Sabtu, 6 September 2025

Dua bayi baru lahir digigit tikus di hospital, maut akibat jangkitan


Dua bayi baru lahir digigit tikus di wad pembedahan pediatrik sebuah hospital kerajaan di Indore, India, meninggal dunia akibat jangkitan pada hujung Ogos lalu.


India Today melaporkan, seorang daripada bayi berkenaan yang hanya seberat 1.2 kilogram meninggal dunia kelmarin manakala seorang lagi keesokannya selepas dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.


Menurut doktor, kedua-dua kematian berpunca daripada jangkitan bakteria yang teruk dan komplikasi kongenital (masalah kesihatan sejak lahir) selepas digigit haiwan itu sekitar 30 dan 31 Ogos lalu.


Difahamkan, kewujudan tikus di wad rawatan bayi baru lahir (wad neonatal) menimbulkan kemarahan ramai terhadap tahap kebersihan dan keselamatan hospital berkenaan.


Dekan Kolej Perubatan Mahatma Gandhi Memorial Medical (MGM), Dr Arvind Ghanghoria berkata, sebuah jawatankuasa peringkat tinggi ditubuhkan untuk menyiasat kejadian itu.


Katanya, salah seorang bayi berada dalam keadaan kritikal dengan pelbagai komplikasi, namun gigitan tikus tetap menimbulkan persoalan serius mengenai keselamatan pesakit.


Beliau menjelaskan, bayi pertama yang meninggal dunia itu dibawa dari Khargone dalam keadaan sangat lemah dengan paras hemoglobin rendah dan organ tidak berkembang.


"Mangsa juga bergantung pada oksigen dan ventilator sebelum keadaannya semakin merosot.


"Bayi kedua turut mengalami masalah kongenital termasuk paru-paru dan usus tidak berkembang, namun keadaannya bertambah buruk selepas digigit tikus," katanya.


Susulan itu, dua jururawat digantung tugas, seorang penyelia jururawat dilucutkan jawatan, manakala notis tunjuk sebab dikeluarkan kepada dua ketua jururawat dan Ketua Jabatan Pembedahan Perioperatif.


Selain itu, denda sebanyak 100,000 rupee (kira-kira RM5,600) turut dikenakan ke atas syarikat kawalan perosak yang bertanggungjawab mengurus tikus di hospital berkenaan.


Tangkap layar rakaman gambar tikus yang dipercayai menjadi punca kematian dua bayi di sebuah hospital kerajaan di Indore, India. - Foto Agensi.


EmoticonEmoticon