Ahad, 7 September 2025

Sindiket guna hotel tiga bintang tawar seks warga asing terbongkar selepas diserbu JIM


Sebuah hotel tiga bintang di Jalan Ipoh di Kuala Lumpur dijadikan pusat pelacuran warga asing dengan menawarkan khidmat melalui aplikasi media sosial, terbongkar susulan serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Jumaat.


Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 37 individu termasuk empat lelaki berusia 19 hingga 61 tahun terdiri daripada warga Myanmar, India, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Laos ditahan dalam serbuan pada jam 8.45 malam.


"Modus operandi yang digunakan sindiket yang telah beroperasi sejak setahun lalu adalah dengan menjadikan hotel tiga bintang sebagai pusat pelacuran warga asing.


"Pelanggan boleh memilih wanita berdasarkan gambar pada aplikasi media sosial atau secara 'walk-in'. Kadar bayaran yang dikenakan adalah antara RM250 hingga RM400 bagi setiap jam," katanya dalam kenyataan hari ini.


Zakaria berkata, semakan awal mendapati enam wanita warga Thailand, tiga wanita warga Vietnam, dua wanita warga Indonesia dan seorang wanita warga Laos telah menyalahgunakan pas.


"Selain itu, seorang lelaki warga Indonesia dikesan tinggal lebih masa, manakala dua lelaki warga Myanmar, seorang lelaki warga India, 15 wanita Indonesia, tiga wanita warga Vietnam dan tiga wanita warga Thailand didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di Malaysia," katanya.


Beliau berkata, kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.


"Seramai tujuh lelaki warga tempatan diberikan notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan," katanya.


Antara warga asing yang ditahan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Jumaat.


EmoticonEmoticon