Ahad, 28 Disember 2025

Berang ditegur kerana memotong barisan, pensyarah ludah juruwang


Seorang lelaki didakwa bertindak biadab apabila meludah seorang juruwang wanita di sebuah pasar raya di Makassar, Sulawesi Selatan selepas tidak berpuas hati ditegur kerana memotong barisan pembayaran.


Insiden itu yang berlaku di sebuah pasar raya di Jalan Perintis Kemerdekaan, Kecamatan Tamalanrea pada Rabu tular di media sosial selepas rakaman video kejadian berkenaan dikongsi orang ramai.


Rakaman tersebut menunjukkan lelaki berkenaan dalam keadaan marah sebelum meludah ke arah juruwang wanita, yang bagaimanapun kekal tenang dan meneruskan tugasnya secara profesional.


Hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit merupakan seorang pensyarah di Universiti Islam Makassar (UIM) yang dikenal pasti sebagai AS.


Rektor UIM Makassar, Muammar Bakry mengesahkan, individu dalam video berkenaan adalah pensyarah Fakulti Pertanian dan memaklumkan pihak universiti akan mengambil tindakan sewajarnya.


"Kami belum boleh mengulas secara terperinci kerana individu terbabit masih belum dipanggil memberi keterangan. Namun, kes ini pasti akan dibawa ke peringkat siasatan dalaman," katanya ketika dihubungi media pada Jumaat.


Beliau menegaskan perbuatan tersebut disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan dan boleh menjejaskan imej institusi pendidikan.


"Perbuatan dalam video itu jelas tidak wajar. Pihak universiti akan mengenakan tindakan tatatertib akademik mengikut peraturan sedia ada," katanya.


Menurut Muammar, AS merupakan seorang pegawai Aparatur Sipil Negara (ASN) yang dipinjamkan perkhidmatannya sebagai tenaga pengajar di UIM, dan prosedur lanjut akan ditentukan bersama pihak berkaitan.


Sementara itu, mangsa yang dikenal pasti sebagai N, berusia 21 tahun, telah membuat laporan polis di Balai Polis Tamalanrea berhubung kejadian tersebut.


Ketua Unit Siasatan Jenayah Polsek Tamalanrea, Iptu Sangkala, mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan dan sedang melengkapkan dokumentasi siasatan.


"Laporan dibuat atas kesalahan berkaitan penghinaan, dan siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.


Kes berkenaan mencetuskan kecaman masyarakat yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai melampau serta mencerminkan sikap tidak beretika, khususnya melibatkan individu berstatus pendidik.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon