Rabu, 18 Jun 2025

Lelaki hidup bersama berus gigi dalam badan selama 52 tahun

Lelaki hidup bersama berus gigi dalam badan selama 52 tahun


Seorang warga emas berusia 64 tahun di wilayah Anhui, China terkejut apabila mengetahui bahawa berus gigi yang ditelannya lebih lima dekad lalu masih berada di dalam badannya, lapor portal berita Must Share News pada 17 Jun 2025.


Lelaki dikenali sebagai Yang itu segera mendapatkan rawatan perubatan selepas mengalami sakit dada yang berterusan.


Semasa dia menjalani endoskopi dan imbasan tomografi berkomputer (CT), doktor terkejut apabila menemui objek yang panjang dan nipis di dalam duodenum iaitu bahagian usus kecilnya.


Pemeriksaan lanjut mengesahkan bahawa objek tersebut adalah berus gigi plastik kanak-kanak.


Menurut Yang, dia secara tidak sengaja menelan berus gigi itu ketika bermain pada usia 12 tahun.


Selain merahsiakan perkara itu daripada ibunya, Yang menganggap objek tersebut akan larut secara semula jadi di dalam badan.


Bahkan, berus gigi itu kekal di tempat sama selama 52 tahun tanpa menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa.


Yang selamat menjalani pembedahan dan doktor berjaya mengeluarkan objek itu. - Sumber MS News.


Doktor mengeluarkan berus gigi yang berada dalam ususnya selama 52 tahun. - Foto Liberty Times Net.

Isnin, 16 Jun 2025

Dibelasah 9 rakan sekolah gara-gara simpan gambar bekas kekasih

Dibelasah 9 rakan sekolah gara-gara simpan gambar bekas kekasih


Sembilan pelajar sekolah menengah di daerah Kemaman ditahan reman selama tiga hari berhubung kes memukul rakan sekolah hujung bulan lalu.


Perintah reman ke atas kesemua remaja itu dibenarkan Hakim Wan Suhaila Mohd. di Mahkamah Majistret Kemaman hari ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Razi Rosli berkata, sembilan pelajar berusia 15 hingga 18 tahun itu ditahan pada pukul 1.30 tengah hari semalam selepas pihaknya menerima aduan daripada mangsa berusia 14 tahun.


"Pelajar tingkatan dua itu mendakwa dia dipukul sekumpulan rakan sekolahnya pada 27 dan 28 Mei lalu.


"Siasatan awal mendapati punca kejadian dipercayai akibat rasa tidak puas hati salah seorang suspek terhadap mangsa yang masih menyimpan gambar remaja perempuan didakwa kekasihnya.


"Sebelum menjalin hubungan dengan suspek, gadis itu ialah bekas kekasih mangsa," katanya ketika dihubungi wartawan hari ini.


Katanya, tindakan suspek utama dan rakan-rakannya memukul mangsa secara berkumpulan menyebabkan remaja tersebut cedera di kepala dan belakang badan.


Sebahagian sembilan pelajar sekolah yang ditahan reman bagi membantu siasatan mencederakan rakan sekolah di Mahkamah Majistret Kemaman hari ini. - Foto Kosmo Online.

Ahad, 15 Jun 2025

Beli pisang tiramisu, dalam ada inti cicak goreng

Beli pisang tiramisu, dalam ada inti cicak goreng


Seorang pelanggan kesal apabila pisang goreng tiramisu yang dibeli di sebuah premis Bayan Baru, Pulau Pinang turut diberikan 'topping' istimewa iaitu cicak goreng.


Menerusi video dimuat naik pengguna TikTok alisha.azni, kelihatan bangkai cicak tersebut di dalam pisang goreng tiramisu yang dibeli serta diletakkan di dalam bekas kertas makanan.


"Beli pisang goreng tiramisu dapat cicak goreng. Hati-hati kedai pengotor tak bertanggungjawab.


"Keracunan makanan atau kehilangan nyawa sebab teracun kena tanggung sendiri sebab penjual tak kisah asalkan untung.


