Rabu, 22 Oktober 2025

Pemilik lori sanggup bakar kenderaannya elak disita JPJ

Pemilik lori sanggup bakar kenderaannya elak disita JPJ


Gara-gara tidak mahu lorinya disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), seorang individu sanggup membakar kenderaan miliknya ketika ditahan di Kampung Padang Air, Kuala Nerus hari ini.


Kejadian pada pukul 1.30 tengah hari itu berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan Padang Air.


Pengarah JPJ Terengganu, Mohd. Zamri Samion berkata, lori itu dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan anggota JPJ yang sedang melakukan rondaan.


"Pemeriksaan mendapati kenderaan itu dipandu remaja bawah umur yang tidak memiliki lesen memandu selain lesen kenderaan sudah tamat tempoh selama lebih dua tahun.


"Lori itu juga didapati gagal menjalani pemeriksaan Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) sejak 2023," katanya.


Jelas beliau, pemilik lori enggan memberi kerjasama ketika anggota JPJ mahu menyita kenderaan tersebut dan membakar kenderaan tersebut bagi menghalang sitaan.


"Tindakan itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah membahayakan nyawa anggota bertugas. Semakan mendapati suspek memiliki enam saman yang masih aktif termasuk mengubah suai kenderaan," katanya.


Tambahnya, susulan kejadian itu, pihaknya membuat laporan kepada polis dan Jabatan Tenaga Kerja untuk tindakan lanjut.


Sebuah lori yang dibakar pemiliknya bagi mengelak disita JPJ di Kampung Padang Air, Kuala Nerus hari ini.

Selasa, 21 Oktober 2025

Enam remaja dijatuhkan hukuman penjara kerana ugut, dera, rogol guru

Enam remaja dijatuhkan hukuman penjara kerana ugut, dera, rogol guru


Sebuah mahkamah Austria pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara ke atas enam remaja berusia antara 14 dan 17 tahun dalam kes melibatkan seorang guru yang didera, diperas ugut dan dirompak, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).


Hakim di Mahkamah Wilayah Vienna menjatuhkan hukuman penjara tiga setengah tahun dan tiga tahun masing-masing ke atas dua daripada tertuduh. Tertuduh yang lain menerima hukuman penjara antara empat hingga 18 bulan, sebahagian daripadanya ditangguhkan. Keputusan bagaimanapun belum muktamad.


Seorang tertuduh dibebaskan. Dia sebelum ini menjalin hubungan suka sama suka pada tahun sebelumnya dengan guru itu, yang ketika itu hampir berusia 30 tahun.


Wanita itu kemudiannya berkenalan dengan rakan-rakan remaja berusia 16 tahun itu, yang menurut guru berkenaan mendakwa diri mereka sebagai anggota kumpulan jenayah.


Mahkamah mendapati dia kemudiannya dirogol, dicabul secara seksual dan didera oleh ahli kumpulan itu ketika berada di bawah pengaruh dadah.


Kumpulan itu juga memeras wang daripada wanita itu untuk mendapatkan dadah, tembakau, makanan, minuman dan tambang teksi, mengugutnya dengan rakaman yang menunjukkan dia terbabit dalam aktiviti seksual dan mengambil dadah, kata hakim.


Beberapa tertuduh juga didapati bersalah atas kesalahan membakar, memecah masuk dan mencuri. Semasa guru itu bercuti pada Januari lalu, kesemua remaja terbabit membakar pangsapuri mangsa dan mencuri barang berharga.


Mahkamah sebahagian besarnya menerima kenyataan guru itu yang digambarkan oleh hakim sebagai benar-benar boleh dipercayai.


Ini adalah "jenayah yang amat serius," kata pendakwa raya, walaupun guru itu mengaku melakukan kesilapan yang "tidak selalu selari dengan norma sosial," remaja-remaja itu yang didakwa, katanya.


Kesemua tertuduh mengaku melakukan kesalahan membakar dan kesalahan harta benda, tetapi menafikan tuduhan penderaan dan peras ugut dan mendakwa perbuatan seksual adalah atas dasar suka sama suka.


Hanya remaja yang dibebaskan menunjukkan rasa menyesal. "Saya minta maaf atas apa yang berlaku," katanya.

