabit dalam kemalangan itu," katanya ketika dihubungi.


Sejurus kejadian, tular di media sosial video berdurasi satu minit dirakam jam 12.05 tengah malam tadi, memaparkan beberapa penunggang motosikal jenama Yamaha RXZ melakukan aksi 'superman' di LPT1.


Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, empat maut dan 20 cedera selepas lebih 30 motosikal dan sebuah kereta terbabit dengan kemalangan.



Nahas berlaku selepas sebuah motosikal terlanggar belakang sebuah kereta di lorong kanan lebuh raya dan menyebabkan beberapa lagi penunggang tidak sempat mengelak lalu terlanggar sesama sendiri di atas jalan.


Ketika kejadian semua motosikal dan kereta terbabit dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kemaman, Terengganu.


Kemalangan menyebabkan Che Mohd Sufian Che Ghani, 40, Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan dan Mohd Aizat Husni masing-masing berusia 33 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian.


Seorang lagi mangsa Muhammad Safawi Md Noh, 24, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.


Seramai 18 mangsa tercedera dihantar ke HTAA serta dua lagi di Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), untuk rawatan lanjut.


Sementara itu, Pengurus Operasi sebuah restoran terkenal di Indera Mahkota, Rizuan Abdullah, 44, berkata semua mangsa termasuk hampir 100 penunggang motosikal berkunjung ke premisnya malam tadi untuk jamuan makan malam.


Menurutnya, sebahagian besar mereka adalah penunggang motosikal Yamaha RZX dari Terengganu dan sekitar Kuantan.


"Semua mereka pulang selepas jam 12 tengah malam setelah hujan berhenti dan kira-kira jam 1.30 pagi, saya dimaklumkan oleh rakan mangsa mengenai kemalangan itu. Sejak kejadian itu, ramai pengguna media sosial mengecam mangsa terbabit dengan nahas itu.


"Saya berharap netizen tidak mengecam mangsa dan mereka cuma menunggang motosikal secara santai untuk kepuasan dan hobi," katanya ketika ditemui di HTAA.

Kakitangan kolej mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual, liwat terhadap 2 pelajar lelaki

Kakitangan kolej mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual, liwat terhadap 2 pelajar lelaki


Seorang petugas sebuah kolej swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam atas pertuduhan melakukan amang seksual dan liwat terhadap dua remaja lelaki, bulan lepas.


Fikri Zainal Abidin, 38, membuat pengakuan berkenaan selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.


Mengikut pertuduhan, Fikri didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki berusia 14 tahun pada 20, 23 dan 29 Jun di hostel kolej terbabit dan sebuah rumah di Seksyen 18, Shah Alam.


Pertuduhan dikemukakan di bawah 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.


Dia turut didakwa atas kesalahan liwat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwaraya Roshaira Rosly dan K S Rinisha Priyya yang mengendalikan kes tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh, manakala Fikri yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan dengan alasan dia perlu menjaga ibu bapa.


Awang Kerisnada kemudian menetapkan tiada sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh dan menetapkan 11 Ogos ini sebagai sebutan semula kes.


Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki ditahan selepas selesai makan di sebuah restoran mamak di Shah Alam pada pukul 12.01 tengah malam, 4 Julai lalu kerana disyaki meliwat dua pelajar kolej.


Kes itu terbongkar selepas tular di media sosial mengenai dakwaan seorang tenaga pengajar melakukan perbuatan keji tersebut sehingga menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami trauma.

Kurang lapan jam selepas laporan polis diterima suspek rogol remaja 16 tahun ditahan

Kurang lapan jam selepas laporan polis diterima suspek rogol remaja 16 tahun ditahan


Tindakan pantas polis berjaya menahan seorang lelaki kurang lapan jam selepas menerima laporan berhubung kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun di Papar.


Suspek warga tempatan berusia 24 tahun itu ditahan di kawasan Kinarut kira-kira jam 11.30 malam tadi, hanya beberapa jam selepas mangsa tampil membuat laporan polis pada jam 4.20 petang.


Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa mendakwa menjadi mangsa perbuatan itu dalam beberapa kejadian yang dipercayai berlaku antara Mac hingga Julai lalu.


Katanya, sebaik laporan diterima, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar terus menggerakkan siasatan sebelum berjaya mengesan dan menahan suspek pada malam yang sama.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.


"Mangsa dirujuk ke hospital untuk menjalani pemeriksaan perubatan, manakala suspek akan dipohon reman bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Beliau berkata, polis turut merakam percakapan saksi serta menjalankan pemeriksaan di lokasi berkaitan bagi melengkapkan siasatan.


Menurutnya, polis memandang serius sebarang kesalahan seksual, khususnya yang membabitkan kanak-kanak dan remaja bawah umur.


"Ibu bapa serta penjaga disaran sentiasa memantau pergaulan anak-anak, termasuk aktiviti mereka di media sosial, selain segera membuat laporan polis sekiranya mengesyaki berlaku sebarang bentuk jenayah atau eksploitasi seksual.


"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan identiti mangsa kerana perbuatan itu boleh menjejaskan siasatan serta melanggar hak privasi mangsa," katanya.


Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Desmond Tanggapan atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Empat penunggang RX-Z maut nahas 12 motosikal dan kereta di LPT menghala ke Kemaman

Empat penunggang RX-Z maut nahas 12 motosikal dan kereta di LPT menghala ke Kemaman


Empat penunggang motosikal Yamaha RX-Z maut dalam kemalangan membabitkan 12 motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kemaman pada awal pagi tadi.


Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, dalam nahas kira-kira jam 1.20 pagi itu, mangsa, Che Mohd Sufian Che Ghani, 40; Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan, 33, dan Mohd Aizat Husni, 33 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


Menurutnya, seorang lagi penunggang, Muhammad Safawi Md Noh, 24, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.


"Penumpang belakang kereta jenis Toyota Vios, Nur Irish Adelia Aziz, 13, dilaporkan cedera di bahagian tengkuk dan dihantar menerima rawatan di hospital sama manakala pemandu, Muhammad Irfan Aziz, 25 tidak mengalami sebarang kecederaan.


"Butiran penunggang lapan lagi penunggang masih belum diperolehi," katanya.


Ashari berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kereta terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke arah Kemaman.


Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, semasa bergerak lurus di lorong kanan, secara tiba-tiba sebuah motosikal terlanggar bahagian belakang kereta tersebut.


"Penunggang motosikal dipercayai terjatuh di lorong kanan menyebabkan penunggang tiga lagi motosikal tidak sempat mengelak lalu terlanggar sesama sendiri.


"Akibat kemalangan tersebut, tiga penunggang maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTAA.


"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.





Jumaat, 10 Julai 2026

Isteri bunuh suami bersama kekasih gelap, suntik cecair pencuci tandas campur ubat tidur

Isteri bunuh suami bersama kekasih gelap, suntik cecair pencuci tandas campur ubat tidur

(Foto dijana AI)

Seorang isteri berusia 32 tahun ditahan selepas didakwa membunuh suaminya dengan cara menyuntik cecair pencuci tandas yang dicampur ubat tidur ke dalam saluran darah melalui kanula.


Menurut laporan NDTV, kejadian berlaku di Telangana, India pada 30 Jun lalu ketika suaminya, Dayini Prashanth, 35, masih menerima rawatan selepas terselamat daripada cubaan bunuh sebelum ini.


Suspek dikenali sebagai Sandhya bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital swasta dan didakwa menyuntik campuran cecair pencuci tandas dan ubat tidur yang dihancurkan melalui tiub intravena (IV) disambungkan kepada suaminya.


Menurut polis, tindakan itu dipercayai dilakukan kerana Sandhya mahu meneruskan hubungan sulit dengan seorang lelaki berusia 35 tahun dikenali sebagai Anil.


"Siasatan dijalankan selepas ibu mangsa membuat laporan polis kerana menyuarakan rasa curiga terhadap punca kematian anaknya.


"Prashanth sebelum ini bekerja di negara Teluk selama dua tahun sebelum pulang ke India pada 27 Jun lalu," katanya.


Polis turut memaklumkan, Sandhya menganggap suaminya sebagai penghalang kepada hubungannya dengan Anil.


Dia kemudiannya didakwa merancang pembunuhan itu bersama Anil dan seorang lagi rakannya.


