Ahad, 31 Ogos 2025

Ops Ambang Merdeka: 30 individu ditahan berkhalwat dalam hotel bajet di Pulau Pinang


Malam ambang Merdeka di Pulau Pinang dicemari dengan aktiviti tidak bermoral apabila 30 individu ditahan selepas disyaki berkhalwat di beberapa hotel bajet sekitar Seberang Perai awal pagi tadi (Ahad).


Serbuan Ops Ambang Merdeka yang dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) itu membabitkan operasi di tiga daerah bermula jam 12 tengah malam hingga 6 pagi.


Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAIPP, Muhamad Helmi Rosley berkata, mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 45 tahun terdiri daripada pasangan yang gagal mengemukakan bukti ikatan pernikahan yang sah.


"Dalam serbuan yang dilakukan, terdapat seorang lelaki cuba melarikan diri dengan terjun dari tingkat dua sebuah hotel di Lorong Kampung Benggali, Butterworth namun berjaya ditahan tidak lama kemudian.


"Kami turut menahan dua lelaki termasuk seorang duda bersama pasangan warga asing yang masing-masing bukan beragama Islam, selain seorang lagi lelaki tempatan yang bekerja sebagai pemandu lori ditahan bersama wanita warga Indonesia," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.


Mengulas lanjut, Muhamad Helmi berkata, ada antara pasangan yang ditahan memberi alasan hanya mahu berehat selepas keluar makan sempena malam Merdeka, walaupun mereka tinggal di kawasan berhampiran.


Jelasnya, alasan sedemikian sering digunakan oleh pelaku kesalahan jenayah syariah untuk mengelirukan pihak berkuasa.


Beliau berkata, kesemua individu terbabit dibawa ke pejabat JHEAIPP untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.


Tegasnya, operasi berterusan akan dilakukan bagi memastikan Pulau Pinang bebas daripada aktiviti tidak bermoral.


Antara pasangan yang ditahan dalam Ops Ambang Merdeka awal pagi tadi. - Foto Sinar Harian.


EmoticonEmoticon