Ahad, 7 September 2025

Konspirasi jatuhkan Muhyiddin, tindakan tegas perlu diambil - Tun Faisal

Konspirasi jatuhkan Muhyiddin, tindakan tegas perlu diambil - Tun Faisal


Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil terhadap individu yang mencetuskan provokasi dan kekacauan semasa ucapan dasar Presiden Pengasas parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu malam tadi.


Beliau dalam satu kenyataan pada hari ini berkata, insiden kekecohan yang berlaku hanya melibatkan segelintir ahli parti dan tidak berlandaskan perlembagaan parti.


"Atas sebab itu, tindakan mesti diambil terhadap setiap individu yang membuat provokasi dan mencetuskan kekacauan semasa Presiden Pengasas menyampaikan Ucapan Dasar malam tadi," katanya.


Tun Faisal turut mengulas dakwaan wujudnya gerakan mengumpul tandatangan untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin sebagai Presiden parti, yang disifatkan sebagai bercanggah dengan perlembagaan Bersatu.


Beliau menegaskan bahawa Bersatu ditubuhkan atas prinsip menentang kleptokrasi, rasuah dan salah guna kuasa, dan tidak seharusnya terpesong daripada matlamat asal walaupun berhasrat membentuk kerajaan.


Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ini menyaksikan pelbagai isu dalaman diketengahkan, namun kepimpinan parti menegaskan bahawa fokus utama parti untuk kekal kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).


Semalam, Muhyiddin mendedahkan wujud konspirasi mengutip tandatangan untuk menjatuhkan beliau sebagai Presiden Bersatu.


Beliau sekali gus mengingatkan bahawa tindakan itu adalah bercanggah dengan Perlembagaan parti berkenaan.


Menurut Tun Faisal, insiden kekecohan yang berlaku hanya melibatkan segelintir ahli parti dan tidak berlandaskan perlembagaan parti. - Gambar fail Bernama.
Sindiket guna hotel tiga bintang tawar seks warga asing terbongkar selepas diserbu JIM

Sindiket guna hotel tiga bintang tawar seks warga asing terbongkar selepas diserbu JIM


Sebuah hotel tiga bintang di Jalan Ipoh di Kuala Lumpur dijadikan pusat pelacuran warga asing dengan menawarkan khidmat melalui aplikasi media sosial, terbongkar susulan serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Jumaat.


Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 37 individu termasuk empat lelaki berusia 19 hingga 61 tahun terdiri daripada warga Myanmar, India, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Laos ditahan dalam serbuan pada jam 8.45 malam.


"Modus operandi yang digunakan sindiket yang telah beroperasi sejak setahun lalu adalah dengan menjadikan hotel tiga bintang sebagai pusat pelacuran warga asing.


"Pelanggan boleh memilih wanita berdasarkan gambar pada aplikasi media sosial atau secara 'walk-in'. Kadar bayaran yang dikenakan adalah antara RM250 hingga RM400 bagi setiap jam," katanya dalam kenyataan hari ini.


Zakaria berkata, semakan awal mendapati enam wanita warga Thailand, tiga wanita warga Vietnam, dua wanita warga Indonesia dan seorang wanita warga Laos telah menyalahgunakan pas.


"Selain itu, seorang lelaki warga Indonesia dikesan tinggal lebih masa, manakala dua lelaki warga Myanmar, seorang lelaki warga India, 15 wanita Indonesia, tiga wanita warga Vietnam dan tiga wanita warga Thailand didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di Malaysia," katanya.


Beliau berkata, kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.


"Seramai tujuh lelaki warga tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan," katanya.


Antara warga asing yang ditahan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Sabtu, 6 September 2025

Dua bayi baru lahir digigit tikus di hospital, maut akibat jangkitan

Dua bayi baru lahir digigit tikus di hospital, maut akibat jangkitan


Dua bayi baru lahir digigit tikus di wad pembedahan pediatrik sebuah hospital kerajaan di Indore, India, meninggal dunia akibat jangkitan pada hujung Ogos lalu.