Hasil siasatan mendapati Sandhya sebelum itu terbabit dalam cubaan membunuh suaminya dengan menolaknya daripada atas bumbung bangunan, namun gagal.


Kata polis, rakan Anil datang ke rumah Prashanth pada 29 Jun lalu dan memberinya minuman keras dalam jumlah yang banyak sebelum membawa mangsa ke atas bumbung bangunan.


Mangsa kemudian ditolak daripada bumbung mengikut rancangan mereka, namun dia terselamat meskipun mengalami kecederaan parah.


Sandhya kemudian memberitahu suaminya bahawa kejadian itu berlaku kerana dia terjatuh ketika mabuk dan membawa mangsa ke hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan.


Mangsa kemudian dipindahkan ke hospital swasta sebelum dibawa pulang ke rumah.


Sebagai sebahagian daripada perancangan, Sandhya didakwa menyuntik campuran beracun iaitu cecair pencuci tandas dan ubat tidur yang dihancurkan ke dalam tubuh suaminya sebelum menolaknya daripada katil hingga menyebabkan kematiannya.

Sindiket warga asing: SPRM beku 14 akaun bank, sita aset RM2.5 juta

Sindiket warga asing: SPRM beku 14 akaun bank, sita aset RM2.5 juta


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 14 akaun bank terdiri lima akaun syarikat dan sembilan akaun perbankan milik beberapa individu dianggarkan berjumlah kira-kira RM1.1 juta.


Ia susulan siasatan ke atas 33 individu terdiri daripada pegawai penguat kuasa, penjawat awam, orang awam dan warga asing kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, termasuk melindungi warga asing, salah guna pas lawatan sosial dan kemuka dokumen mengandungi butir matan palsu.


Menurut sumber, operasi bersepadu yang dijalankan Rabu lalu melalui Bahagian Perisikan dan SPRM Negeri (Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka) itu turut menyita pelbagai aset berjumlah kira-kira RM1.4 juta.


"Sitaan yang dilakukan hari ini termasuk wang tunai berjumlah RM393,150; mata wang Indonesia 18 juta Rupiah (RM4,050); 10 unit kereta mewah dan tiga unit motosikal dianggarkan bernilai kira RM1.8 juta; 14 keping emas (berat 1 gram setiap satu) dianggarkan bernilai kira-kira RM8,300; dan 80 unit pelbagai jenis barangan kemas seperti gelang tangan serta cincin bernilai kira-kira RM118,500.


"Turut disita tiga unit jam tangan bernilai kira-kira RM42,200; satu unit beg tangan mewah bernilai kira-kira RM9,000; dan 17 unit telefon bimbit bernilai kira-kira RM48,000," katanya hari ini.


Menurutnya, sehingga hari ini sebanyak sembilan kertas siasatan sudah dibuka. SPRM turut menahan seorang lagi penguat kuasa di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya semalam untuk membantu siasatan.


"Bagaimanapun beliau dilepaskan dengan jaminan SPRM," katanya.


Rabu lalu melalui Op Layer (SPRM Putrajaya), Op Dalang (SPRM Selangor), Op Raider (Negeri Sembilan) dan Op Genuine (Melaka), SPRM menahan seramai 38 individu untuk membantu siasatan, dan 33 daripadanya direman.


Antara wang tunai yang dirampas dalam serbuan SPRM di empat negeri Rabu lalu. - Foto SPRM.
Ejen pelancongan dipenjara lima tahun, dua sebatan lakukan amang seksual fizikal terhadap penuntut IPTA

Ejen pelancongan dipenjara lima tahun, dua sebatan lakukan amang seksual fizikal terhadap penuntut IPTA


Ejen syarikat pelancongan dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Tawau semalam, selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ketika menghantarnya ke destinasi tempahan menggunakan perkhidmatan e-hailing, tiga tahun lalu.


Hakim Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah Mohd Shahremy Abdul Raset, 31, sebelum mensabitkannya atas pertuduhan yang dihadapi.


Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan berunsur seksual terhadap mangsa yang berusia 17 tahun (ketika kejadian) di dalam sebuah Perodua Myvi ketika dalam perjalanan ke sebuah resort antara jam 7.15 hingga 7.22 malam, 9 Disember 2023.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta kes, mangsa menghubungi tertuduh bagi mendapatkan perkhidmatan e-hailing sebelum tertuduh mengambil kesempatan melakukan perbuatan berunsur seksual terhadapnya.


Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan menjadi pencari nafkah tunggal keluarga serta menanggung isteri yang tidak bekerja dan dua anak masing-masing berusia dua serta empat tahun.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal memandangkan mangsa baru berusia 17 tahun ketika kejadian berlaku dan berada dalam kategori individu yang mudah terdedah kepada jenayah serta sukar mempertahankan diri.


Pihak pendakwaan turut berhujah bahawa tindakan tertuduh mencium bibir mangsa merupakan satu perlakuan berunsur seksual yang serius terhadap remaja berkenaan.


Jenayah seksual terhadap kanak-kanak adalah kesalahan serius yang memerlukan hukuman tegas sebagai pengajaran, selain melindungi kanak-kanak dan mencegah kejadian sama daripada berulang.


"Dalam kes ini, tertuduh sebagai orang dewasa mengambil kesempatan terhadap mangsa dengan melakukan perbuatan berunsur seksual," katanya.


Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa mulai 3 Julai lalu, selain mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.


Tertuduh turut diperintahkan berada di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat menjalani hukuman penjara mengikut Seksyen 27 akta yang sama.

Pelakon drama kepolisan, Tisha Shamsir tidak mengaku salah pertuduhan guna dadah

Pelakon drama kepolisan, Tisha Shamsir tidak mengaku salah pertuduhan guna dadah


Pelakon wanita yang membintangi drama kepolisan terkenal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini atas pertuduhan memberikan tiga jenis dadah kepada diri sendiri, Selasa lalu.


Tertuduh, Shanorbiah Shamsir Alam, 40, atau lebih dikenali sebagai Tisha Shamsir membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.


Berdasarkan pertuduhan, Shanorbiah didakwa melalui ujian air kencing mendapati memberikan kepada diri sendiri dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin ke dalam badan sendiri di tandas pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, pada 7.30 pagi, Selasa lalu.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama dalam akta sama.


Ia memperuntukkan hukuman denda tidak lebih daripada RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada dua tahun dan pengawasan selama dua tahun dan tidak lebih tiga tahun jika sabit kesalahan.


Tertuduh kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan dan diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman (YBGK), Nik Azhar Nik Adib.


Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Nurainna Maryam Norazman yang menawarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.


Peguam tertuduh meminta pengurangan ikat jamin dengan alasan wanita terbabit bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu, sudah berpisah dengan suami selain perlu menanggung ibu bapa warga emas.


Katanya, selain itu, sebelum ini tertuduh sudah diberikan jaminan polis dan dia hadir sendiri di mahkamah hari ini serta tiada risiko melarikan diri.


Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 8 Oktober depan.


Terdahulu, pelakon terbabit yang memakai pakaian serba hitam dan memakai pelitup muka tiba di perkarangan kompleks mahkamah pada jam 8.49 pagi dengan diiringi tiga pengawal peribadi.


Sebelum ini media melaporkan, pelakon wanita berkenaan didapati positif tiga jenis dadah dibebaskan dengan jaminan polis.


Pelakon wanita itu yang juga pernah menyertai rancangan realiti nyanyian ditahan dalam salah satu bilik VIP bersama beberapa individu lain.


Saringan awal pelakon berusia 40 tahun terbabit mendapati dia positif amphetamine, methamphetamine dan ketamin.


Pemeriksaan terhadap premis berkenaan mendapati pengusahanya gagal mengemukakan lesen perniagaan yang sah.


Seramai 14 individu ditahan dalam serbuan itu terdiri daripada penjaga premis, tujuh lelaki dan enam wanita.

Kediaman mewah di ibu negara jadi transit pendatang asing, 8 warga Bangladesh ditahan

Kediaman mewah di ibu negara jadi transit pendatang asing, 8 warga Bangladesh ditahan


Taktik sindiket penyeludupan migran menjadikan kediaman mewah di ibu negara sebagai rumah transit sementara terbongkar selepas serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi khas pada Selasa.


Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang bermula kira-kira jam 12.30 tengah malam itu dilaksanakan hasil maklumat awam dan risikan selama sebulan oleh sepasukan pegawai daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.


"Serbuan ke atas dua premis kediaman mewah itu membawa kepada penahanan dua lelaki warga Bangladesh yang dipercayai berperanan sebagai penjaga premis selain enam lagi lelaki dan dua wanita warga negara sama berusia antara 23 hingga 43 tahun.


"Semakan awal mendapati seorang lelaki yang ditahan memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara bagi sektor pembinaan, manakala dua wanita pula didapati telah disenarai hitam oleh JIM dipercayai memasuki semula negara ini melalui pintu masuk yang tidak diwartakan," katanya dalam kenyataan semalam.


Zakaria berkata, individu lain ditahan pula gagal mengemukakan sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.


"Pasukan operasi turut merampas tiga pasport Bangladesh milik individu lain selain wang tunai berjumlah RM1,595 yang dipercayai hasil daripada kegiatan berkenaan," katanya.


Belial berkata, siasatan mendapati sindiket menggunakan kediaman mewah sebagai rumah transit sementara bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum warga asing yang dipercayai memasuki negara ini secara haram dihantar ke lokasi yang ingin dituju.


"Premis berkenaan dikawal oleh penjaga warga asing yang bertanggungjawab menguruskan penempatan sementara sehingga urusan pembayaran diselesaikan.


"Sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM700 hingga RM1,500 bagi setiap individu yang menggunakan perkhidmatan tersebut," katanya.


Zakaria berkata, kedua-dua penjaga premis warga Bangladesh itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 manakala warga asing lain disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama.

Khamis, 9 Julai 2026

SPRM tahan 33 individu termasuk 10 penguat kuasa disyaki seleweng dokumentasi, pas lawatan sosial

SPRM tahan 33 individu termasuk 10 penguat kuasa disyaki seleweng dokumentasi, pas lawatan sosial


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 33 individu termasuk pegawai penguat kuasa dan penjawat awam kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen.


Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan itu antara tahun 2021 hingga 2026.


Ia membabitkan kesalahan melindungi warga asing tanpa dokumen perjalanan sah, penyalahgunaan pas lawatan sosial untuk bekerja, serta mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu bagi permohonan kuota pekerja asing.


Menurut sumber, penahanan itu hasil operasi bersepadu bermula semalam hasil risikan sejak Jun tahun lalu oleh Bahagian Perisikan dan SPRM empat negeri.


Katanya, operasi berkenaan dijalankan di Putrajaya (Op Layer), Selangor (Op Dalang), Negeri Sembilan (Op Raider) dan Melaka (Op Genuine).


Kata sumber, melalui operasi itu, SPRM menahan seramai 38 individu termasuk orang awam dan warga asing, bagaimanapun lima lagi dibebaskan dengan jaminan.


"Semua suspek terdiri daripada 25 lelaki dan sembilan wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an.


"Mereka ditahan antara jam 10 pagi hingga 8 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di empat pejabat SPRM di negeri terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurut sumber, seramai 10 pegawai penguat kuasa yang ditahan dipercayai menerima rasuah sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pekerja syarikat yang melanggar Akta Imigresen, selain mengeluarkan visa, pas, dan permit tanpa melalui prosedur yang ditetapkan.


Susulan penahanan itu, 33 suspek dibawa ke mahkamah majistret hari ini, bagi permohonan perintah reman.


Di Mahkamah Majistret Putrajaya, Majistret Ezrene Zakariah membenarkan perintah reman selama lima hari sehingga 13 Julai ini terhadap enam suspek.


Sementara, di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor, Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin membenarkan 14 suspek direman selama empat hari sehingga 12 Julai.


Di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan pula, Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah membenarkan reman ke atas sembilan suspek.


Lima daripadanya direman empat hari sehingga 12 Julai, dua suspek selama lima hari sehingga 13 Julai, manakala dua lagi direman selama sehari.


Selain itu, di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin membenarkan empat suspek direman selama tujuh hari sehingga 15 Julai ini.


Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A), 17(a), 17(b) dan 18 Akta SPRM 2009.


Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat untuk tujuan itu.