Kami tak sangka suspek libas pisau adik sendiri - kakak ipar mangsa

Kami tak sangka suspek libas pisau adik sendiri - kakak ipar mangsa


"Saya sendiri terkejut. Kami sekeluarga tak sangka langsung adik akan dikaitkan dengan kejadian macam ini."


Demikian luahan wanita ingin dikenali sebagai Yati, 35, kakak kepada suspek lelaki yang didakwa melibas seorang remaja perempuan menggunakan objek tajam di Solok Tangga Batu, Tanjung Kling, Melaka semalam.


Katanya, mangsa dalam kejadian itu sebenarnya merupakan adik iparnya sendiri yang telah menetap berhampiran rumah keluarga mereka sejak tiga bulan lalu selepas diambil bekerja di sebuah kilang sarung tangan di kawasan berkenaan.


"Mangsa memang tinggal berhampiran dengan rumah mak kami di Tangga Batu, tapi saya duduk di Sungai Udang. Sebab itu bila dapat tahu, saya betul-betul tergamam.


"Adik saya sebelum ini tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik, tak pernah cerita tentang tekanan atau masalah dengan sesiapa. Dia jenis biasa-biasa saja," katanya ketika dihubungi hari ini.


Menurut Yati, keluarganya kini menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan memohon orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan emosi kedua-dua pihak.


"Kami pun tak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Mangsa pun keluarga kami," ujarnya dengan nada sebak.


Terdahulu, media malam tadi melaporkan seorang remaja perempuan cedera selepas dipercayai dilibas dengan objek tajam oleh individu tidak dikenali ketika menunggang motosikal di Jalan Tangga Batu, Tanjung Kling kira-kira pukul 4.45 petang.


Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, akibat kejadian itu mangsa berusia 19 tahun yang bekerja sebagai operator kilang mengalami luka sepanjang kira-kira tujuh sentimeter di bahagian pinggang belakang.


Suspek berusia 25 tahun diberkas dirumahnya di Tangga Batu, Melaka, malam tadi. - Foto oleh Amran Ali / Kosmo Online.

Isnin, 20 Oktober 2025

Wanita batalkan perkahwinan dan minta RM19,000 untuk 'bayaran peluk'

Wanita batalkan perkahwinan dan minta RM19,000 untuk 'bayaran peluk'


Seorang wanita di wilayah Henan, China, mencetuskan kemarahan orang ramai selepas menuntut 'bayaran peluk' sebanyak 30,000 yuan (kira-kira RM19,800) daripada bekas tunangnya.


Menurut South China Morning Post, wanita itu sebelum ini menerima wang hantaran sebanyak 200,000 yuan (kira-kira RM132,000) daripada keluarga lelaki berkenaan ketika bertunang awal tahun ini.


Bagaimanapun, dia kemudian menyesali pertunangan itu dan bersetuju untuk memulangkan wang sebanyak 200,000 yuan (kira-kira RM132,000) selepas memutuskan untuk membatalkan perkahwinan.


Namun, dia mengejutkan bakal suaminya apabila meminta 30,000 yuan (kira-kira RM19,800) ditolak daripada jumlah yang perlu dipulangkan dengan alasan ia pampasan atas 'kos berpelukan' semasa sesi penggambaran praperkahwinan.


Insiden yang dilaporkan Henan TV itu tular di media sosial China dan meraih lebih 23 juta tontonan.


Menurut laporan, pasangan berkenaan berkenalan tahun lalu melalui orang tengah dan bertunang pada Januari sebelum merancang untuk berkahwin November ini.


Keluarga lelaki juga sudah menempah hotel dan memaklumkan kepada saudara-mara mengenai majlis perkahwinan berkenaan.


Namun, wanita terbabit kemudian membatalkan pertunangan kerana mendakwa lelaki itu terlalu jujur dan berpendapatan rendah.


Sementara itu, orang tengah mereka, dikenali sebagai Wan, berkata, wanita terbabit bersetuju memulangkan wang hantaran tetapi mahu mengekalkan 30,000 yuan (kira-kira RM19,800) sebagai 'bayaran peluk'.


Wan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bermoral dan mendakwa keluarga wanita itu paling cerewet pernah ditemuinya sepanjang 10 tahun menjadi orang tengah.


Selepas rundingan, kedua-dua keluarga bersetuju wanita berkenaan memulangkan 170,500 yuan (kira-kira RM112,500) kepada pihak lelaki.


Kes seumpama itu bukan pertama kali berlaku di China kerana wanita yang menarik diri selepas pertunangan tetapi enggan memulangkan wang hantaran sering menjadi tajuk utama di negara itu.


Tahun lalu, seorang lelaki di Hunan turut membawa bekas tunangnya ke mahkamah selepas keluarga wanita itu enggan memulangkan wang hantaran sebanyak 230,000 yuan (kira-kira RM151,800).

Sanggup redah 500 kilometer jumpa teman wanita, akhirnya ditangkap khalwat

Sanggup redah 500 kilometer jumpa teman wanita, akhirnya ditangkap khalwat


Seorang lelaki sanggup meredah perjalanan lebih 500 kilometer (km) dari Terengganu untuk bertemu dengan teman wanitanya di Johor Bahru.


Namun, dia ditangkap khalwat bersama pasangannya di hotel di Pasir Gudang, malam tadi, dan memberikan alasan penat kerana jalan raya sesak untuk pulang semula ke negeri itu.


Menurut Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), pasangan itu antara sembilan pasangan yang ditangkap dalam operasi JANIJ, di beberapa hotel di Pasir Gudang dan Masai, malam tadi.


"Lelaki yang datang dari Terengganu sempena cuti panjang, berumur 23 tahun berstatus bujang dan pasangannya berumur 22 tahun yang belajar di Johor Bahru.


"Lelaki memberi alasan penat kerana perjalanan jauh dan jem dari Terengganu. Wanita pula datang untuk teman berbual kerana dia suka sembang.


"Turut ditangkap khalwat adalah lelaki berumur 25 tahun, masih bujang dari Ayer Baloi, Pontian dan teman wanitanya berumur 20 tahun yang belajar di Mersing.


"Pasangan ini bertemu sejak pagi termasuk bersiar-siar dan pergi makan seterusnya ke bilik hotel pula.


"Apabila ditanya, pasangan ini menyatakan sudah lewat untuk pulang ke asrama hingga terpaksa tidur di hotel," katanya.


JAINJ memaklumkan operasi bermulan 10 malam hingga 4 pagi tadi, turut disertai 15 pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).


"Pasangan ketiga ialah lelaki umur 24 tahun dari Masai dan perempuan berumur 16 tahun dan kemungkinan masih belajar di Sarawak.


"Pasangan ini mengaku sudah bertunang dan penguatkuasa JAINJ sedang mengumpul maklumat sama ada perempuan itu masih belajar atau sudah berhenti.


"Pasangan keempat adalah lelaki dari Kelantan berumur 22 tahun yang datang bertemu kekasihnya, berasal dari Kelantan yang sudah bekerja di Pasir Gudang.


"Dalam operasi bersepadu ini juga, empat warga Indonesia dan seorang lelaki warga Pakistan beragama Islam dan mencari rezeki di dini turut ditangkap berkhalwat," katanya.


Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Agama Islam Daerah Johor Bahru untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat.


Pegawai penguatkuasa JAINJ memeriksa salah satu bilik hotel dalam operasi yang dijalankan di beberapa hotel di sekitar Pasir Gudang dan Masai, malam tadi. - Foto JAINJ.

Ahad, 19 Oktober 2025

Pesawat terpaksa mendarat cemas bateri litium terbakar dalam kabin

Pesawat terpaksa mendarat cemas bateri litium terbakar dalam kabin


Sebuah pesawat Air China yang dalam penerbangan dari Hangzhou ke Incheon terpaksa melakukan pendaratan cemas di Shanghai semalam selepas bateri litium milik seorang penumpang terbakar di dalam kabin.


Menurut laporan South China Morning Post, Air China mengesahkan dalam kenyataan di platform Weibo bahawa insiden itu berlaku pada 18 Oktober, melibatkan penerbangan CA139 dari Hangzhou ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan.


"Bateri litium dalam beg tangan penumpang yang disimpan di ruang simpanan atas kepala tiba-tiba terbakar.


"Kru bertindak pantas mengikut prosedur keselamatan dan tiada penumpang cedera," katanya.


Susulan kejadian itu, pesawat berkenaan terpaksa melakukan pendaratan tidak berjadual di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, Shanghai bagi memastikan keselamatan semua penumpang.