India Today melaporkan, seorang daripada bayi berkenaan yang hanya seberat 1.2 kilogram meninggal dunia kelmarin manakala seorang lagi keesokannya selepas dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.


Menurut doktor, kedua-dua kematian berpunca daripada jangkitan bakteria yang teruk dan komplikasi kongenital (masalah kesihatan sejak lahir) selepas digigit haiwan itu sekitar 30 dan 31 Ogos lalu.


Difahamkan, kewujudan tikus di wad rawatan bayi baru lahir (wad neonatal) menimbulkan kemarahan ramai terhadap tahap kebersihan dan keselamatan hospital berkenaan.


Dekan Kolej Perubatan Mahatma Gandhi Memorial Medical (MGM), Dr Arvind Ghanghoria berkata, sebuah jawatankuasa peringkat tinggi ditubuhkan untuk menyiasat kejadian itu.


Katanya, salah seorang bayi berada dalam keadaan kritikal dengan pelbagai komplikasi, namun gigitan tikus tetap menimbulkan persoalan serius mengenai keselamatan pesakit.


Beliau menjelaskan, bayi pertama yang meninggal dunia itu dibawa dari Khargone dalam keadaan sangat lemah dengan paras hemoglobin rendah dan organ tidak berkembang.


"Mangsa juga bergantung pada oksigen dan ventilator sebelum keadaannya semakin merosot.


"Bayi kedua turut mengalami masalah kongenital termasuk paru-paru dan usus tidak berkembang, namun keadaannya bertambah buruk selepas digigit tikus," katanya.


Susulan itu, dua jururawat digantung tugas, seorang penyelia jururawat dilucutkan jawatan, manakala notis tunjuk sebab dikeluarkan kepada dua ketua jururawat dan Ketua Jabatan Pembedahan Perioperatif.


Selain itu, denda sebanyak 100,000 rupee (kira-kira RM5,600) turut dikenakan ke atas syarikat kawalan perosak yang bertanggungjawab mengurus tikus di hospital berkenaan.


Tangkap layar rakaman gambar tikus yang dipercayai menjadi punca kematian dua bayi di sebuah hospital kerajaan di Indore, India. - Foto Agensi.
Lebih 4 jam berkeras di lintasan sempit, tiada siapa mahu kalah

Lebih 4 jam berkeras di lintasan sempit, tiada siapa mahu kalah


Dua penunggang skuter elektrik di selatan China bersemuka selama sekurang-kurangnya empat jam di sebuah lintasan sempit kerana kedua-duanya tidak mahu mengalah.


Klip video mengenai dua individu yang berdegil itu menjadi tular di tanah besar China, menghiburkan jutaan pengguna internet, menurut South China Morning Post memetik laporan Dafeng News.


Insiden itu berlaku pada 24 Ogos lalu di daerah Huicheng yang sibuk di Huizhou, wilayah Guangdong.


Ia membabitkan seorang penghantar makanan dan seorang pemuda, kedua-duanya di atas skuter elektrik masing-masing, memastikan bahagian hadapan kenderaan mereka kekal terkunci antara satu sama lain, sekali gus menghalang sebarang pergerakan.


Konfrontasi itu berlaku di lintasan zebra di sebatang jalan utama, yang direka untuk membolehkan hanya sebuah skuter atau pun basikal melaluinya pada satu-satu masa.


Walaupun kedua-dua lelaki itu datang dari arah bertentangan, tiada seorang pun yang mahu beralah. Kedua-duanya kelihatan berkeras untuk menggunakan lintasan itu secara serentak.


"Ketika saya keluar dari rumah untuk bekerja pada jam 4 petang, saya nampak mereka di jalan raya. Apabila saya pulang ke rumah sekitar jam 9 malam, mereka masih di sana," kata seorang saksi yang dikenali sebagai Li. "Saya terdengar mereka pada mulanya bertengkar."


Dalam video yang tular, kedua-dua lelaki itu dilihat sekali-sekala melayari telefon bimbit mereka untuk mengisi masa.


"Mereka bersemuka selama berjam-jam. Mereka mesti sangat tiada kerja. Saya tidak pernah menyaksikan apa-apa seperti ini seumur hidup saya," kata seorang lagi penduduk berhampiran.


Masih tidak jelas berapa lama konfrontasi itu berterusan atau individu mana yang akhirnya mendapat hak laluan.


Pihak berkuasa trafik tempatan menyatakan mereka tidak akan mengenakan penalti ke atas mana-mana pihak buat masa ini, kerana tindakan mereka tidak mengakibatkan sebarang kemalangan.


Pegawai menyatakan mereka akan menyemak rakaman pengawasan untuk menilai keadaan jalan dan menentukan sama ada mana-mana penunggang telah melanggar peraturan lalu lintas atau yang mana tiba dahulu.


Berdasarkan penemuan itu, polis kemudiannya akan menegur dan mendidik kedua-dua lelaki itu sewajarnya. Insiden itu mencetuskan gelombang komen lucu dalam talian.


"Ini adalah pertempuran untuk maruah, dari siang hingga ke malam. Untuk menang, anda memerlukan kekuatan, ketabahan, telefon yang dicas penuh, dan pundi kencing yang kuat," gurau seorang pemerhati dalam talian.


Dua penunggang skuter elektrik bersemuka selama sekurang-kurangnya empat jam di lintasan sempit kerana tidak mahu mengalah.
Pemandu lori sanggup tikam diri sendiri selepas joli duit syarikat untuk berjudi

Pemandu lori sanggup tikam diri sendiri selepas joli duit syarikat untuk berjudi


Seorang pemandu lori sanggup menikam dirinya sendiri sebelum mereka-reka cerita disamun bagi mengaburi majikan selepas menggunakan wang syarikat untuk berjudi dalam kejadian di Persiaran Minden, Gelugor, pada Khamis.


Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu, lelaki berusia 32 tahun tersebut mendakwa diserang tiga lelaki tidak dikenali dan melarikan wang kutipan harian syarikat berjumlah RM3,000 ketika dia dalam perjalanan pulang dari kerja.


Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu.


Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tikaman pada bahagian perut sedalam 3.5 sentimeter.


"Pada awalnya mangsa mendakwa disamun, namun keterangan yang diberikan tidak konsisten sebelum dia akhirnya mengaku menipu.


"Siasatan mendapati wang berkenaan telah digunakan untuk tujuan peribadi, termasuk berjudi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Abdul Rozak berkata, lelaki itu kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan.


Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu.


Seorang pemandu lori sanggup menikam dirinya sendiri sebelum mereka-reka cerita disamun bagi mengaburi majikan selepas menggunakan wang syarikat untuk berjudi. - Foto Sinar Harian.

Jumaat, 5 September 2025

Pengantin lelaki kemalangan, akad nikah buat dalam wad hospital

Pengantin lelaki kemalangan, akad nikah buat dalam wad hospital


Seorang lelaki yang sedang menerima rawatan akibat kemalangan melangsungkan pernikahan bersama pasangannya di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai, Kelantan hari ini.


Menerusi Facebook Hospital Sultan Ismail Petra, lelaki tersebut Che Muhammad Rifqi Danial Che Alias, 25, dimasukkan ke Wad 6C Ortopedik, HSIP pada 1 September lalu akibat kemalangan jalan raya.


"Jarang-jarang sekali dapat kita saksikan, sebuah majlis akad nikah berlangsung di dalam hospital. Namun itulah yang berlaku apabila Che Muhammad Rifqi Danial yang dimasukkan ke Wad 6C Ortopedik HSIP akibat kemalangan jalan raya, tetap melangsungkan penyatuan hati bersama pilihan hatinya, Nur Sufia Amalin Che Ramli, 26.


