Jumaat, 29 Ogos 2025

Pelajar Tingkatan Empat didakwa rogol rakan perempuan dalam kelas


Seorang pelajar Tingkatan Empat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini, atas pertuduhan merogol rakan perempuan berusia 14 tahun di dalam kelas, Mei lalu.


Bagaimanapun, tertuduh lelaki yang berusia 16 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Saiful Sayoti selepas pertuduhan dibacakan pada prosiding dijalankan secara tertutup memandangkan tertuduh adalah pesalah bawah umur.


Mengikut pertuduhan, pelajar lelaki itu didakwa merogol pelajar perempuan berumur 14 tahun pada kira-kira jam 7.20 pagi dalam kelas sebuah sekolah menengah di Ampangan, Seremban pada 2 Mei lalu.


Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun dan boleh juga disebat.


Timbalan Pendakwa Raya P Rubini menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan, tetapi tertuduh yang tidak diwakili peguam yang akan dijamin bapanya seorang pesara tentera memohon wang jaminan rendah.


Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan RM4,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta menetapkan sebutan semula kes pada 5 November depan.


Tertuduh berbaju hitam ketika hadir ke mahkamah. - Foto Sinar Harian.


EmoticonEmoticon