Sabtu, 6 September 2025

Lebih 4 jam berkeras di lintasan sempit, tiada siapa mahu kalah


Dua penunggang skuter elektrik di selatan China bersemuka selama sekurang-kurangnya empat jam di sebuah lintasan sempit kerana kedua-duanya tidak mahu mengalah.


Klip video mengenai dua individu yang berdegil itu menjadi tular di tanah besar China, menghiburkan jutaan pengguna internet, menurut South China Morning Post memetik laporan Dafeng News.


Insiden itu berlaku pada 24 Ogos lalu di daerah Huicheng yang sibuk di Huizhou, wilayah Guangdong.


Ia membabitkan seorang penghantar makanan dan seorang pemuda, kedua-duanya di atas skuter elektrik masing-masing, memastikan bahagian hadapan kenderaan mereka kekal terkunci antara satu sama lain, sekali gus menghalang sebarang pergerakan.


Konfrontasi itu berlaku di lintasan zebra di sebatang jalan utama, yang direka untuk membolehkan hanya sebuah skuter atau pun basikal melaluinya pada satu-satu masa.


Walaupun kedua-dua lelaki itu datang dari arah bertentangan, tiada seorang pun yang mahu beralah. Kedua-duanya kelihatan berkeras untuk menggunakan lintasan itu secara serentak.


"Ketika saya keluar dari rumah untuk bekerja pada jam 4 petang, saya nampak mereka di jalan raya. Apabila saya pulang ke rumah sekitar jam 9 malam, mereka masih di sana," kata seorang saksi yang dikenali sebagai Li. "Saya terdengar mereka pada mulanya bertengkar."


Dalam video yang tular, kedua-dua lelaki itu dilihat sekali-sekala melayari telefon bimbit mereka untuk mengisi masa.


"Mereka bersemuka selama berjam-jam. Mereka mesti sangat tiada kerja. Saya tidak pernah menyaksikan apa-apa seperti ini seumur hidup saya," kata seorang lagi penduduk berhampiran.


Masih tidak jelas berapa lama konfrontasi itu berterusan atau individu mana yang akhirnya mendapat hak laluan.


Pihak berkuasa trafik tempatan menyatakan mereka tidak akan mengenakan penalti ke atas mana-mana pihak buat masa ini, kerana tindakan mereka tidak mengakibatkan sebarang kemalangan.


Pegawai menyatakan mereka akan menyemak rakaman pengawasan untuk menilai keadaan jalan dan menentukan sama ada mana-mana penunggang telah melanggar peraturan lalu lintas atau yang mana tiba dahulu.


Berdasarkan penemuan itu, polis kemudiannya akan menegur dan mendidik kedua-dua lelaki itu sewajarnya. Insiden itu mencetuskan gelombang komen lucu dalam talian.


"Ini adalah pertempuran untuk maruah, dari siang hingga ke malam. Untuk menang, anda memerlukan kekuatan, ketabahan, telefon yang dicas penuh, dan pundi kencing yang kuat," gurau seorang pemerhati dalam talian.


Dua penunggang skuter elektrik bersemuka selama sekurang-kurangnya empat jam di lintasan sempit kerana tidak mahu mengalah.


EmoticonEmoticon