Sabtu, 27 Disember 2025

Lelaki ditahan, guna MyKad orang lain tebus subsidi BUD195


Tindakan seorang lelaki menggunakan MyKad milik individu lain bagi menebus subsidi BUDI95 mengundang padah apabila pemilik dokumen berkenaan menyedari namanya digunakan tanpa pengetahuan semalam.


Individu warga tempatan berusia 42 tahun itu dipercayai mengambil kesempatan ke atas kehilangan MyKad milik mangsa.


Suspek menggunakannya untuk menebus subsidi bahan api di sebuah stesen minyak di Gemencheh, Negeri Sembilan, dengan menyamar sebagai pemilik sah dokumen berkenaan.


Perbuatan itu bagaimanapun terbongkar apabila pemilik MyKad menyedari berlaku penebusan BUDI95 atas namanya walaupun tidak pernah berbuat demikian, sebelum tampil membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).


Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias, berkata susulan aduan berkenaan, siasatan dan risikan dijalankan yang membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan disyaki memiliki serta menggunakan MyKad bukan miliknya bagi tujuan penebusan subsidi.


"Hasil siasatan mendapati MyKad milik pengadu digunakan untuk menebus BUDI95 di sebuah stesen minyak di Gemencheh tanpa pengetahuan dan kebenaran pemilik sebenar.


"Suspek ditahan pada jam 12 tengah hari di sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Baru, Sungai Lerek, Negeri Sembilan," katanya .


Menurutnya, kes disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) dan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana memiliki serta menggunakan kad pengenalan bukan miliknya bagi tujuan tidak sah.


Katanya, permohonan perintah reman telah dibuat di Mahkamah Majistret Tampin bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan, manakala proses pendakwaan dijangka dilaksanakan selepas siasatan dilengkapkan.


Dalam pada itu, Hisham menegaskan bahawa perbuatan memiliki atau menggunakan MyKad orang lain, termasuk bagi tujuan penebusan bantuan atau subsidi kerajaan, adalah kesalahan serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang tegas.


"Orang ramai yang menemui MyKad atau dokumen pengenalan diri hendaklah segera menyerahkannya kepada JPN atau balai polis berhampiran bagi mengelakkan penyalahgunaan yang boleh merugikan pemilik serta kerajaan," katanya.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon