Isnin, 1 September 2025

Kereta Ahli Parlimen Dungun terbakar di LPT2 menghala ke Kuala Terengganu

Kereta Ahli Parlimen Dungun terbakar di LPT2 menghala ke Kuala Terengganu


Kereta Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dilaporkan terbakar dalam kejadian di Kilometer 330 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menghala ke Kuala Terengganu hari ini (Isnin).


Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II, Rohaya Jamil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.47 tengah hari sebelum sebuah jentera bersama 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kerteh digerakkan ke lokasi kejadian.


Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang terbakar hampir 95 peratus.


"Seorang lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa berada dalam kenderaan tersebut namun kedua-duanya selamat," katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau berkata, operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran hos dari tangki air jentera bomba dan api berjaya dikawal pada jam 1.17 tengah hari sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.25 tengah hari.


Sebelum itu, insiden berkenaan tular di media sosial selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkongsi video kejadian tersebut.


"Kereta YB Ustaz Wan Hassan terbakar di LPT2 sebentar tadi. Mohon doa sahabat-sahabat dimudahkan urusan YB Ustaz dan isteri," tulisnya menerusi hantaran di laman sosial Facebook.


Kenderaan milik Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, musnah terbakar hampir 95 peratus dalam kejadian di LPT2 berhampiran susur keluar Paka, hari ini. - Foto Facebook.
Gelang emas hilang, wanita minta keringkan sungai

Gelang emas hilang, wanita minta keringkan sungai


Sebuah kolam tadahan air terjun di Indonesia terpaksa 'dikeringkan' demi mencari gelang emas milik seorang wanita yang hilang ketika berenang, lapor portal berita Lambe Turah.


Kejadian berlaku di Sungai Mudal baru-baru ini.


Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @fldzh_Ina menunjukkan beberapa petugas berusaha mencari barang kemas di sekitar kolam yang kering-kontang.


"Saya pasti gelang itu jatuh ke dalam sungai. Saya nampak gelang itu berada di pergelangan tangan sebelum hilang. Saya sudah biasa berenang tanpa menanggalkan barang perhiasan," kata wanita itu.


Gelang tersebut ditemukan tidak lama kemudian oleh dirinya sendiri.


Rakaman itu mencatatkan lebih 550,000 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.


"Sungai sanggup jadi 'korban' demi seorang wanita," kata seorang netizen.


Tangkap layar video menunjukkan beberapa petugas berusaha mencari gelang emas di sekitar kolam yang dikeringkan. - Foto TikTok.

Ahad, 31 Ogos 2025

Abang 'sado' tampil sopan, tiada lagi otot sasa terdedah

Abang 'sado' tampil sopan, tiada lagi otot sasa terdedah


Akur terhadap kecaman dan kritikan, anggota tentera darat berbadan sasa tampil lebih 'sopan' pada perbarisan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya, hari ini.


Berbanding imej dedah otot 'seksi' dan sasa pada penampilan raptai penuh pada Jumaat lalu, otot berurat abang askar sado hari ini ditutup dengan baju.


Walaupun tanpa mendedahkan otot sasa, mereka tetap diberi sorakan dan teriakan oleh pengunjung yang hadir di Dataran Putrajaya.


Sebelum ini, kemunculan anggota tentera darat berbadan sado di majlis raptai penuh Hari Kebangsaan 2025 telah pun menjadi bualan hangat di platform media sosial.


Perkara tersebut telah menimbulkan rasa kurang senang untuk sesetengah pihak, di mana mereka mempersoalkan sama ada menayang tubuh badan sudah menjadi satu trend 'wajib' apabila perarakan Hari Kebangsaan.


Imej 'abang sado' tentera darat yang tampil lebih sopan selepas mengenakan baju bersesuaian pada sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Putrajaya hari ini. - Foto Kosmo Online.

Imej anggota tentera darat dedah otot 'seksi' dan sasa pada penampilan raptai sebelum ini. - Foto Bernama.
Ops Ambang Merdeka: 30 individu ditahan berkhalwat dalam hotel bajet di Pulau Pinang

Ops Ambang Merdeka: 30 individu ditahan berkhalwat dalam hotel bajet di Pulau Pinang


Malam ambang Merdeka di Pulau Pinang dicemari dengan aktiviti tidak bermoral apabila 30 individu ditahan selepas disyaki berkhalwat di beberapa hotel bajet sekitar Seberang Perai awal pagi tadi (Ahad).


Serbuan Ops Ambang Merdeka yang dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) itu membabitkan operasi di tiga daerah bermula jam 12 tengah malam hingga 6 pagi.


Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP, Muhamad Helmi Rosley berkata, mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 45 tahun terdiri daripada pasangan yang gagal mengemukakan bukti ikatan pernikahan yang sah.


"Dalam serbuan yang dilakukan, terdapat seorang lelaki cuba melarikan diri dengan terjun dari tingkat dua sebuah hotel di Lorong Kampung Benggali, Butterworth namun berjaya ditahan tidak lama kemudian.


"Kami turut menahan dua lelaki termasuk seorang duda bersama pasangan warga asing yang masing-masing bukan beragama Islam, selain seorang lagi lelaki tempatan yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan bersama wanita warga Indonesia," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.


Mengulas lanjut, Muhamad Helmi berkata, ada antara pasangan yang ditahan memberi alasan hanya mahu berehat selepas keluar makan sempena malam Merdeka, walaupun mereka tinggal di kawasan berhampiran.


Jelasnya, alasan sedemikian sering digunakan oleh pelaku kesalahan jenayah syariah untuk mengelirukan pihak berkuasa.


Beliau berkata, kesemua individu terbabit dibawa ke pejabat JHEAIPP untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.


Tegasnya, operasi berterusan akan dilakukan bagi memastikan Pulau Pinang bebas daripada aktiviti tidak bermoral.


Antara pasangan yang ditahan dalam Ops Ambang Merdeka awal pagi tadi. - Foto Sinar Harian.

Jumaat, 29 Ogos 2025

Pelajar Tingkatan Empat didakwa rogol rakan perempuan dalam kelas

Pelajar Tingkatan Empat didakwa rogol rakan perempuan dalam kelas


Seorang pelajar Tingkatan Empat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini, atas pertuduhan merogol rakan perempuan berusia 14 tahun di dalam kelas, Mei lalu.


Bagaimanapun, tertuduh lelaki yang berusia 16 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Saiful Sayoti selepas pertuduhan dibacakan pada prosiding dijalankan secara tertutup memandangkan tertuduh adalah pesalah bawah umur.


Mengikut pertuduhan, pelajar lelaki itu didakwa merogol pelajar perempuan berumur 14 tahun pada kira-kira jam 7.20 pagi dalam kelas sebuah sekolah menengah di Ampangan, Seremban pada 2 Mei lalu.


Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun dan boleh juga disebat.


Timbalan Pendakwa Raya P Rubini menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan, tetapi tertuduh yang tidak diwakili peguam yang akan dijamin bapanya seorang pesara tentera memohon wang jaminan rendah.


Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan RM4,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta menetapkan sebutan semula kes pada 5 November depan.


Tertuduh berbaju hitam ketika hadir ke mahkamah. - Foto Sinar Harian.
Jet F-16 terhempas semasa latihan, juruterbang maut

Jet F-16 terhempas semasa latihan, juruterbang maut


Seorang juruterbang maut selepas jet pejuang F-16 dikendalikannya terhempas dan terbakar ketika melakukan latihan pertunjukan udara di sebuah lapangan terbang di Poland, lapor akhbar The Sun UK.


Kejadian dirakam sekitar pukul 5.30 petang (waktu Britain) di Lapangan Terbang Radom, kira-kira 99.77 kilometer ke selatan Warsaw. 


Rakaman video kejadian di platform X menunjukkan penonton berlari ketakutan apabila pesawat F-16 itu tiba-tiba menjunam selepas membuat pusingan di udara.


Ia terhempas di landasan dan terbakar dengan asap tebal menyelubungi langit. Tentera Poland mengesahkan tiada penonton yang cedera.


Masih belum jelas sama ada juruterbang terbabit berjaya mengaktifkan kerusi anjal atau terbunuh selepas pesawat terhempas. 


