Ahad, 3 Disember 2023

AS menyembunyikan 9 'kapal makhluk asing' yang terhempas di bumi

AS menyembunyikan 9 'kapal makhluk asing' yang terhempas di bumi


Kerajaan Amerika Syarikat (AS) didakwa menyembunyikan sembilan kapal angkasa asing yang ditemui oleh sepasukan skuad rahsia yang terhempas di seluruh dunia selama beberapa dekad, lapor akhbar Daily Star pada 29 November lalu.


Beberapa sumber memberitahu portal berita DailyMail bahawa 'kapal angkasa makhluk asing' itu adalah termasuk beberapa kapal angkasa yang terhempas dan tidak musnah.


Objek terbang tidak dikenali (UFO) itu ditemui oleh sayap Agensi Perisikan Pusat (CIA) dikenali sebagai Pejabat Akses Global (OGA).


OGA telah terlibat dalam pengumpulan UFO untuk Direktorat Sains dan Teknologi CIA sejak 2003.


Menurut tiga sumber tersebut, maklumat itu diambil daripada individu-individu yang terlibat dalam misi mengumpulkan kapal-kapal angkasa tersebut.


Menurut sumber, CIA mempunyai sistem untuk 'mengesan UFO semasa ia menjadi halimunan'. Unit khas tentera akan dihantar selepas kapal angkasa itu terhempas.


UFO yang dikumpulkan tidak akan disimpan di bawah kawalan tentera untuk masa yang lama kerana terlalu banyak rekod. Ia biasanya akan dipindahkan ke 'tangan peribadi'.


Pada bulan Julai lalu, Ketua Majoriti Senat Chuck Schumer menaja rang undang-undang yang luar biasa untuk membenarkan pendedahan 'memulihkan teknologi yang tidak diketahui asalnya dan bukti biologi kecerdasan bukan manusia' dan kini telah diluluskan di Senat.


Sumber yang bercakap dengan DailyMail menjelaskan bagaimana CIA menyelaraskan pemulihan dan penyimpanan rahsia UFO yang didakwa terhempas atau mendarat ini. - Sumber Daily Mail.


Video dirakam oleh juruterbang tentera laut AS menunjukkan interaksi dengan 'fenomena udara tidak dikenal pasti'. - Foto DoD/AFP/Getty Images.
Polis terkejut, seorang lelaki hanya kerja mengemis mampu tinggal di hotel

Polis terkejut, seorang lelaki hanya kerja mengemis mampu tinggal di hotel


Seorang pengemis yang berjaya ditangkap oleh pihak berkuasa daerah di Ponorogo, Jawa Timur, Indonesia mengaku menginap di sebuah hotel di bandar itu selama seminggu, lapor portal berita Tribun Trends pada 2 Disember 2023.


Ketua Unit Polis Perkhidmatan Awam (Satpol), Subiantoro menyatakan bahawa anggota-anggotanya terkejut apabila mengetahui pengemis itu datang dari luar bandar dan menginap di sebuah hotel.


Beliau menjelaskan, anggota-anggotanya melakukan serbuan terhadap busker dan pengemis menyebabkan di juga ditangkap dalam operasi tersebut baru-baru ini.


"Pengemis itu penduduk Jombang dan terdapat kunci hotel di dalam begnya. Dia menaiki bas dari Jombang. Dia tiba di sini untuk mengemis dan tinggal di hotel," kata Subiantoro.


Tambah Subiantoro, lelaki itu tinggal seminggu di hotel dan jumlah wang yang diperoleh hasil mengemis masih tidak diketahui.


Namun, pengemis yang berani menginap di hotel perlu mempunyai wang sumbangan orang ramai lebih 100,000 rupiah (RM30.28) sehari.


"Berapa harga hotel? Berani bermalam dan sudah lebih seminggu. Hotel ini berada di tengah-tengah bandar, ia bukan hotel bajet yang remeh," kata Subiantoro kepada Tribunjatim.com.


Menurut beliau, ada juga pengemis yang berpura-pura buta di lampu isyarat merah di Bandung untuk mendapat belas kasihan rakyat dan kini diburu Perkhidmatan Sosial. - Sumber Tribun Trends.


Gambar fail menunjukkan seorang lelaki dipercayai pengemis ditangkap di Karimun. - Foto Batamnews.

Sabtu, 2 Disember 2023

Dijaga sejak berusia 10 hari, lelaki cederakan ibu angkat mahu hak milik rumah

Dijaga sejak berusia 10 hari, lelaki cederakan ibu angkat mahu hak milik rumah


Seorang lelaki tergamak mencederakan ibu angkatnya sendiri yang membelanya sejak berusia 10 hari hanya kerana urusan hak milik rumah dalam kejadian pada 11 November lalu.


Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, wanita berusia 67 tahun yang merupakan pesara itu membuat laporan polis pada Selasa lepas, berhubung kejadian itu.


Beliau berkata, lelaki berusia 25 tahun itu adalah anak angkat wanita berkenaan yang dibelanya sejak berumur 10 hari.


"Kejadian berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari di rumah pengadu di Taman Seremban Jaya Idaman.


"Perselisihan faham dikatakan berlaku apabila suspek mendesak hak milik rumah pengadu dipindahkan kepada anak suspek.


"Suspek didakwa tiba-tiba membaling sesuatu ke arah pengadu sehingga menyebabkan mata kirinya cedera dan mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban selama 14 hari," katanya.


Ujarnya, suspek juga telah mengambil kenderaan jenis Honda Civic milik pengadu untuk kegunaannya.


Menurutnya, lelaki itu kini direman selama empat hari selepas ditahan di Taman BBS, Gombak, Selangor, pukul 1.50 tengah hari Rabu lalu.


"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod membabitkan dua kes dadah dan satu jenayah.


"Kes seterusnya disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Jumaat, 1 Disember 2023

AS dedah dokumen sulit temui beribu-ribu UFO di orbit Bumi

AS dedah dokumen sulit temui beribu-ribu UFO di orbit Bumi


Tentera Angkasa Lepas Amerika Syarikat (USSF) mengesan beribu-ribu objek terbang tidak dikenali (UFO) di orbit Bumi, demikian laporan portal berita DailyMail pada 30 November 2023 yang memetik senaskhah dokumen sulit.


Laporan itu mendedahkan bahawa UFO berulang kali ditemui sejak kebelakangan ini sehingga menjadi sukar untuk mengenal pasti sama ada ia menimbulkan ancaman kepada manusia.


Berdasarkan laporan tersebut, unit pasukan USSF iaitu Komando Latihan dan Kesediaan Angkasa Lepas (STARCOM) menemui banyak penampakan UFO di orbit Bumi pada bulan lalu.


Antara penemuan itu termasuk sampah angkasa lepas buatan manusia dan 'serpihan semula jadi' seperti meteoroid dilancarkan oleh 'musuh Amerika Syarikat (AS) yang terus melancarkan satelit pengintip seperti Malligyong-1 oleh Korea Utara dan sebagainya.


USSF menyuarakan kebimbangan bahawa sampah angkasa lepas buatan manusia itu memenuhi kawasan yang tidak diperhatikan antara Bumi dan Bulan dipanggil orbit 'cislunar', menjadikannya sukar untuk mengenal pasti sebarang potensi ancaman dan mengatasinya.


Dalam laporan baharu mereka, yang diterbitkan bulan November lepas, USSF menekankan kepentingan mencari 'ancaman' serius ini di kalangan 'bahaya' seperti sampah angkasa.


Laporan itu juga menggunakan beberapa istilah bagi merujuk penemuan tersebut seperti 'pemerhatian tidak normal' tetapi tidak menjelaskan maksudnya.


Ia juga tidak menjelaskan apakah 'corak kehidupan' yang telah dikesan daripada orbit yang tidak diketahui. - Sumber Daily Mail.


Kebanyakan kekacauan yang mengorbit Bumi adalah sampah angkasa lepas buatan manusia dan 'serpihan semula jadi' seperti meteoroid. - Foto US Space Force / NASA.
Suami naik gila tanggung hutang isteri 'kaki judi' nekad lari dari rumah

Suami naik gila tanggung hutang isteri 'kaki judi' nekad lari dari rumah


Seorang suami terpaksa menanggung bebanan hutang ceti haram yang diambil isterinya tanpa pengetahuannya semata-mata memuaskan nafsu berjudi atas talian.