Pesawat tersebut berlepas dari Hangzhou pada jam 9.47 pagi dan dijadual tiba di Incheon pada 12.20 tengah hari, namun berpatah balik selepas kejadian berlaku.


Rakaman video yang tular menunjukkan beberapa penumpang dan kru kabin cuba memadamkan api yang marak di ruang simpanan atas kepala, manakala kedengaran penumpang lain menjerit meminta bantuan segera.


Menurut portal Shanghai Observer, seorang penumpang mendakwa terdengar letupan kuat sebelum api menyala di ruang berkenaan.


Tangkap layar video tular memaparkan keadaan ketika bateri litium penumpang terbakar dalam kabin.
Tambak Johor sesak, ribuan kenderaan Singapura masuk bercuti di Malaysia

Tambak Johor sesak, ribuan kenderaan Singapura masuk bercuti di Malaysia


Kesesakan berlaku di Tambak Johor sejak awal pagi apabila ribuan kenderaan dari Singapura memasuki Malaysia sempena cuti umum Deepavali.


Aliran trafik menuju ke pusat bandar Johor Bahru bergerak perlahan sejak awal pagi, dengan barisan kenderaan sepanjang tambak hingga pusat pemeriksaan Woodland.


Tinjauan di lokasi mendapati keadaan trafik mulai padat dari pagi hingga petang apabila ramai warga Singapura mengambil kesempatan bercuti sempena perayaan Deepavali.


Laluan keluar dan masuk ke Kompleks Sultan Iskandar (CSI) turut sesak dengan kenderaan, termasuk milik pelancong.


Jumlah kemasukan pelawat dari negara jiran meningkat hampir dua kali ganda berbanding hari biasa, dan pihak berkuasa menambah kaunter pemeriksaan bagi melancarkan urusan keluar masuk di sempadan.


Selain CSI, beberapa laluan utama di sekitar Johor Bahru termasuk Jalan Tun Abdul Razak dan Jalan Tebrau turut mengalami kesesakan ekoran peningkatan mendadak bilangan kenderaan.


Cuti Deepavali tahun ini bukan sahaja memberi limpahan pengunjung dari Singapura, malah dijangka merancakkan sektor pelancongan dan perniagaan di Johor apabila hotel, pusat beli-belah dan restoran dipenuhi pengunjung selepas beberapa bulan trafik melalui tempoh yang tenang.


Tambak Johor sesak dengan kenderaan warga Singapura menuju pusat pemeriksaan Bangunan Sultan Iskandar sempena cuti perayaan Deepavali di Johor Bahru. - Foto Kosmo Online.

Sabtu, 18 Oktober 2025

Kanak-kanak buta sebelah mata gara-gara guna petua lama sapu lemak babi pada luka

Kanak-kanak buta sebelah mata gara-gara guna petua lama sapu lemak babi pada luka


Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di Ruichang, wilayah Jiangxi, China, hilang penglihatan pada sebelah mata selepas gurunya dipercayai menggunakan petua lama dengan menyapu lemak babi pada luka di mata.


Menurut laporan China News, insiden berlaku ketika mangsa tertusuk mata secara tidak sengaja oleh rakan sekelas semasa bermain di tadika.


Bagaimanapun, guru terbabit tidak membawa mangsa ke hospital sebaliknya menggunakan sesudu lemak babi untuk menghentikan pendarahan.


Tindakan itu menyebabkan jangkitan serius hingga kanak-kanak berkenaan buta kekal pada satu mata.


Ibu bapa kanak-kanak itu segera membawanya ke hospital apabila keadaan anaknya semakin parah, tetapi doktor mengesahkan kerosakan mata sudah tidak boleh dipulihkan.


Ibu mangsa dikenali sebagai Wei berkata, keputusan guru menggunakan 'petua lama' itu telah menghancurkan masa depan anaknya.


"Dia bukan sekadar kehilangan penglihatan, malah kini memerlukan rawatan pemulihan, kaunseling dan pendidikan khas,' katanya.


Tadika berkenaan dilapor menawarkan pampasan sebanyak 272,000 yuan (kira-kira RM161,000) bagi menampung kos rawatan, namun keluarga mangsa menegaskan jumlah itu tidak mencukupi memandangkan anak mereka memerlukan beberapa pembedahan dan rawatan susulan.


Biro Pendidikan Ruichang memaklumkan telah beberapa kali menjadi orang tengah antara kedua-dua pihak, namun keluarga mangsa tetap mahu mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut keadilan.


Seorang kanak-kanak buta sebelah mata selepas gurunya menyapu lemak babi pada luka. - Foto Sing Tao Daily.
Suami orang dicekup berkhalwat dengan janda di hotel, 'ubat kuat' turut ditemui

Suami orang dicekup berkhalwat dengan janda di hotel, 'ubat kuat' turut ditemui


Hasrat seorang lelaki berstatus suami orang untuk berdua-duaan dengan seorang janda di sebuah hotel di Batu Pahat semalam terbantut apabila mereka diserbu dan dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat.


Dalam operasi jam 12.00 tengah malam itu, lelaki berusia 40-an dan wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan selepas mendaftar masuk lebih sejam di hotel berkenaan.


Menurut JAINJ, siasatan awal mendapati bilik berkenaan ditempah secara dalam talian pada kadar sewa melebihi RM200 semalam.


"Pintu bilik hanya dibuka lapan minit selepas diketuk oleh pasukan penguat kuasa dan pasangan terbabit didapati berpakaian lengkap ketika ditahan.


"Hasil pemeriksaan lanjut menemui satu kotak dipercayai ubat kuat lelaki yang dibuang ke dalam bakul sampah," katanya dalam kenyataan.


Katanya lagi, penguatkuasa JAINJ kemudian merekodkan keterangan untuk membantu siasatan.


"Pasangan ini akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dengan denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.


Penguatkuasa JAINJ menyerbu menahan suami orang serta janda di sebuah hotel di Batu Pahat pada Jumaat. - Foto JAINJ.

Jumaat, 17 Oktober 2025

3 lelaki tak mengaku rompak berkumpulan di sebuah kondominium

3 lelaki tak mengaku rompak berkumpulan di sebuah kondominium


Dua penganggur dan seorang penarik kereta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di George Town hari ini atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan di sebuah kondominium di Persiaran Gurney, 7 Oktober lalu.


Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh, K. Nagarajan, 52, S. Arunkumar, 24 dan R.Raman, 30, mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan berkenaan selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.


Mengikut pertuduhan, kesemua mereka secara bersama-sama didakwa telah melakukan rompakan berkumpulan terhadap dua lelaki berusia 40 dan 49 tahun dengan merompak 21 barangan di kondominium Persiaran Gurney di George Town, kira-kira pukul 5 petang, 7 Oktober lalu.


Pendakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dengan penjara yang boleh sampai 20 tahun dan sebatan.


Ketika prosiding, jurubahasa turut membacakan senarai 21 barangan yang dirompak daripada mangsa antaranya sebuah kereta Jaguar warna biru, sebuah kotak warna merah bertulisan Alis Jewellers & Gems Sdn. Bhd, patung dewa warna keemasan berukuran lebih kurang 18 sentimeter (cm) dan lebih kurang 9.5cm.


Turut disebut ialah lapan bentuk gelang tangan, tiga utas rantai leher, dua pasang subang telinga, satu bentuk subang hidung warna keemasan, satu bentuk subang telinga dan tiga utas rantai leher warna keemasan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong manakala tertuduh pertama dan kedua iaitu Nagarajan dan Arunkumar diwakili peguam, Mohamed Firdaus M. Farouk, tertuduh ketiga iaitu Raman diwakili peguam, K. Mahendran.


Ketika prosiding, Mohamed Firdaus berkata, anak guamnya yang pertama, Nagarajan adalah seorang penganggur dan perlu menanggung dua anak dan isteri manakala yang kedua masih bujang.


Mahendran yang mewakili tertuduh ketiga yang bekerja sebagai penarik kereta juga memohon agar wang jaminan dikurangkan memandangkan gaji anak guamnya hanya RM1,800 dan perlu menanggung lima anak malah isterinya juga sedang sarat mengandung.


Hakim kemudian memutuskan wang jaminan berjumlah RM7,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu tidak menggangu saksi dan menyerahkan pasport kepada mahkamah. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan 27 November depan.


Ketiga-tiga tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen di George Town, hari ini. - Foto Kosmo Online.