Khamis, 21 Disember 2023

Pakar sahkan fenomena UFO 'berapi' di langit sahih

Pakar sahkan fenomena UFO 'berapi' di langit sahih


Beberapa pakar yang menganlisis rakaman video menunjukkan sebuah objek terbang tidak dikenali (UFO) 'berapi' di langit Quebec, Kanada memutuskan bahawa kejadian itu benar-benar berlaku, lapor portal berita The Sun.


Menurut portal berita itu pada Selasa, minggu lalu, seorang ahli astronomi dan pereka kesan video, Marc D'Antonio percaya terdapat sebuah objek yang terbang di langit tanpa mengira sama ada ia UFO atau sebaliknya.


Rumusan itu dibuat selepas sebuah keluarga melihat UFO berapi itu di Quebec, Kanada pada 2018 ketika waktu siang dan membuat rakaman menggunakan kamera.


Saluran televisyen History bagaimanapun mahukan pendapat kedua. Pihaknya meminta penganalisis penerbangan dan ketenteraan, Tim McMillan yang kemudian menyatakan bahawa objek itu mempunyai permukaan pantulan yang sangat kuat, hampir kelihatan seperti cermin.


Cahaya Matahari memantulkan objek itu dan ia mungkin menyebabkannya kelihatan seperti terbakar dan beliau berkata, UFO tersebut hampir menyerupai belon mylar yang berwarna perak serta berkilat.


Lebih dekat anda melihat video, anda boleh melihat kedutan objek dan warna perak menyerupai belon huruf separuh kempis, seolah-olah kelihatan seperti huruf 'H' atau 'J.'


Walaupun UFO tidak diketepikan secara rasmi, pakar percaya ia hampir menyerupai belon mylar perak.


Belon mylar diperbuat daripada plastik bersalut logam dan mempunyai warna yang terang. - Sumber The Sun.


Sebuah UFO yang 'terbakar' terbang di langit Quebec pada 2018. - Foto History.

Tim McMillan percaya objek itu menyerupai belon mylar perak dan matahari memantulkannya. - Foto History.
Beli topeng antik hanya RM766, jual semula RM21.4 juta

Beli topeng antik hanya RM766, jual semula RM21.4 juta


Seorang peniaga barangan antik yang membeli sebuah topeng Afrika berharga cuma €150 (RM766) sebelum menjualnya semula pada harga €4.2 juta (RM21.4 juta), menang perbicaraan kes saman oleh pemilik asal objek itu yang menuduh dia menipu mereka, lapor portal berita MailOnline pada 19 Disember 2023.


Sepasang suami isteri dari Perancis berusia lingkungan 80-an menjual patung kayu tersebut kepada defendan pada September 2021 sebagai sebahagian daripada jualan koleksi barangan antik lain.


Objek-objek yang dijual itu sebelum ini disimpan di rumah mereka di selatan Perancis dikatakan milik seorang nenek moyang yang pernah menjadi gabenor di Afrika, dan dipercayai tidak bernilai.


Mereka menjual patung berkenaan pada harga €150, namun pada Mac 2022, ia dijual semula kepada seorang pembeli yang tidak didedahkan identitinya dalam satu acara lelongan pada harga mencecah €4.2 juta.


Pasukan pelelong menyifatkan ia sebagai topeng abad ke-19 yang sangat jarang ditemui milik kumpulan rahsia Fang di Gabon. Kumpulan rahsia Fang berasal daripada etnik Bantu. Dikatakan hanya sekitar 10 topeng berkenaan masih wujud sehingga kini.


Pasangan itu memfailkan injunksi untuk membatalkan penjualan asal dengan alasan terdapat 'ralat pengesahan'. Mereka juga mendakwa bahawa defendan sedar nilai sebenar objek itu pada masa pembelian dan menawarkan harga murah untuk menipu mereka.


Namun, mahkamah menolak permintaan itu dengan mengatakan bahawa pasangan tersebut gagal membuat sebarang percubaan untuk mendapatkan pengesahan tentang nilai sebenar topeng itu sebelum menjualnya.


Mahkamah juga memutuskan bahawa defendan yang bukan seorang pakar seni Afrika, tidak menipu pasangan suami isteri tersebut. - Sumber Daily Mail.