"Saya kongsi untuk orang ramai hati-hati bila makan, jijik kedai ni. Dah lah bau longkang keliling kedai. Penjual tak peduli langsung bila kita bagitahu dekat dia. Saya dah pergi dua klinik. Dari 29 Mei keracunan makanan, sampai sekarang tak baik," katanya.


Dalam pada itu, ramai yang loya selepas melihat menu cicak goreng itu serta mencadangkan kepada pelanggan tersebut untuk mengambil tindakan.


"Buat laporan kepada pihak berwajib supaya mereka tak ambil mudah selepas ini," kata seorang pengguna TikTok.


"Boleh rujuk jabatan terlibat, buat laporan... bukan main-main. Cicak wei," komen seorang individu.


"Buat laporan dekat Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa. Bukan nak melingkup bisnes ka apa, tapi nak bagi kesedaran pentingnya jaga kebersihan," kata pengguna TikTok yang lain.


Tangkap layar video bangkai cicak di dalam makanan yang dibeli di sebuah premis di Pulau Pinang. - Foto Kosmo Online.

Jumaat, 13 Jun 2025

Misteri cahaya merah menegak di langit Singapura

Misteri cahaya merah menegak di langit Singapura


Satu pancaran cahaya merah ganjil yang menegak dapat dilihat di langit Singapura pada waktu malam, lapor portal berita MSNews hari ini.


Pembaca MSNews yang melihat fenomena itu menggambarkannya sebagai 'Cahaya Merah Menegak' di langit Pangkalan Udara Paya Lebar, Selasa lalu (10 Jun).


Menurut pembaca yang dikenali sebagai Mike, dia melihat cahaya aneh tersebut ketika berjalan pulang selepas makan malam bersama keluarganya.


Mike berkata, fenomena ganjil itu muncul kira-kira pukul 8.30 malam (waktu tempatan) tetapi dia tidak dapat melihatnya dengan jelas pada masa itu kerana persekitaran di tempatnya.


Semasa dia terus berjalan, pancaran cahaya itu dapat dilihat dengan lebih kira-kira pukul 9 malam.


Apabila Mike tiba di rumah kira-kira pukul 10.30 malam, lelaki tersebut menyedari bahawa awan telah mula menutup cahaya itu dan dia tidak dapat melihatnya lagi.


"Cahaya ini berada di sana selama lebih 3 jam. (Ia) berada pada kedudukan yang sama sepanjang masa," ujarnya. - Sumber MS News.


Satu pancaran cahaya merah menegak di langit Singapura. - Foto Pembaca MSNews.

Khamis, 12 Jun 2025

Operasi 8 jam jejak monyet ragut barang kemas bernilai RM113,000

Operasi 8 jam jejak monyet ragut barang kemas bernilai RM113,000


Kunjungan sebuah keluarga untuk beribadat ke Kuil Banke Bihari, Vrindavan bertukar kecoh apabila seekor monyet tiba-tiba meragut beg tangan seorang wanita yang mengandungi barang kemas bernilai lebih 20 lakh (kira-kira RM113,000).


Insiden yang berlaku Khamis lalu itu menjadi lebih dramatik apabila polis bersama penduduk tempatan terpaksa melancarkan operasi selama lapan jam, termasuk menggunakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) semata-mata untuk mengesan monyet terbabit.


Menurut laporan Times of India, kejadian berlaku ketika Abhishek Agarwal, penduduk Aligarh, sedang meninggalkan kuil bersama keluarganya selepas selesai bersembahyang.


Tiba-tiba, seekor monyet menyambar beg tangan isterinya lalu melompat ke atas pokok.


"Beg itu mengandungi rantai bertatah berlian, dua cincin berlian, dua subang berlian dan tiga gelang perak," kata seorang peniaga yang menyaksikan kejadian itu.


Usaha orang ramai untuk mendapatkan semula beg itu tidak berhasil apabila monyet berkenaan hilang dalam sekelip mata.


Sedih dengan jumlah kerugian dialami, keluarga itu terus membuat laporan polis dengan harapan dapat menemui semula barangan berharga itu.


Pihak berkuasa kemudian memulakan operasi pencarian dengan meneliti rakaman CCTV untuk menjejaki laluan monyet terbabit.


Selepas hampir lapan jam, beg berkenaan ditemui ditinggalkan dalam semak dan lebih melegakan apabila semua barang kemas masih kekal berada di dalam beg tangan itu.


"Beg itu dijumpai dalam keadaan di dalamnya tidak terusik," kata Deputi Superintendan Polis Mathura Sadar, Sandeep Kumar Singh.


Walaupun keluarga Agarwal bersyukur dengan penemuan semula barangan mereka, kejadian itu menimbulkan semula kebimbangan terhadap tingkah laku monyet liar di kawasan ibadat sekitar Vrindavan.


Kuil itu memang terkenal dengan gelagat monyet yang gemar mencuri makanan, cermin mata dan kini, beg tangan mewah berisi berlian. - Sumber Times of India.


Antara barang kemas bernilai lebih 20 lakh ditemui semula. - Foto Times of India.

Selasa, 10 Jun 2025

Remaja disiasat kerana menyamar jadi askar demi pikat wanita

Remaja disiasat kerana menyamar jadi askar demi pikat wanita


Seorang remaja di Kota Palu, wilayah Sulawesi Tengah disiasat oleh Tentera Nasional Indonesia (TNI) kerana menyamar sebagai anggota badan beruniform tersebut semata-mata untuk kelihatan hebat dan meyakinkan wanita yang disukainya, lapor laman berita Lambe Turah pada 9 Jun 2025.


Namun, drama penyamaran itu berakhir dengan tragis. Seorang anggota tentera yang curiga dengan pergerakan pelaku akhirnya menangkapnya. Tanpa banyak bicara, pelaku terus dipukul kerana dianggap menghina institusi rasmi negara.


Dalam muat naik video yang tular di media sosial, pelaku kelihatan lebam, mukanya bengkak dan mulutnya kelihatan cedera parah. Kejadian ini dikatakan berlaku selepas dia menjalani proses soal siasat oleh anggota tentera di sebuah ibu pejabat di kawasan Palu.


Menurut maklumat dari akaun Facebook yang berkongsi video kejadian ini pada 1 Jun 2025, pelaku menjalinkan hubungan percintaan dengan seorang wanita yang curiga dengan statusnya. Selepas wanita itu melaporkannya kepada seorang anggota TNI sebenar, identiti palsu pelaku terbongkar.


Menurut lelaki tersebut, dia bertindak demikian kerana mahu kelihatan hebat dan memikat hati teman wanitanya.


Sumber yang sama menyatakan bahawa pelaku telah melarikan diri sebelum akhirnya dapat ditangkap. Dia kini sedang menjalani siasatan lanjut dan berdepan hukuman kerana menipu dan menyalahguna uniform rasmi negara. - Sumber Lambe Turah.


Remaja berkenaan kini disiasat oleh TNI. - Foto Facebook.

Isnin, 9 Jun 2025

'Popeye Rusia' yang miliki lengan paling sado masuk hospital

'Popeye Rusia' yang miliki lengan paling sado masuk hospital

 

Seorang lelaki dari Rusia yang dikenali 'Popeye Rusia' kerana memiliki lengan sasa sebab menyuntik sejenis minyak ke dalam otot lengannya, terpaksa dimasukkan ke hospital selepas mengalami komplikasi kesihatan yang serius, lapor Daily Star pada 8 Jun 2025.


Kirill Tereshin, 28, pempengaruh media sosial yang mendapat jolokan 'Ruki Bazooki' atau 'Bazooka Arms' oleh media Rusia, menjadi terkenal dengan tindakan ekstremnya 'membesarkan' otot bisep menggunakan ramuan buatan sendiri seakan minyak suntikan pembesaran otot (site enhancement oil).


Namun, tindakan berbahayanya itu nampaknya memakan diri.


Empat hari lalu, Tereshin memuat naik gambar di Instagram yang menunjukkan lengannya yang dibalut dengan kain kasa, dipercayai bahan itu bocor selepas menjalani pembedahan.


