Jumaat, 15 Disember 2023

300 batu karang dikeluarkan daripada badan wanita berusia 20 tahun


Hospital Taiwan, baru-baru ini, berjaya membuang lebih 300 batu karang dalam buah pinggang wanita yang gemar mengamalkan minum teh bubble berbanding air putih, lapor laman berita Taiwan News pada 10 Disember lalu.


Wanita itu, Xiao Yu, 20, dimasukkan ke hospital di bandar Tainan, minggu lalu. Wanita muda itu mengalami demam dan sakit pada bahagian bawah punggungnya, lapor ET Today.


"Melalui imbasan ultrabunyi, doktor di jabatan kecemasan mendapati buah pinggang kanannya bengkak dengan ada cecair dan batu karang di dalamnya.


"Imbasan CT mendedahkan, batu karang itu berukuran kira-kira lima milimeter hingga dua sentimeter.


"Ujian darahnya menunjukkan bilangan sel darah putih yang tinggi," kata hospital itu dalam artikel disiarkan di laman web mereka, 8 Disember lalu.


Hospital itu memaklumkan, doktor memberi wanita rawatan antibiotik, untuk mengalirkan cecair dari buah pinggangnya dan melakukan pembedahan invasif minimum untuk membuang lebih 300 batu karang yang kelihatan seperti roti kukus kecil.


"Keadaan pesakit stabil selepas pembedahan dan dibenarkan keluar selepas beberapa hari pemerhatian doktor," katanya.


Artikel itu mengatakan, Xiao Yu tidak suka minum air putih dan sering mengamalkan teh bubble. Penyebab lain batu karang termasuk faktor genetik, penyakit kronik, serta diet yang tinggi kalsium dan protein.


Menurut Dr Lim Chye-yang, pakar Urologi di Hospital Chi Mei yang melakukan pembedahan itu menggesa orang ramai untuk minum banyak air untuk memastikan badan dapat memproses pengambilan bahan seperti gula, garam dan kalsium secukupnya.


"Wanita muda ini adalah contoh melampau tentang bahaya kekurangan penghidratan yang betul dan tabiat pemakanan yang tidak sihat," katanya.


Menurutnya, 9.6 peratus penduduk di Taiwan mungkin mengalami batu karang dalam hidup mereka. Golongan lelaki lebih tiga kali berkemungkinan berisiko mendapat batu karang berbanding wanita.


"Pesakit yang menghidap batu karang biasanya berumur antara 50 hingga 60 tahun.


"Kes batu karang lebih kerap berlaku pada musim bunga dan panas kerana cuaca panas yang menyebabkan orang ramai mungkin lebih dehidrasi.


"Apabila air kencing menjadi lebih pekat, mineral bergabung dan bertukar kepada kristal untuk membentuk 'batu'," katanya. - Sumber Taiwan News.


Batu karang dalam buah pinggang Xiao Yu. -  Foto Pusat Perubatan Chi Mei.


EmoticonEmoticon