Topeng dikenali sebagai Ngil dipercayai satu daripada hanya 10 yang masih wujud di dunia. - Foto AFP.

Selasa, 19 Disember 2023

Jurugambar dakwa rakam imej UFO warna-warni di langit

Jurugambar dakwa rakam imej UFO warna-warni di langit


Seorang jurugambar yang berpangkalan di Chicago, Amerika Syarikat (AS) merakam imej objek terbang tidak dikenali (UFO) yang menakjubkan kerana ia didakwa boleh bertukar warna, lapor portal berita The News International pada 16 Disember lalu.


Rekod rasmi Pentagon sebelum ini telah memaklumkan bahawa UFO biasanya berbentuk bulat, segi tiga, atau pun bujur putih yang menyerupai 'Tic Tac.'


Kerajaan AS kini boleh memasukkan bentuk baharu dalam senarainya yang tidak seperti apa yang pernah kita lihat.


Dietrich Zeigler berkata: "Ia berlaku pada waktu petang, tepat ketika matahari terbenam di bawah ufuk. Setelah melihat beberapa warna berkilauan, saya mengeluarkan lensa bersaiz 70 hingga 200 milimeter dan merakamnya."


Tambah Zeigler, penampilan objek itu amat menarik dengan set warna ungu, emas dan hijau.


"Ia seolah-olah bertukar warna tetapi bentuknya kekal sama dan kelihatan seperti topeng.


"Selepas masuk ke dalam rumah untuk meneliti foto yang dirakam, saya tidak lagi dapat mengesannya (UFO) di langit," jelasnya. - Sumber The News International.


Zeigler merakam gambar UFO yang mempunyai pelbagai warna di langit Chicago baru-baru ini. - Foto Dietrich Zeigler.
Kereta perompak dicuri semasa mereka melakukan rompakan

Kereta perompak dicuri semasa mereka melakukan rompakan


Tiga penjenayah bersenjatakan pistol yang merompak sebuah premis tunai cek diberkas polis akibat gagal melarikan diri selepas kereta digunakan mereka dilarikan pencuri, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) pada 18 Disember 2023.


Polis Bandar Commerce, Colorado dalam satu kenyataan berkata, kejadian pada Sabtu lalu itu berlaku apabila tiga perompak bersenjata dan bertopeng cuba merompak perniagaan Tunai Cek Hi Lo.


"Ketika mereka sedang melakukan rompakan, seorang penjenayah lain mencuri kenderaan mereka di luar premis.


"Namun, sebelum sempat kumpulan perompak itu melarikan diri tanpa kenderaan, polis tiba di lokasi kejadian dan menahan kesemua mereka," kata polis.


Menurut berita tempatan, mereka dipercayai berusia bawah 18 tahun. Tiada kemalangan jiwa dalam insiden itu, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan.


Menurut data FBI terkini, kecurian kereta semakin meningkat di AS, meningkat hampir 11% pada 2022. Sementara itu, kedai tunai cek, yang mempunyai ratusan dolar wang tunai sering menjadi sasaran rompakan. - Sumber BBC News.

 

Polis tiba di lokasi kejadian ketika kumpulan perompak belum sempat melarikan diri. - Foto Jabatan Polis Bandar Commerce.

Wanita pengsan, alat sulit dipukul jiran kerana kencing merata

Wanita pengsan, alat sulit dipukul jiran kerana kencing merata

(Foto DNA India)

Seorang wanita di India cedera parah akibat dibelasah beberapa jirannya kerana membuang air kecil berhampiran rumah mereka, lapor stesen penyiaran NDTV pada 17 Disember 2023.


Mangsa yang berusia 35 tahun dipukul di bahagian alat sulit menggunakan batang besi sehingga pengsan.


Kejadian itu berlaku di sebuah kampung selepas mangsa membuang air kecil di sebuah longkang berhampiran rumahnya sebelum dilihat jiran-jiran lalu membelasahnya.


"Insiden itu berlaku di kawasan balai polis Misi Ram Chandra, mangsa dikatakan membuang air kecil di dalam longkang berhampiran rumahnya, dan berselisih dengan jirannya.


"Jiran-jiran itu didakwa menggunakan sebatang besi untuk memukul mangsa pada bahagian sulitnya yang menyebabkan mangsa cedera parah dan pengsan," kata Pegawai Circle BS Veer Kumar.


Tambah kumar, mangsa kemudian dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan. - Sumber NDTV.


Wanita itu dipukul jiran selepas membuang air kecil di longkang. - Foto NDTV.

Ahad, 17 Disember 2023

Budak hilang 6 tahun lalu ditemukan di kawasan pergunungan

Budak hilang 6 tahun lalu ditemukan di kawasan pergunungan


Kanak-kanak United Kingdom (UK) yang hilang di Sepanyol, enam tahun lalu, ketika dia berusia 11 tahun, ditemukan di kawasan pergunungan di Perancis, lapor laman berita BBC News pada 15 Disember 2023.


Pendakwa raya Toulouse mengesahkan, Alex Batty, kini 17 tahun, ditemukan berhampiran bandar Revel di tenggara bandar Toulouse.


"Kami mengesahkan identitinya dan dia kini akan kembali ke Britain," katanya dalam satu kenyataan kepada AFP.


Polis Manchester berkata, remaja lelaki itu yang berasal dari bandar Oldham, meninggalkan UK pada September 2017 untuk pergi bercuti bersama ibu dan datuknya di Sepanyol.


Neneknya, Susan Caruana yang berpisah dengan datuk remaja itu, memberitahu dia sangat gembira cucunya akhirnya ditemukan.



"Ia sangat mengejutkan tetapi saya sangat gembira. Saya juga sudah bercakap dengannya dan dia sihat, dia kini bersama pihak berkuasa di Perancis," katanya kepada akhbar The Sun.


Dalam pada itu, akhbar serantau La Depeche du Midi melaporkan, remaja itu ditemukan seorang pelajar, Fabien Accidini selepas dia dilihat berjalan dalam hujan berhampiran Toulouse di kawasan pergunungan itu.


Accidini, yang menghantar ubat ke farmasi di kawasan itu berkata, Alex Batty, menceritakan kisahnya.


"Dia menjelaskan bahawa dia telah berjalan selama empat hari, dia bertolak dari sebuah tempat di pergunungan, walaupun dia tidak menyatakan di mana.


"Dia berkata, ibunya menculiknya dan sejak itu, dia tinggal di Sepanyol iaitu di sebuah rumah mewah dengan kira-kira 10 penghuni. Dia kemudian tinggal bersama ibunya di Perancis pada 2021," kata Accidini.


Alex menggunakan telefon Accidini untuk menghantar mesej kepada neneknya di UK, mengatakan "Saya sayang awak, saya mahu pulang".


La Depeche melaporkan, remaja itu pernah tinggal di Perancis bersama ibu dan datuknya dalam komuniti nomad di Aude dan Ariege.


Ibu dan datuk Alex tidak mempunyai hak penjagaan terhadapanya. Setakat ini, tiada maklumat mengenai keberadaan mereka serta prosiding undang-undang yang bakal mereka hadapi. - Sumber BBC News.


Alex Batty, tengah, hilang bersama ibunya, Melanie Batty, dan datuk, David Batty. - Foto BBC News yang disiarkan pada 2018 lalu.

Sabtu, 16 Disember 2023

Pergunungan Tabuk di barat laut Arab Saudi dilanda salji

Pergunungan Tabuk di barat laut Arab Saudi dilanda salji


Dalam satu perubahan cuaca yang jarang berlaku, kawasan pergunungan Tabuk di barat laut Arab Saudi telah dilanda salji, lapor portal berita Gulf News pada 14 Disember 2023.


Seorang jurugambar, Fahd Al Masoudi merakamkan pemandangan menakjubkan itu pada Selasa, mempamerkan ketinggian dan lembah yang dilitupi salji di rantau ini dalam paparan yang menakjubkan.


Beliau menggambarkan pemandangan di gunung itu membuatkan 'jiwa dan mata menjadi tenang' dan membawa kegembiraan kepada penduduk dan peminat fotografi.


Salji di Tabuk berlaku pada musim sejuk dengan ramai penduduk tempatan menyaksikan fenomena yang jarang berlaku itu.


Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi sebelum ini meramalkan ribut petir yang berpotensi mencetuskan hujan lebat, angin kencang dan hujan batu merentasi pelbagai wilayah termasuk Tabuk, Madinah dan sebahagian kota suci Mekah.