Dalam gambar berkenaan, latar belakang turut menunjukkan katil serta peralatan hospital.


Kapsyen gambar berkenaan berbunyi: "Pembedahan buang bisep."


Pemerhati menyifatkan Tereshin mungkin akhirnya mendengar nasihat rakan, peminat dan ahli keluarga yang selama ini bimbang akan tahap kesihatannya.


Pada 2017, ibunya, Irina pernah menyatakan secara terbuka dalam siaran televisyen bahawa dia menentang keras perubahan fizikal anaknya dan menyifatkan Tereshin sebagai 'tikus makmal dalam talian'.


Setahun kemudian, seorang doktor Rusia, Evgeny Lilin memberi amaran Tereshin berisiko tinggi untuk kehilangan tangan akibat suntikan itu.


"Tidak serta-merta, tetapi kemungkinan besar dia akan menghadapi amputasi pada masa depan. Satu hari nanti akan timbul bisul, diikuti keradangan dan risiko strok," kata Lilin.


Beberapa hari selepas gambar pertama dimuat naik, Tereshin sekali lagi berkongsi video memaparkan dia menggerakkan lengannya yang kini kelihatan sedikit kecil, namun masih kelihatan cacat dan tidak semula jadi.


Pengguna media sosial tidak melepaskan peluang meninggalkan komen, antaranya: "Macam mana kau nak cari duit sekarang?",


"Saya langsung tak simpati… Tetapi, ada sesiapa terkejut ke?"


Namun, ada juga yang menunjukkan empati: "Saya harap pembedahan kau berjaya dan cepat sembuh."


Sebelum ini, bekas tentera itu pernah menjalani pembedahan untuk membuang otot triseps yang rosak dan membersihkan cecair berlebihan akibat bahan yang disuntik.


Tereshin sendiri mengakui masalah kesihatannya berpunca daripada kebodohannya sendiri selepas mula menyuntik bahan ke dalam lengan sejak usia 20 tahun. - Sumber Daily Star.


Kirill Tereshin. - Foto Instagram.

Ahad, 8 Jun 2025

Ibu gajah enggan berganjak setia tunggu anak terkena jerat di ladang sawit

Ibu gajah enggan berganjak setia tunggu anak terkena jerat di ladang sawit


Aksi seekor ibu gajah liar yang enggan berganjak dari sisi anaknya yang terkena jerat di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Felda Neram II, Kemaman, menyentuh hati dan meraih perhatian ramai.


Kejadian pada Khamis lalu itu tular selepas video berdurasi satu minit tiga saat menunjukkan ibu gajah berkenaan kekal berada di sisi anaknya, meskipun terdapat gajah lain mula meninggalkan lokasi tersebut.


Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, anak gajah itu dipercayai terkena jerat tali lembu yang dipasang oleh penternak di kawasan ladang berkenaan sebelum berjaya diselamatkan oleh pasukan Perhilitan.


Jelas beliau, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 2.30 petang sebelum enam anggota digerakkan ke lokasi berkenaan.


"Sebaik tiba, kami dapati seekor anak gajah terkena jerat di bahagian kaki, manakala lima ekor gajah dewasa berada berhampiran, termasuk ibu kepada anak gajah itu," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.



Menurutnya, bagi memastikan operasi menyelamat berjalan lancar, anggota Perhilitan terpaksa melepaskan tembakan pelali ke arah gajah betina berkenaan.


"Selepas ibu gajah tidak sedarkan diri, anggota Perhilitan bertindak menghalau gajah dewasa lain sebelum memotong jerat yang membelit kaki anak gajah terbabit.


"Pemeriksaan mendapati anak gajah tidak mengalami kecederaan serius dan berada dalam keadaan stabil," katanya.


Beliau berkata, ibu gajah itu kemudiannya diberikan antidot bagi memulihkan kesan pelali sebelum ia kembali sedar dan dilepaskan semula kepada kawanan gajah liar berkenaan.