Pemandu e-hailing yang ingin dikenali sebagai Chong, 39, berkata, dia memilih tidak lagi tinggal bersama isterinya sejak beberapa bulan lalu selepas tidak tahan menanggung hutang.


Tambah Chong, dia serik selepas dikejar empat orang along berlainan termasuk juga jumlah pinjaman dilakukan isterinya mencecah puluhan ribu.


"Dia (isteri) pinjam duit untuk kegunaan judi atas talian, rasa sangat tertekan kerana saya dipaksa along untuk pulangkan duit yang dipinjam, pinjaman tersebut pula tanpa pengetahuan saya.


"Buat masa ini, saya sudah membayar RM18,000 kepada mereka tapi masih tidak tahu berapa lagi yang perlu dibayar.


"Saya mengambil langkah ekstrim dengan menjual tapak pasar malam di Perak dan meminjam wang daripada sumber lain untuk membayar balik sebahagian hutang," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan DAP, Cheras, hari ini.


Katanya, setiap kali meminta penjelasan, isterinya akan memberi pelbagai alasan yang tidak masuk akal membuatkannya buntu dan meminta bantuan pihak DAP.


Choong berkata, tidak dapat dipastikan berapa nilai sebenar yang dipinjam atau jumlah along yang sudah memberikan pinjaman kepada isterinya itu.


"Saya tidak mampu lagi untuk membayar hutang dan membuat keputusan tidak pulang ke rumah lagi dengan harapan isteri akan sedar," katanya.


Menurutnya, dia kini sudah tidak mampu membayar ansuran bulanan kereta berikutan terpaksa membayar hutang.


"Saya tidak dapat membuat laporan polis disebabkan tiada bukti along ini mengganggu keluarga atau kediaman (secara fizikal).


"Bagaimanapun gambar isteri saya disebar di sosial media oleh along kerana tidak membayar hutang dan ini menyukarkan saya kerana keluarga terdekat sudah tahu," katanya.


Menurut Chong, isterinya yang bekerja sebagai juruwang di kedai serbaneka di Johor mula ketagihan bermain judi selepas mencuba permainan itu di sebuah kasino di Genting, Pahang, awal tahun ini.


Mangsa ketika membuat aduan di bilik gerakan DAP Cheras hari ini. - Foto Kosmo Online.

Khamis, 30 November 2023

Penduduk belasah dua lelaki 'gay' berasmara dalam sebuah beca

Penduduk belasah dua lelaki 'gay' berasmara dalam sebuah beca


Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan tindakan beberapa penduduk memukul dua lelaki warga emas yang ditangkap sedang berasmara di dalam sebuah beca, lapor laman berita DetikSumut, hari ini.


Dalam video tersebut, seorang lelaki memakai baju hitam dilihat menghampiri sebuah beca tidak bergerak sambil memegang sebatang kayu.


Dia kemudian memukul beca tersebut menggunakan kayu sebelum dua lelaki separuh usia keluar daripada kenderaan itu. Salah seorang daripada mereka hanya memakai seluar, manakala seorang lagi tidak berpakaian.


Lelaki yang menangkap mereka kemudian menghayunkan kayu ke arah salah seorang warga emas berkenaan sambil memarahi mereka.


"Lelaki dengan lelaki rupanya," katanya.


Menurut seorang penduduk setempat yang dikenali sebagai Roni, kejadian itu berlaku pada Ahad lalu (26/11/2023) sekitar pukul 9.30 pagi (waktu tempatan) di Jalan Sei Deli, Bandaraya Medan.


Menurutnya, seorang penduduk pada awalnya melihat beca itu bergoyang sebelum mereka membuat keputusan menyerbu kenderaan itu.


"Mereka dimarahi penduduk, namun nasib mereka selepas itu tidak diketahui," katanya.


Dalam pada itu, Ketua Polis Medan Barat, Komisioner Polis Rizki Amalia mengesahkan kejadian itu, namun berkata, penduduk tidak menyerahkan pelaku kepada polis.