Laporan meteorologi juga meramalkan berlakunya penurunan suhu yang ketara di kebanyakan tempat di negara itu. - Sumber Gulf News.


Al Masoudi merakamkan salji melanda pergunungan Tabuk, Selasa lalu. - Foto X/@Akhbaar24.

Jumaat, 15 Disember 2023

300 batu karang dikeluarkan daripada badan wanita berusia 20 tahun

300 batu karang dikeluarkan daripada badan wanita berusia 20 tahun


Hospital Taiwan, baru-baru ini, berjaya membuang lebih 300 batu karang dalam buah pinggang wanita yang gemar mengamalkan minum teh bubble berbanding air putih, lapor laman berita Taiwan News pada 10 Disember lalu.


Wanita itu, Xiao Yu, 20, dimasukkan ke hospital di bandar Tainan, minggu lalu. Wanita muda itu mengalami demam dan sakit pada bahagian bawah punggungnya, lapor ET Today.


"Melalui imbasan ultrabunyi, doktor di jabatan kecemasan mendapati buah pinggang kanannya bengkak dengan ada cecair dan batu karang di dalamnya.


"Imbasan CT mendedahkan, batu karang itu berukuran kira-kira lima milimeter hingga dua sentimeter.


"Ujian darahnya menunjukkan bilangan sel darah putih yang tinggi," kata hospital itu dalam artikel disiarkan di laman web mereka, 8 Disember lalu.


Hospital itu memaklumkan, doktor memberi wanita rawatan antibiotik, untuk mengalirkan cecair dari buah pinggangnya dan melakukan pembedahan invasif minimum untuk membuang lebih 300 batu karang yang kelihatan seperti roti kukus kecil.


"Keadaan pesakit stabil selepas pembedahan dan dibenarkan keluar selepas beberapa hari pemerhatian doktor," katanya.


Artikel itu mengatakan, Xiao Yu tidak suka minum air putih dan sering mengamalkan teh bubble. Penyebab lain batu karang termasuk faktor genetik, penyakit kronik, serta diet yang tinggi kalsium dan protein.


Menurut Dr Lim Chye-yang, pakar Urologi di Hospital Chi Mei yang melakukan pembedahan itu menggesa orang ramai untuk minum banyak air untuk memastikan badan dapat memproses pengambilan bahan seperti gula, garam dan kalsium secukupnya.


"Wanita muda ini adalah contoh melampau tentang bahaya kekurangan penghidratan yang betul dan tabiat pemakanan yang tidak sihat," katanya.


Menurutnya, 9.6 peratus penduduk di Taiwan mungkin mengalami batu karang dalam hidup mereka. Golongan lelaki lebih tiga kali berkemungkinan berisiko mendapat batu karang berbanding wanita.


"Pesakit yang menghidap batu karang biasanya berumur antara 50 hingga 60 tahun.


"Kes batu karang lebih kerap berlaku pada musim bunga dan panas kerana cuaca panas yang menyebabkan orang ramai mungkin lebih dehidrasi.


"Apabila air kencing menjadi lebih pekat, mineral bergabung dan bertukar kepada kristal untuk membentuk 'batu'," katanya. - Sumber Taiwan News.


Batu karang dalam buah pinggang Xiao Yu. -  Foto Pusat Perubatan Chi Mei.

Rabu, 13 Disember 2023

Petani bunuh 10 pembunuh upahan kartel dadah kerana menaikkan cukai pemerasan

Petani bunuh 10 pembunuh upahan kartel dadah kerana menaikkan cukai pemerasan


Pertempuran antara orang awam dan salah satu kartel dadah kejam di Mexico meragut 14 nyawa termasuk 10 pembunuh upahan kumpulan penjenayah tersebut, lapor laman berita Daily Star pada 12 Disember 2023.


Empat yang lain cedera akibat terkena tembakan dan dua orang hilang dalam keganasan yang berlaku di padang bola sepak di Negeri Mexico, Jumaat lalu (8 Disember).


Menurut media tempatan, kartel dadah La Familia Michoacana mengumumkan baru-baru ini bahawa ia menaikkan cukai pemerasan yang dikenakan terhadap petani di bandar Texcaltitlán.