"Jerat yang dipasang dipercayai milik penternak lembu yang menjadikan kawasan ladang tersebut sebagai laluan ternakan.


"Difahamkan, berlaku gangguan gajah liar di ladang itu pada waktu pagi dan pihak pengurusan ladang telah mengambil langkah menghalau kumpulan tersebut keluar.


"Ada kemungkinan anak gajah itu tersasar lalu terkena jerat ketika cuba kembali ke hutan," jelasnya.


Anggota Perhilitan berusaha mengeluarkan kaki anak gajah yang terkena tali lembu di ladang kelapa sawit berhampiran Felda Neram II, di Kemaman. - Foto Perhilitan Terengganu.

Jumaat, 6 Jun 2025

PGA serbu 'port' pemprosesan ketum di kawasan kebun getah, tahan dua lelaki

PGA serbu 'port' pemprosesan ketum di kawasan kebun getah, tahan dua lelaki


Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan penyalahgunaan dadah dan pengedaran air ketum selepas menyerbu sebuah pondok yang dijadikan 'port' pemprosesan bahan terlarang itu di kawasan kebun getah di Kampung Air Kayan, Tanah Merah, semalam.


Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, menerusi Op Taring Wawasan dilakukan pada jam 5.30 petang itu pihaknya berjaya menahan dua lelaki yang bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.


"Susulan serbuan itu, pemeriksaan lanjut di dalam pondok tersebut menemukan sebanyak 180 kilogram daun ketum, 35 bungkus air ketum, beberapa peralatan memproses ketum serta 7.30 gram dadah jenis syabu," katanya kepada pemberita hari ini.


Menurut beliau, kedua-dua suspek yang ditahan turut didapati positif dadah jenis methamphetamine selepas ujian saringan awal dijalankan.


Ujarnya, kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM9,850 dan telah serahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan lanjut.


Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.


"Pihak PGA akan terus mempertingkatkan usaha bagi membanteras kegiatan pengedaran dadah dan air ketum khususnya di kawasan sempadan negara," katanya.


PGA berjaya menumpaskan kegiatan penyalahgunaan dadah dan pengedaran air ketum selepas menyerbu sebuah pondok yang dijadikan 'port' pemprosesan bahan terlarang itu di kawasan kebun getah di Kampung Air Kayan, di Tanah Merah pada Khamis. - Foto Sinar Harian.

Khamis, 5 Jun 2025

Petani terkejut jumpa 52 ular bersarang di rumahnya

Petani terkejut jumpa 52 ular bersarang di rumahnya


Penduduk sebuah kampung di negeri Uttar Pradesh, India dilanda ketakutan pada malam Ahad (1 Jun) selepas melihat lebih 50 ekor ular muncul di rumah seorang petani, lapor laman berita MS News pada 4 Jun 2025.


Dalam kejadian itu, pemilik rumah bernama Mahfooz Saifi sedang bersiap sedia untuk tidur apabila dia melihat seekor ular sepanjang 45 sentimeter di pekarangan rumahnya.


Selepas membunuh reptilia itu, dia terkejut apabila melihat beberapa ekor ular lain muncul dari bawah tanjakan berhampiran pintu depan.


Berita mengenai ular-ular itu tersebar dengan pantas, membuatkan ramai penduduk kampung bergegas ke rumah Mahfooz.


Mereka membantu lelaki tersebut dan keluarganya membunuh sebanyak 52 ekor ular sebelum menanam haiwan-haiwan itu di dalam lubang.


Pegawai Hutan Bahagian (DFO), Rajesh Kumar yang kemudian pergi membuat pemeriksaan berkata, reptilia itu berkemungkinan daripada spesies tidak berbisa yang biasa ditemui di dalam longkang.


Pakar ular, Aditya Tiwari mengenal pasti reptilia itu sebagai ular air keelback berkotak-kotak, spesies yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar India. - Sumber MS News.


Ular-ular yang dibunuh ditanam di dalam lubang (gambar kiri), dan dipercayai daripada spesies ular air keelback berkotak-kotak (gambar kanan). - Foto X/MS News.