"Maklumat itu sudah kami peroleh. Penduduk mengatakan memang benar dua lelaki kedapatan melakukan perbuatan itu di dalam beca.


"Selepas ditangkap, dua lelaki itu dihalau begitu sahaja," kata Rizki kepada detikSumut, Khamis (30/11/2023).


Tambah Rizki, salah seorang lelaki yang ditangkap adalah pemandu beca dan bukan penduduk tempatan. - Sumber DetikSumut.


Lelaki yang menangkap pelaku menghayunkan kayu kepada salah seorang warga emas berkenaan sambil memarahi mereka. - Foto Istimewa.
Padah sering tunjuk 'kemaluan' pada budak perempun, penghantar makanan ditahan

Padah sering tunjuk 'kemaluan' pada budak perempun, penghantar makanan ditahan


Tindakan lelaki menunjukkan kemaluannya di hadapan seorang kanak-kanak perempuan membawa padah apabila dia ditahan polis di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya sekitar pukul 4.30 petang, Selasa lalu.


Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu sekitar pukul 6 petang, Isnin lalu.


Katanya, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dilaporkan telah diganggu oleh seorang lelaki tidak dikenali dalam sebuah lif kuarters kerajaan di Presint 5 di Putrajaya.


Beliau berkata, lelaki itu yang memakai topi keledar telah mengeluarkan kemaluannya dan menunjukkan kepada mangsa.


"Empat laporan polis telah dibuat berhubung kejadian sama berlaku di kawasan perumahan tersebut.


"Jumlah keseluruhan mangsa yang terlibat dalam kejadian terbabit adalah sebanyak lima orang," katanya dalam kenyataan malam tadi.


Sehubungan itu, Asmadi berkata, pihaknya telah membuat satu tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 32 tahun.


Kata beliau, siasatan awal mendapati suspek bekerja sebagai penghantar barang dan sudah berkahwin selain mempunyai seorang anak.


"Suspek tidak mempunyai rekod lampau, namun mengaku terlibat dalam tiga kes sama yang disiasat sebelum ini dan dia ditahan reman selama empat hari bermula Selasa hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.


"Keputusan ujian saringan air kencing suspek juga adalah negatif daripada penyalahgunaan dadah," katanya.


Menurutnya, pihaknya turut merampas topi keledar, baju, jeans, beg silang dan selipar daripada suspek.

Rabu, 29 November 2023

Ikan aneh ditemui terdampar di pantai, cetuskan kebimbangan penduduk ia petanda gempa bumi

Ikan aneh ditemui terdampar di pantai, cetuskan kebimbangan penduduk ia petanda gempa bumi


Seekor ikan dayung atau 'oarfish' ditemui terdampar di pesisir pantai Los Coquitos, Republik Dominika pada Isnin lalu sebelum mati tidak lama kemudian, lapor akhbar The Sun, semalam.


Ia sekali gus mencetuskan kebimbangan penduduk kerana terdapat kepercayaan bahawa gempa bumi akan berlaku selepas kemunculan ikan gergasi itu.


Spesies itu dilaporkan hidup berdekatan Zon Septentrional-Oriente yang mencetuskan gempa bumi dan tsunami Cap-Haitien di Haiti pada 1842 sehingga mengorbankan kira-kira 5,300 orang.


Oarfish adalah salah satu ikan paling panjang di lautan dengan saiznya boleh mencecah sehingga 17 meter panjang dan berat lebih 200 kilogram.


Sesetengah penyelidik membuat spekulasi bahawa mereka bergerak ke perairan yang lebih cetek disebabkan oleh perubahan elektromagnet yang berlaku apabila terdapat aktiviti tektonik yang dikaitkan dengan sesar.


"Ia adalah ikan laut dalam, amat luar biasa untuk menemuinya di permukaan. 


"Namun, ia tidak menimbulkan sebarang ancaman, ia hanya hidup di kawasan paling dalam," kata Timbalan Menteri Sumber Pantai dan Laut Republik Dominika, Jose Ramon Reyes.