Cukai tersebut adalah perkara biasa di seluruh Mexico, dengan pemilik-pemilik perniagaan membayar kartel dadah supaya mereka dapat beroperasi tanpa gangguan.


Kumpulan petani Texcaltitlán bertemu dengan anggota-anggota La Familia Michoacana untuk berunding. Bagaimanapun, keganasan tercetus selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan mengenai jumlah cukai yang perlu dibayar.


Rakaman video dari padang bola sepak menunjukkan orang ramai berlari sambil bunyi tembakan kedengaran. Klip video itu turut memaparkan kenderaan terbakar dan mayat bergelimpangan di tempat kejadian.


Media tempatan melaporkan, empat daripada mangsa yang maut ialah petani tempatan, dan 10 yang lain merupakan anggota kartel. Beberapa penjenayah juga telah ditetak dengan parang.


Ketua tempatan La Familia Michoacana, Rigoberto de la Sancha Santillan yang juga dikenali sebagai 'El Payaso' terbunuh dalam pertempuran itu.


Ketua Pejabat Peguam Negara Mexico, José Luis Cervantes Martínez berkata, El Payaso bertanggungjawab ke atas kematian 13 anggota pasukan keselamatan Mexico pada 2021.


Beliau juga mengesahkan bahawa El Payaso dibunuh oleh orang awam pada Jumaat lalu, bersama-sama dua pembunuh upahan kanan La Familia Michoacana.


Gabenor Negeri Mexico, Delfina Gómezpula mengutuk sekeras-kerasnya keganasan yang berlaku. 


"Kejadian ini tidak melumpuhkan kami, sebaliknya, ia mengukuhkan keazaman kami untuk meningkatkan keadaan keselamatan di negeri tercinta kami. Yakinlah bahawa kami akan terus berusaha supaya kejadian seperti ini tidak berulang," katanya. - Sumber Daily Star.


Petani dan anggota kartel berkumpul di sebuah padang bola di Negeri Mexico untuk membincangkan isu cukai pemerasan pada Jumaat lalu. - Foto Daily Star.

Selasa, 12 Disember 2023

'Bandar hari kiamat' kubu bawah tanah kini dibuka untuk tempahan

'Bandar hari kiamat' kubu bawah tanah kini dibuka untuk tempahan


Sebuah 'bandar hari kiamat' di negeri Dakota Selatan, AS, dibuka untuk tempahan bagi orang ramai yang mahu hidup di dalam kubu bawah tanah (bunker) mewah ketika dunia berada dalam keadaan kacau-bilau, lapor akhbar The Sun pada 6 Disember lepas.


Terletak di kawasan pergunungan Black Hills, projek dikenali sebagai Vivos itu boleh menempatkan sehingga 10,000 orang di dalam 575 bunker.


Ia merupakan bekas tapak pangkalan tentera seluas 28.9 kilometer yang pernah digunakan untuk menyimpan bom dan senjata dari tahun 1942 hingga 1967.



"Kesan daripada ancaman pandemik Covid-19, perang Ukraine serta risiko Perang Dunia Ketiga meletus dari Russia hingga ke China dan Asia Barat menyebabkan permintaan untuk pemilikan bunker Vivos berkembang pantas.


"Kita hidup dalam tempoh masa yang sangat berbahaya. Justeru, adalah menjadi satu keperluan untuk mempunyai penyelesaian perlindungan jaminan hayat," kata Pengarah Eksekutif Vivos, Dante Vicino.


Bunker moden tersebut menawarkan pelbagai keperluan menyerupai perbandaran termasuk gimnasium dan pawagam, manakala unit sewaan pula dilengkapi dengan perabot asas termasuk sofa, meja kopi, dapur, peti sejuk, mesin basuh dan meja makan.


Tempat perlindungan itu juga dilaporkan dilengkapi sekurang-kurangnya satu tahun operasi autonomi tanpa orang perlu kembali ke permukaan. - Sumber The Sun.


Vivos boleh menempatkan sehingga 10,000 orang dalam 575 bunker. - Foto Jam Press/Terravivos.

Malah terdapat bilik pawagam untuk kegunaan penduduk. - Foto Jam Press/Terravivos.

Terdapat empat jenis bunker yang berbeza, pelan A, pelan B, pelan C dan pelan D. - Foto Jam Press/Terravivos.