Jet F-16 itu dilaporkan berlepas dari Pangkalan Udara Taktikal ke-31 dekat Poznan. Siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca nahas.


Tangkap layar menunjukkan jet pejuang F-16 terhempas dan terbakar di Lapangan Terbang Radom semalam. - Foto X.
Mak nyah mengaku bersalah tetak lelaki diarah jalani ujian psikiatri

Mak nyah mengaku bersalah tetak lelaki diarah jalani ujian psikiatri


Seorang mak nyah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki menggunakan pisau pemotong daging, Ahad lalu.


Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin bagaimanapun menangguhkan hukuman terhadap tertuduh, K. Devandran, 36, pada 4 September depan dan memerintahkannya untuk menjalani pemeriksaan psikiatri.


Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 49 tahun dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging.


Perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah kedai agensi pelancongan, Jalan Melaka Raya 14, Taman Melaka Raya dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 2.10 petang pada 24 Ogos 2025.


Terdahulu, tertuduh tidak diwakili peguam tidak membuat rayuan sebalik memaklumkan mahkamah mendakwa dia di bawah preskripsi ubat psikiatri.


Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Haderiah Siri, Devandran bagaimanapun mengaku tidak bersalah di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki sebilah pisau pemotong daging.


Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar tidak menawarkan sebarang jaminan, tetapi mencadangkan jumlah RM20,000 sekiranya mahkamah mahu menggunakan budi bicara.


Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan tarikh 6 Oktober depan untuk sebutan semula kes.


Tertuduh diiringi anggota polis ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka. - Foto Kosmo Online.
Semua bangunan dibina selepas 2016 kalis gempa bumi - Nga Kor Ming

Semua bangunan dibina selepas 2016 kalis gempa bumi - Nga Kor Ming


Semua bangunan baharu yang dibina di Malaysia selepas 2016 mampu menahan gempa bumi pada skala tujuh magnitud atau lebih, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.


Beliau berkata, keselamatan bangunan di negara ini berada di bawah kawalan ketat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).


"CIDB mempunyai garis panduan yang mewajibkan semua bangunan baharu sejak 2016 direka bentuk agar mampu menahan gegaran pada skala tujuh atau lebih.


"Mana-mana bangunan yang dibina selepas 2016 wajib mematuhi standard CIDB. Jadi secara asasnya, kita selamat. Tetapi mesej saya jelas, jangan sesekali ambil mudah perkara ini," katanya pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini.


Beliau bagaimanapun memberi amaran, banyak bangunan lama sebelum 2016 tidak memenuhi standard tersebut dan berisiko runtuh jika berlaku gempa bumi kuat.


Justeru, katanya Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang bakal diperkenalkan dilihat penting untuk memastikan keselamatan awam.


"Keselamatan orang ramai adalah keutamaan. Dalam soal ini, tiada kompromi. Kita kena belajar daripada Jepun, konsep 'prevention is better than cure'.


Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mempolitikkan isu bencana alam sebaliknya melihatnya sebagai usaha bersama seluruh negara.


Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, meskipun Malaysia bukan negara yang terletak dalam zon gempa bumi, rakyat tidak boleh mengambil mudah dan menganggap bencana itu tidak mungkin berlaku pada masa hadapan.


Beliau berkata, pengalaman lalu membuktikan bencana seperti tsunami yang sebelum ini dianggap mustahil, akhirnya tetap melanda negara.


"Malaysia tidak boleh take for granted. Jangan anggap negara kita kebal daripada gempa bumi sampai bila-bila. Malang tidak berbau.


"Sebab itu penting untuk kita wujudkan kesedaran awam dan sentiasa bersedia," katanya. - Sumber Astro Awani.


Kor Ming bagaimanapun memberi amaran, banyak bangunan lama sebelum 2016 tidak memenuhi standard berkaitan gegaran dan berisiko runtuh jika berlaku gempa bumi kuat. - Gambar Fail.
Sindiket edar dadah tumpas, tiga ditahan di Kota Marudu

Sindiket edar dadah tumpas, tiga ditahan di Kota Marudu


Dua individu yang dipercayai aktif melakukan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Kota Marudu, ditahan polis awal pagi semalam (28 Ogos).