Menurut cerita rakyat Jepun, kemunculan ikan oarfish di permukaan adalah isyarat bahawa gempa bumi akan berlaku dalam masa terdekat.


Ia dikaitkan dengan mitos Namazu, seekor ikan keli gergasi yang tinggal di bawah kepulauan negara itu dan kononnya menyebabkan gempa bumi apabila ekornya merotan-rotan dasar lautan.


Kepercayaan itu dipertingkatkan lagi selepas 10 ekor oarfish dihanyutkan di sepanjang pantai utara Jepun pada tahun 2010.


Beberapa bulan kemudian, gempa bumi besar melanda negara itu, mencetuskan tsunami yang membunuh hampir 19,000 orang dan memusnahkan loji nuklear Fukushima. - Sumber The Sun.


Seekor ikan dayung ditemui terdampar di pantai Los Coquitos, Republik Dominika. - Foto Jam Press Vid.
Penyewa wanita pengotor, bilik penuh longgokan sampah mencecah siling

Penyewa wanita pengotor, bilik penuh longgokan sampah mencecah siling


Seorang pemilik rumah di Thailand terkejut apabila mendapati sebuah bilik yang disewakan kepada seorang wanita dipenuhi sampah dan menjadi tempat pembiakan serangga, lapor laman berita Thaiger pada 28 November 2023.


Namwan Panadda yang berpengalaman dalam pengurusan asrama selama tiga dekad dan merupakan pemilik rumah tersebut berkata, bilik yang disewakan kepada wanita berusia 42 tahun itu menjadi sarang pembiakan ular, cacing dan tikus.


Walaupun wanita itu bekerja sebagai seorang penjawat awam, bilik itu telah diabaikan selama dua tahun. Anehnya, kos sewa sebanyak 1,500 baht (RM201) masih dibayar pada setiap bulan. Difahamkan, wanita tersebut sudah menyewa bilik itu selama lebih sepuluh tahun.


"Empat bulan lalu, penyewa bilik lain yang bersebelahan melaporkan ular dan tikus muncul dari bilik itu serta bau busuk berterusan," kata Namwan.


Sampah di dalam bilik itu didapati disumbat ke setiap sudut dan celah hingga longgokan mencecah siling dan dipenuhi serangga.


Namwan dan suaminya kemudian menghabiskan lebih 3,000 baht (RM402) untuk membersihkan bilik itu selain mengisi sampah tersebut di dalam 250 beg dan membuangnya.


Di sebalik usaha mereka, bau busuk masih berterusan walaupun selepas dua kali pembersihankannya secara menyeluruh.


Bagaimanapun, Namwan dihubungi penyewa tersebut dan dia dituduh menceroboh bilik yang dipenuhi barang berharga. Disebabkan keadaan bilik yang menjejaskan penyewa lain, dia membuat laporan di Balai Polis Hua Mak. - Sumber The Thaiger.


Namwan menunjukkan bilik dipenuhi sampah yang disewa wanita tersebut. - Foto KhaoSod.

Selasa, 28 November 2023

Harimau dahan ditemui mati dipercayai dilanggar kenderaan

Harimau dahan ditemui mati dipercayai dilanggar kenderaan

 

Seekor harimau dahan jantan ditemui mati dipercayai akibat dilanggar kenderaan di hadapan Masjid Al-Huda, Gajah Mati di Jalan Naka, Padang Terap, awal pagi ini.


Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd Roshidi Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan bangkai haiwan tersebut kira-kira pukul 3.04 pagi tadi.


"Pemeriksaan menemukan seekor harimau dahan dipercayai jantan dengan anggaran berat 30 kilogram terbaring di tepi jalan dari Pokok Sena menuju ke Naka.


"Kami kemudiannya membawa bangkai haiwan tersebut ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim ketika dihubungi memaklumkan pihaknya masih menyiasat mengenai kemunculan haiwan tersebut.


Harimau terbabit adalah spesis terancam dan pihaknya juga masih menyiasat kemungkinan ia tersesat.


Seekor harimau dahan ditemui mati dipercayai dilanggar kenderaan di Jalan Naka, Kuala Nerang awal pagi ini. - Foto ihsan APM.