"Memandangkan persiapan majlis telah dirancang sekian lama, kedua-dua pihak keluarga memohon agar akad nikah tetap diteruskan. Pihak HSIP melalui Inisiatif Hospital Mesra Ibadah amat berbesar hati membenarkan serta menyediakan ruang khas agar majlis berjalan dengan lancar.


"Setinggi penghargaan diucapkan kepada pihak Pengurusan HSIP, Jabatan Otopedik HSIP, warga Kejururawatan, Jawatankuasa HMI, Unit Komunikasi Korporat serta Unit Keselamatan yang telah sama-sama membantu menjayakan majlis ini. Semoga pasangan mempelai berbahagia dan diberkati hingga ke jannah," menurut hantaran berkenaan, hari ini.


Menerusi ruangan komen, orang ramai mendoakan kebahagiaan pasangan tersebut selain diberikan kesembuhan kepada pengantin lelaki.


"Tahniah kepada pengantin, semoga bahagia kekal ke jannah dan semoga pengantin lelaki cepat sembuh," komen seorang netizen.


"Tahniah kepada kedua-dua mempelai dan seluruh keluarga. Terima kasih kepada pengurusan HSIP," komen seorang lagi netizen.


Majlis akad nikah Che Muhammad dan Nur Sufia di satu ruang dalam HSIP, hari ini. - Foto milik keluarga pengantin dikongsikan Facebook HSIP.

Khamis, 4 September 2025

Bangkai makhluk hidupan laut misteri ditemukan terdampar di pantai

Bangkai makhluk hidupan laut misteri ditemukan terdampar di pantai


Bangkai sejenis hidupan laut misteri ditemukan terdampar di sebuah pantai popular di Wales sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai spesies tersebut, lapor akhbar Daily Star pada 3 September 2025.


Penemuan itu dibuat oleh seorang penduduk tempatan di Pantai Cefn Sidan dalam daerah Carmarthenshire, pagi semalam.


Orang ramai percaya bahawa ia adalah bangkai ikan paus, namun sebilangan anggota badannya didapati tidak sama seperti mamalia itu.


Makhluk misteri itu digambarkan seperti raksasa kerana bersaiz besar sehingga mampu memuatkan empat buah kereta.


Selain memiliki apa yang kelihatan seperti sayap, ia juga berwarna hijau kekuningan, dipercayai berpunca daripada proses reputan yang terlalu lama.


Pakar marin sedang memeriksa bangkai tersebut untuk mengenal pasti punca kematian dan spesiesnya dengan tepat. - Sumber Daily Star.


Keadaan bangkai yang ditemukan terdampar di Pantai Cefn Sidan. - Foto Clayton Boswell.
Wanita pakai kostum anime 'Korumi Tokisaki' maut terjatuh kondominium

Wanita pakai kostum anime 'Korumi Tokisaki' maut terjatuh kondominium


Seorang wanita dengan kostum anime menyerupai karakter 'Korumi Tokisaki' ditemukan maut dipercayai selepas terjatuh dari tingkap sebuah kondominium di Bayan Lepas, Balik Pulau, malam tadi.


Mayat mangsa yang berambut perang seakan warna merah jambu itu dijumpai orang awam di petak parkir kereta, aras bawah perumahan terbabit, kira-kira pukul 9.20 malam.


Difahamkan, kejadian disedari penduduk selepas terdengar dentuman kuat dari lokasi kejadian, berhadapan sebuah tadika.


"Kami sangka berlaku kejadian gempa bumi tetapi gegaran itu berlaku hanya sekali.


"Bunyi kuat seperti 10 tong gas jatuh dari tempat tinggi. Awalnya, saya dengar ada orang awam jerit. Saya terus ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa sudah terbaring dalam keadaan sudah tidak sempurna," dakwa salah seorang penghuni yang tinggal di lokasi berhampiran.


Dalam pada itu, dakwa penduduk lagi, mangsa juga seringkali dilihat mengenakan cosplay anime yang lengkap sambil membawa anak patung berada di kawasan lobi kondominium.


Malah, mereka turut mendakwa kali terakhir melihat mangsa dengan seorang wanita dipercayai ibunya petang semalam (hari kejadian).


"Ibu mangsa juga dilihat mengenakan kostum anime sama cuma watak yang berbeza. Mereka memang tinggal di sini tapi kami tidak pasti tingkat berapa (lokasi kediaman) mereka," ujarnya.


Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang, kira-kira pukul 12.30 malam tadi.


Anggota polis ketika hadir di lokasi kejadian di sebuah kondominium di Bayan Lepas, malam tadi (Rabu).
Lelaki ditahan sorok beruang matahari dalam bekas bertutup rapat dalam Myvi

Lelaki ditahan sorok beruang matahari dalam bekas bertutup rapat dalam Myvi


Bekas bertutup rapat yang dilubangkan di sekelilingnya dalam sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki di pinggiran hutan berhampiran Bandar Seri Alam, Johor Bahru membongkar penemuan seekor beruang matahari (Malayan Sun Bear) pada Rabu.


Pembongkaran itu dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor kira-kira jam 12.35 tengah hari.


Komander PSP, Senior Asisten Komisioner Rosli Yusof berkata, pemandu Perodua Myvi iaitu seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun telah ditahan.


Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang lesen atau kebenaran bertulis untuk menyimpan serta memelihara haiwan tersebut.


"Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM70,057 termasuk kenderaan, barangan peribadi serta beruang matahari terbabit.


"Operasi bersepadu ini membuktikan komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya PSP, dalam memerangi aktiviti haram yang melibatkan hidupan liar," katanya hari ini.


Tambahnya, beruang matahari ialah spesies yang dilindungi dan usaha menyelamatkan hidupan liar daripada menjadi mangsa perdagangan haram mesti dilakukan secara berterusan.


Tegasnya, kerjasama erat dengan Jabatan Perhilitan Johor membuktikan keberkesanan pendekatan intra dan inter agensi dalam terus mempergiatkan risikan serta operasi bersepadu dari semasa ke semasa demi memastikan undang-undang dipatuhi, selain khazanah negara dipelihara.


"Ini agar generasi akan datang tidak kehilangan khazanah alam yang amat bernilai.


"Orang awam diminta supaya tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui sebarang aktiviti penyeludupan atau pemeliharaan haiwan liar tanpa permit," ujarnya.


Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).


Seekor beruang matahari dirampas susulan penahanan sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan di pinggiran hutan berhampiran Bandar Seri Alam, Johor Bahru semalam (Rabu). - Foto PSP.

Rabu, 3 September 2025

Pegawai kanan polis wanita ditahan SPRM kes minta suapan RM8,000

Pegawai kanan polis wanita ditahan SPRM kes minta suapan RM8,000


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur menahan dua individu termasuk seorang pegawai kanan polis kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM8,000 sebagai balasan tidak meneruskan siasatan ke atas satu kes pergaduhan.


Majistret Aina Azahra Arifin membenarkan pegawai wanita terbabit direman empat hari bermula Ahad lepas, manakala suspek lelaki direman tujuh hari bermula Sabtu lalu selepas perintah dikeluarkan Majistret Chan Jia Kay.


Permohonan reman dibuat SPRM masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan Mahkamah Majistret Putrajaya.


Menurut sumber, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an telah ditangkap berasingan pada 29 dan 31 Ogos lalu sekitar Kuala Lumpur antara jam 10 malam hingga 12 tengah malam.


"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat di mana suspek lelaki menjadi orang tengah meminta wang rasuah bernilai kira-kira RM8,000.


"Suspek lelaki tersebut dipercayai menerima wang rasuah secara tunai dan kemudiannya memberikan wang tersebut kepada suspek wanita juga secara tunai," katanya.


Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Sekyen 17 (a) Akta SPRM 2009 bagi suspek wanita manakala suspek lelaki disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.


Kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an itu ditangkap berasingan dalam operasi pada Jumaat dan Sabtu lalu oleh sepasukan pegawai SPRM di sekitar Kuala Lumpur. - Foto Berita Harian.