Seorang lelaki di Henan, China, luluh hati apabila mengetahui tiga anak perempuannya bukan darah daging sendiri, sebaliknya hasil hubungan isterinya dengan bapa saudaranya.
Menurut CCTV News, lelaki yang dikenali sebagai Zhou, sudah 13 tahun berkahwin dan kebanyakan masa bekerja jauh dari rumah untuk menyara keluarga.
Walaupun begitu, dia tetap menghantar wang kepada isterinya secara berkala dan hanya pulang apabila berkesempatan untuk meluangkan masa bersama anak-anak.
Bagaimanapun, segalanya terbongkar selepas berlaku pertengkaran dengan bapa saudaranya baru-baru ini.
Seorang jiran kemudian membuat kenyataan yang mencetuskan curiganya apabila berkata anak sulungnya mirip bapa saudaranya.
Sejak itu, Zhou mula memerhatikan wajah anak-anak dan merasakan mereka langsung tidak menyerupainya.
Difahamkan, dia kemudian secara rahsia membawa ketiga-tiga anaknya menjalani ujian paterniti.
Keputusan ujian itu mengejutkan Zhou apabila mendapati tiada seorang daripada mereka ialah anak kandungnya.
Zhou kemudian berdepan isteri dan bapa saudaranya, namun kedua-duanya enggan memberi penjelasan.
Susulan itu, Zhou memfailkan perceraian dan menuntut pampasan sebanyak 150,000 yuan (kira-kira RM85,500). Selepas bercerai, Zhou mendapati bekas isterinya tinggal bersama bapa saudaranya itu.
Akhirnya pada Ogos lalu, bekas isterinya bersetuju membayar pampasan 10,000 yuan (kira-kira RM5,700) setahun selama 15 tahun.
Jumlah keseluruhan pampasan itu pula ialah 150,000 yuan (kira-kira RM85,500) seperti yang dituntut Zhou.
EmoticonEmoticon