Ahad, 17 Disember 2023

Budak hilang 6 tahun lalu ditemukan di kawasan pergunungan


Kanak-kanak United Kingdom (UK) yang hilang di Sepanyol, enam tahun lalu, ketika dia berusia 11 tahun, ditemukan di kawasan pergunungan di Perancis, lapor laman berita BBC News pada 15 Disember 2023.


Pendakwa raya Toulouse mengesahkan, Alex Batty, kini 17 tahun, ditemukan berhampiran bandar Revel di tenggara bandar Toulouse.


"Kami mengesahkan identitinya dan dia kini akan kembali ke Britain," katanya dalam satu kenyataan kepada AFP.


Polis Manchester berkata, remaja lelaki itu yang berasal dari bandar Oldham, meninggalkan UK pada September 2017 untuk pergi bercuti bersama ibu dan datuknya di Sepanyol.


Neneknya, Susan Caruana yang berpisah dengan datuk remaja itu, memberitahu dia sangat gembira cucunya akhirnya ditemukan.



"Ia sangat mengejutkan tetapi saya sangat gembira. Saya juga sudah bercakap dengannya dan dia sihat, dia kini bersama pihak berkuasa di Perancis," katanya kepada akhbar The Sun.


Dalam pada itu, akhbar serantau La Depeche du Midi melaporkan, remaja itu ditemukan seorang pelajar, Fabien Accidini selepas dia dilihat berjalan dalam hujan berhampiran Toulouse di kawasan pergunungan itu.


Accidini, yang menghantar ubat ke farmasi di kawasan itu berkata, Alex Batty, menceritakan kisahnya.


"Dia menjelaskan bahawa dia telah berjalan selama empat hari, dia bertolak dari sebuah tempat di pergunungan, walaupun dia tidak menyatakan di mana.


"Dia berkata, ibunya menculiknya dan sejak itu, dia tinggal di Sepanyol iaitu di sebuah rumah mewah dengan kira-kira 10 penghuni. Dia kemudian tinggal bersama ibunya di Perancis pada 2021," kata Accidini.


Alex menggunakan telefon Accidini untuk menghantar mesej kepada neneknya di UK, mengatakan "Saya sayang awak, saya mahu pulang".


La Depeche melaporkan, remaja itu pernah tinggal di Perancis bersama ibu dan datuknya dalam komuniti nomad di Aude dan Ariege.


Ibu dan datuk Alex tidak mempunyai hak penjagaan terhadapanya. Setakat ini, tiada maklumat mengenai keberadaan mereka serta prosiding undang-undang yang bakal mereka hadapi. - Sumber BBC News.


Alex Batty, tengah, hilang bersama ibunya, Melanie Batty, dan datuk, David Batty. - Foto BBC News yang disiarkan pada 2018 lalu.


EmoticonEmoticon