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, pasukan operasi menyerbu stor di sebuah rumah di Kampung Togop, Kota Marudu dan menahan dua individu termasuk seorang wanita berusia 46 dan 40 tahun selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu.


Menurutnya, pihaknya menemui 13 paket plastik lut sinar pelbagai saiz disyaki dadah jenis syabu seberat 112.90 gram yang dianggarkan bernilai RM7,000 disimpan di dalam beg milik suspek.


"Suspek mengaku memiliki dadah berkenaan dan mendapat bekalan dadah daripada seorang lelaki.


"Suspek turut mengaku mengedar dadah di sekitar daerah Kota Marudu dan menggunakan kaedah bayaran tunai ketika pesanan dihantar (COD) selain ada juga pelanggan datang ke rumah," katanya dalam kenyataan media semalam.


Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing terhadap kedua suspek didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.


Alhusin berkata, susulan kejayaan itu, polis meneruskan operasi dengan menyerbu sebuah rumah Kampung Goshen, Jalan Lotong, Kota marudu dengan dipandu arah suspek pertama.


Katanya, pasukan operasi berjaya menahan seorang lelaki berusia 44 tahun dan merampas 38.40 gram dadah yang dianggarkan bernilai RM2,500.


Menurutnya, pasukan operasi turut berjaya merampas wang tunai berjumlah RM21,000 yang dipercayai hasil kegiatan jenayah dadah berkenaan.


Katanya, ketiga suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.


Sehubungan itu, Alhusin berkata, menerusi tangkapan berkenaan, pihak berjaya menumpaskan pengedar yang giat mengedarkan dadah ke daerah sekitar seperti Kota Marudu, Ranau dan juga Sandakan.


Katanya, operasi akan diteruskan untuk mengesan suspek lain yang terbabit dan seterusnya mematahkan rangkaian pengedaran dadah di negeri ini.


Dadah yang dirampas dalam operasi JSJN Sabah di Kota Marudu. - Foto PDRM.

Khamis, 28 Ogos 2025

Luluh hati, isteri curang dengan bapa saudara hingga lahirkan 3 anak

Luluh hati, isteri curang dengan bapa saudara hingga lahirkan 3 anak


Seorang lelaki di Henan, China, luluh hati apabila mengetahui tiga anak perempuannya bukan darah daging sendiri, sebaliknya hasil hubungan isterinya dengan bapa saudaranya.


Menurut CCTV News, lelaki yang dikenali sebagai Zhou, sudah 13 tahun berkahwin dan kebanyakan masa bekerja jauh dari rumah untuk menyara keluarga.


Walaupun begitu, dia tetap menghantar wang kepada isterinya secara berkala dan hanya pulang apabila berkesempatan untuk meluangkan masa bersama anak-anak.


Bagaimanapun, segalanya terbongkar selepas berlaku pertengkaran dengan bapa saudaranya baru-baru ini.


Seorang jiran kemudian membuat kenyataan yang mencetuskan curiganya apabila berkata anak sulungnya mirip bapa saudaranya.


Sejak itu, Zhou mula memerhatikan wajah anak-anak dan merasakan mereka langsung tidak menyerupainya.


Difahamkan, dia kemudian secara rahsia membawa ketiga-tiga anaknya menjalani ujian paterniti.


Keputusan ujian itu mengejutkan Zhou apabila mendapati tiada seorang daripada mereka ialah anak kandungnya.


Zhou kemudian berdepan isteri dan bapa saudaranya, namun kedua-duanya enggan memberi penjelasan.


Susulan itu, Zhou memfailkan perceraian dan menuntut pampasan sebanyak 150,000 yuan (kira-kira RM85,500). Selepas bercerai, Zhou mendapati bekas isterinya tinggal bersama bapa saudaranya itu.


Akhirnya pada Ogos lalu, bekas isterinya bersetuju membayar pampasan 10,000 yuan (kira-kira RM5,700) setahun selama 15 tahun.


Jumlah keseluruhan pampasan itu pula ialah 150,000 yuan (kira-kira RM85,500) seperti yang dituntut Zhou.