Sabtu, 27 Disember 2025

Ahli PAS Perlis jangan 'curah minyak ke dalam api' - Shahidan


Ahli PAS Perlis diingatkan supaya tidak 'mencurah minyak ke dalam api' dengan mengeluarkan kenyataan yang menggugat kestabilan parti itu ketika kemelut politik melanda negeri itu.


Teguran itu susulan beberapa pimpinan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS yang dilihat begitu agresif mengeluarkan kenyataan berbaur menghasut, terutama kepada tiga pimpinan parti yang sudah ditamatkan keahlian, sekali gus pengosongan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).


Timbalan Pesuruhjaya III PAS Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihaknya melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh ahli termasuk beberapa pimpinan PAS negeri di dalam media sosial sebagai cubaan mengganggu gugat kestabilan parti.


"Orang yang bercakap itu, kita pun tidak tahu sama ada menggunakan akaun sebenar atau 'fake account' dan sekiranya dia itu ahli PAS, maka tidak sepatutnya dia mengeluarkan kenyataan dan begitu juga difahamkan ada wakil rakyat PAS Perlis yang turut sama mengeluarkan kenyataan kerana itu saya sedang perhatikan anda.


"Kenyataan rasmi ini harus mendapat kebenaran daripada ibu pejabat dan ini bukanlah cara PAS mengeluarkan kenyataan secara melulu kerana kita berwala' dan bermusyawarah. pada waktu ini saya sedang menunggu 'lampu hijau' untuk menjalankan mesyuarat Perikatan Nasional (PN) atau tidak," katanya ditemui pemberita di rumahnya di Jejawi, Arau hari ini.


Menurut Shahidan, PN Perlis bertindak sebagai penenang keadaan di sebalik kemelut yang melanda dan selaku Pengerusi PN Perlis, beliau menegaskan hubungan PAS negeri dan BERSATU negeri masih baik.


"Yang ini (hubungan) tidak ada masalah, sebab itu saya sering memanggil kedua-dua parti ini untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa PN.


"Malah, ketika ini sudah lima kali mesyuarat PN dilakukan dalam masa dua bulan, (dan) pelbagai aspek diperbincangkan... segala keputusan tidak dibuat sendiri, sebaliknya dicapai secara bersama.


"(Cuma ketika ini) Kita tidak dapat maklumat sama ada berlakunya mesyuarat PN terutama di Pusat, namun Mesyuarat PAS sudah pun dilakukan tempoh hari, tetapi saya ingin tegaskan... di Perlis, PAS dan Bersatu tiada masalah," katanya.


Kemelut politik di Perlis berlaku apabila lapan ADUN PN termasuk tiga daripada PAS didapati menandatangani akuan berkanun (SD) yang menyatakan penarikan sokongan mereka terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dalam pentadbiran kerajaan negeri.


Ekoran tindakan itu, PAS Pusat yang bermesyuarat serta-merta memberhentikan keahlian ketiga-tiga ADUN, iaitu Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Saad Seman (Chuping) dan Fakhrul Anwar Ismail (Bintong), sekali gus menyebabkan Speaker DUN Perlis, Rus'sele Eizan mengumumkan kekosongan tiga kerusi dan memohon PRK diadakan.


Rentetan itu juga, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mengumumkan peletakan jawatan pada Khamis lalu, atas alasan masalah kesihatan dan mahu memberi tumpuan terhadap kawasan Sanglang, selaku ADUN yang disandang sejak 2013.


EmoticonEmoticon